JOHOR BAHRU - Practise makes perfect.
Itu ungkapan biasa untuk menggambarkan bahawa seseorang itu memerlukan latihan berterusan untuk memahirkan diri dalam perkara dilakukan.
Apa jua pekerjaan, pasti dimulai dengan latihan, apatah lagi pekerjaan yang memerlukan ketahanan mental, kekuatan tenaga dan pengurusan emosi seperti anggota bomba.
Untuk kerjaya mencabar seperti itu, pastinya latihan berterusan tanpa jemu adalah pemangkin dalam memantapkan keupayaan mereka menjalankan tugas.
Mengambil inisiatif sendiri untuk menjadikan latihan itu lebih menarik, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Johor Bahru, menubuhkan Pusat Perlaksanaan Latihan Simulasi atau Simulation Training Implementations Centre (STINC) Metropolitan.
Penubuhan STINC menjadikan premis berkenaan adalah satu-satunya balai bomba di negeri ini yang menyediakan kemudahan terbabit buat anggota mereka.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai penubuhan STINC, Ketua BBP Larkin, Johor Bahru, Timbalan Penguasa Bomba I Suhaimi Jamal berkata, idea itu muncul kerana mahu latihan dilakukan setiap anggota bomba di balai berkenaan dapat dilaksanakan dengan lebih menarik dan mencabar.
Katanya, ia bagi memantapkan lagi kemahiran semua anggota jika berdepan kecemasan sebenar, sekali gus membuatkan mereka lebih efektif ketika bertugas.
“Objektif rumah simulator ini adalah sebagai persediaan dan latihan kepada anggota bomba di balai ini dalam menghadapi pelbagai situasi kecemasan.
“STINC adalah inisiatif bersama semua pegawai dan anggota di balai ini,” katanya kepada Getaran ketika ditemui.
Menggunakan bangunan kuarters lama yang terdapat di balai bomba berusia 57 tahun itu, Suhaimi berkata, STINC dilengkapi dengan modul latihan yang direka seperti kecemasan sebenar.
Beliau menarik perhatian, bangunan tiga tingkat yang asalnya menempatkan enam unit rumah anggota itu lengkap dengan pelbagai jenis latihan, termasuk penggunaan alat bantuan pernafasan, proses menyelamat dalam runtuhan bangunan dan tempat tinggi, pemadaman api dan laluan sempit atau sukar.
“Di tingkat bawah, kita tempatkan latihan pembiasaan alat pernafasan (BA Gallery) dan laluan sempit yang memaksa mereka untuk merangkak tanpa dibenarkan berdiri sama sekali.
“Ia adalah kaedah menyelamat yang digunakan ketika kebakaran, jika kawasan terbabit dipenuhi asap tebal pada bahagian atas dan udara sejuk berada di bawah.
“Dalam situasi seperti ini, mereka hanya boleh merangkak serendah yang boleh, justeru latihan seumpama itu membantu mereka mengawal teknik pernafasan, termasuk bergerak di laluan sempit sekiranya berlaku runtuhan bangunan,” katanya.
Tingkat dua STINC pula jelas beliau, dikhususkan untuk latihan memadam api dalam bangunan, malah aras tersebut diubah suai seperti sebuah rumah dan hotel yang sedang terbakar.
“Reka bentuk di tingkat dua ini memang sama seperti rumah dan hotel yang dilengkapi pelbagai barangan seperti televisyen, sofa dan katil.
“Terdapat juga jeriji maut di sini, bertujuan menyediakan anggota dengan kemungkinan berdepan situasi yang memerlukan mereka menyelamatkan mangsa sekiranya tiada jalan keluar,” katanya.
Mengulas lanjut Suhaimi berkata, kawasan itu akan dibakar menggunakan minyak atau pepejal setiap kali latihan bagi memberi gambaran sebenar kepada anggota.
“Saya mahu anggota berada dalam keadaan panas dan berasap, sama seperti apa yang akan mereka alami ketika kebakaran,” jelasnya.
Tingkat atas pula katanya, menempatkan latihan menyelamat berisiko tinggi.
“Kaedah latihan ini lebih kepada proses menyelamat mangsa di bangunan tinggi sama ada dengan penggunaan tali atau tangga bangunan.
“Musim pandemik COVID-19 ini, difahamkan cubaan membunuh diri meningkat secara mendadak, maka bomba harus bersiap sedia dengan kemahiran berdepan kes seumpamanya,” katanya.
Selain itu, turut disediakan adalah latihan menggunakan alat pemadam api, termasuk kebakaran membabitkan dapur memasak yang disediakan di bahagian belakang bangunan berkenaan.
“Anggota akan menjalani latihan alat memadam api untuk dapur memasak dengan simulasi yang sama seperti keadaan dapur di rumah.
“Kebiasaannya latihan dibuat di tempat terbuka dan ia akan dipengaruhi oleh faktor angin, namun di sini, kita dapat lihat corak api dan haba yang berlainan, sama seperti situasi di dapur rumah,” katanya.
Berkongsi harapannya bersama Getaran, Suhaimi mahu melihat semua kelengkapan berkenaan digunakan sebaiknya oleh semua anggota bomba dalam memantapkan kemahiran mereka untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
“Apa yang kami sediakan sebenarnya lebih susah dari keadaan sebenar. Ini kerana kami mahu anggota membiasakan diri dengan keadaan lebih mencabar supaya mereka sentiasa bersedia berdepan pelbagai kemungkinan.
“Latihan perlu sentiasa sukar agar mereka tahu bagaimana untuk mengendalikan keadaan sedemikian dalam realiti,” katanya.
Getaran diberitahu, proses menyiapkan STINC mengambil masa kira-kira sebulan sebelum lengkap sepenuhnya Disember tahun lalu 2020, menggunakan wang milik Kelab BBP Larkin, Johor Bahru.
Ia dijangka dilancarkan pada tahun hadapan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis.
Selain anggota bomba, STINC turut dibuka untuk kegunaan awam termasuk Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) yang ditempatkan di kilang atau agensi kerajaan dan swasta, Bomba Sukarela serta balai-lain yang ingin merasai sendiri latihan disediakan. - Getaran, 21 Julai 2021