TAWAU - Sambutan Aidiladha lebih 300 individu bertukar suram selepas 55 kediaman mereka di Kampung Titingan musnah dalam kebakaran, di sini, hari ini.
Insiden pada jam 9.15 pagi itu, menyebabkan orang ramai panik dan lari bertempiaran, serta menjerit ke arah jiran untuk segera menyelamatkan diri.
Seorang mangsa, Rosjatimah Saprin, 46, berkata, ketika kejadian, dia baharu saja hendak membuat air di dapur untuk sarapan pagi dan terkejut apabila mendengar bunyi letupan.
“Sebaik buka tingkap dapur, saya terkejut apabila melihat rumah jiran di belakang rumah sedang terbakar.
“Tidak lama selepas itu, anak jiran mula menjerit meminta tolong meminta orang kampung menyelamatkan bapanya yang lumpuh akibat strok,” katanya kepada Getaran.
Terkejut melihat api yang menjulang tinggi ke udara, Rosjatimah segera memaklumkan ahli keluarga lain dan hanya sempat menyelamatkan dokumen penting sebelum meninggalkan kediaman mereka.
Abangnya Remie Saprin, 64, pula baru pulang dari pasar untuk membeli barang keperluan menyambut hari raya esok termasuk buras.
“Sebaik meletakkan kenderaan, saya hairan melihat orang ramai bertempiaran lari sambil membawa barang.
“Saya turut ternampak kepulan asap dari bahagian tengah penempatan dan mengesyaki ada kebakaran sedang berlaku,” katanya.
Tambah Remie, api merebak dengan pantas menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan sebarang harta benda.
Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau Penguasa Kanan Bomba II Sukur Hatta berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.33 pagi tadi.
“Kebakaran membabitkan tiga blok kediaman di Kampung Titingan iaitu Blok 9, 10 dan 11, memusnahkan lebih 50 buah rumah.
“Sebaik tiba di lokasi, operasi memadam api segera dilakukan sebelum keadaan berjaya dikawal pada jam 10.55 pagi,” katanya.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan JBPM masih menyiasat punca kebakaran serta jumlah kerugian yang ditanggung mangsa.
Sementara itu, tinjauan Getaran di lokasi mendapati sebahagian mangsa mula berkumpul di Balai Raya Kampung Titingan yang dijadikan Pusat Penempatan Sementara (PPS).
Bagaimanapun, sebahagian lagi mangsa kebakaran pula mengambil keputusan untuk menumpang di rumah ahli keluarga lain sementara menunggu kerja membina semula kediaman dilakukan. - Getaran, 19 Julai 2021