Kacak, bijak dan berkarisma. Itulah yang boleh dikatakan mengenai penyanyi kelahiran Singapura, Farhan Shah yang berehat seketika dari dunia nyanyian demi melanjutkan pelajaran di Perth, Australia pada 2015.
Selepas menggenggam segulung ijazah komunikasi dan pemasaran, Farhan berkampung pula di Melbourne pada 2018 untuk mengikuti pengajian sarjana komunikasi pemasaran.
Beliau kini memegang jawatan sebagai eksekutif perhubungan awam di sebuah firma di Kota Singa.
Penyanyi berusia 30 tahun itu mendapat semangat baru untuk mengotakan janjinya kepada peminat dengan menghasilkan trilogi video muzik rangkaian lagu popular dendangannya iaitu 'Istimewa', 'Racun' dan 'Terjatuh Hati'.
Menurut Farhan, sebelum menghasilkan lagu baru dia perlu membayar ‘hutang’ kepada peminat yang sudah lama tertangguh.
“Ramai peminat bertanya kenapa tiada video muzik jadi Farhan rasa kena buat untuk semua lagu yang pernah diterbitkan.
“Dulu, Farhan bergerak sendiri, jadi banyak kena fikir bila nak keluarkan duit. Dan, sekarang adalah masa sesuai untuk saya buat video muzik tiga lagu ini,” katanya.
Farhan antara artis Singapura yang berpendidikan tinggi malah lebih membanggakan apabila dia mendapat pengiktirafan sebagai pelajar terbaik di universiti. Baginya, pendidikan sangat penting buat anak seni.
“Sangat penting untuk Farhan sebab sangat meminati dunia pemasaran. Untuk kekal relevan dalam industri ini perlu kerja keras.
“Agak susah sebenarnya apatah lagi persaingan dalam bidang ini sangat sengit dengan kemunculan ramai artis baru. Jadi, Farhan perlu sediakan payung sebelum hujan.
“Sekiranya kerjaya seni bernoktah meski sudah melakukan yang terbaik, tidaklah ralat kerana Farhan boleh tumpukan perhatian kepada bidang pemasaran,” katanya.
Bukan itu sahaja, apa yang beliau pelajari di universiti boleh diterapkan dalam kerjaya nyanyian. Ini kerana menurut Farhan, sebagai artis yang bergerak sendiri tanpa bantuan mana-mana syarikat rakaman, dia perlu bijak melakukan promosi dan pemasaran.
Dalam rancak berbual, bekas peserta 'Singapore Idol' itu mendedahkan dia terpaksa menolak beberapa tawaran persembahan di Singapura termasuk undangan menyertai pertandingan realiti anjuran Astro iaitu 'Big Stage' kerana masih menuntut di Australia.
“Kecewa pun ada sebab 'Big Stage' pertandingan yang besar malah saya teringin menembusi pasaran Malaysia. Namun, apabila difikirkan semula, mungkin masanya belum sesuai.
“Ketika itu masih banyak yang perlu diperbaiki untuk Farhan lebih bersedia menyertai pertandingan ini. InsyaAllah jika ada rezeki dan dipanggil tahun depan, boleh cuba lagi,” katanya.
Farhan turut berkongsi, dalam diam beliau merakamkan sebuah lagu duet dengan penyanyi wanita dari Indonesia pada 2019.
Lagu genre pop R&B itu ditulis oleh komposer Indonesia, Ifa Fachir yang pernah menghasilkan lagu untuk Raisa, Bunga Citra Lestari dan Maudy Ayunda.
“Apabila wujudnya pandemik COVID-19, susah untuk Farhan berulang-alik ke Indonesia untuk mempromosikan lagu ini, jadi ia perlu ditunda,” katanya.
Sama seperti kebanyakan penyanyi, Farhan berharap dapat melebarkan sayap seninya ke luar negara.
“Saya mahu cuba tembusi pasaran Malaysia dan Indonesia dengan lagu duet ini. Saya juga pasangkan impian untuk rakam lagu dengan beberapa penyanyi lagi. Saya mahu benar-benar fokus dalam kerjaya muzik,” katanya.
Semoga Farhan Shah dapat mengharumkan nama Singapura suatu hari nanti dan menjadi kebanggaan keluarga serta peminat! - Getaran, 7 November 2021
Semua gambar: Ihsan Farhan Shah dan Instagram @farhanshahfs