Buat pertama kalinya di Singapura, pelanggan boleh menikmati sajian Jepun bernama yakiniku dibuat dengan daging wagyu Jepun gred premium A5 halal di restoran Omookase Yakiniku by Tomahawk King.
Nikmatilah hidangan ini sambil mendengarkan live streaming dari studio yang terdapat di restoran itu. Menarik dan sangat berlainan kerana pengalaman ini tidak ada di restoran halal lain di Singapura.
Restoran unik ini telah merancang untuk mengundang beberapa artis senior Melayu ke studio untuk sesi live streaming suatu hari nanti agar dapat menjadi daya tarikan pelanggan-pelanggan Melayu Islam di Singapura.
Yakiniku diperoleh daripada perkataan Jepun iaitu 'Yaki' bermakna panggang dan 'Niku' bermaksud daging.
Negara Jepun dikenali dengan sajian yakiniku namun agak sukar mendapatkan yang halal di sana.
Penulis sempat menemui Bruce, pemilik restoran itu baru-baru ini yang menjelaskan bahawa restoran tersebut adalah yang pertama di Singapura yang menyajikan daging wagyu gred A5 dari Jepun. Katanya:
“Kami import seekor lembu untuk dapatkan sijil halal sebab di Jepun hanya ada 2 tempat penyembelihan. Setelah disembelih, ia dibawa ke sini jadi setiap hari cef akan menghirisnya agar pelanggan dapat nikmati bahagian daging wagyu yang berbeza.”
Jika tidak dibawa ke Singapura oleh pihak Bruce, pelanggan Islam perlu ke Jepun untuk menikmati daging wagyu termahal itu.
Mengapakah daging Wagyu gred A5 begitu istimewa dan sangat mahal?
“Marbling wagyu A5 itu sendiri membuatnya istimewa, kandungan lemaknya dan rasanya adalah the best of the best, tak perlu seasoning langsung, tak perlu lada juga. Kami sediakan sos yakiniku yang terbaik juga,” terangnya.
Di restoran Omookase Yakiniku by Tomahawk King, pelanggan boleh panggang dan tentukan sendiri kelembutan daging wagyu sama ada well done, medium rare atau medium well mengikut cita rasa mereka.
Kongsi Bruce lagi, sajian daging halal wagyu gred A5 tersangat mahal harganya di Jepun dan restoran halal di Jepun pun terhad.
Beliau mengatakan sajian yakiniku di restorannya adalah sama atau lebih baik daripada Jepun berdasarkan maklum balas daripada pelanggan sendiri.
Kata Bruce:
“Kalau mereka nikmati wagyu premium di Jepun memang mahal. Ayam di restoran kami unik kerana kami season dengan lemak wagyu. Anda bayar SG$5.90 untuk dapatkan 300 gram ayam yang boleh dimakan dengan yakiniku kami.”
Set yakiniku berharga SG$128.68 tersebut lengkap dengan 300 gram daging Wagyu gred A5, sepinggan sayur, empat udang harimau serta hidangan nasi Jepun tanpa had.
Penulis sempat mencuba gelato wagyu mereka iaitu Wow-Gyu yang diperbuat daripada susu Hokkaido premium dan strawberi.
Kagum kerana gelato ini berupa daging wagyu. Hampir-hampir tertipu kerana pada mulanya memang sangkakan ia adalah daging wagyu!
Pemilik restoran itu mendakwa ia adalah gelato wagyu pertama di dunia!
Kongsi Bruce:
“Di Jepun pun tiada gelato ini. Ia benar-benar kelihatan seperti wagyu.”
Untuk merasai sendiri halal yakiniku premium di Singapura, pelanggan boleh hubungi talian +65 87902242
Nama restoran: Omookase Yakiniku by Tomahawk King
Alamat : 324, Changi Road, Singapura