Namanya disebut-sebut sebagai Godfather arena hip hop di Singapura dan pernah menjadi Juara Asia Bagus di Tokyo pada tahun 1991 ketika beliau bersama kumpulan Construction Sight.
Namun setelah tiga dekad memperjuangkan genre muzik hip hop, artis versatil ini nekad untuk mengucapkan selamat tinggal kepada dunia hiburan dengan penerbitan album baru serta buah tangan terkininya yang berjudul 'So I Say What’s Up' dengan penyanyi serta pemuzik Charlie Lim.
Kami bertanya kepada Sheikh Haikel baru-baru ini mengenai pengundurannya dari arena seni suara yang telah berjaya mengangkat namanya sebagai rapper tersohor Singapura.
Katanya, “Kalau saya tengok betul-betul budaya rap sekarang ini, it is in very good hands. Fresh. Mereka boleh bawa diri sendiri.
“Saya nak ambil peranan penonton sebab mereka sangat berbakat. Seronok menjadi penonton. Saya rasa sudah tiba masanya.
“Orang pun tahu saya menceburkan diri dalam perniagaan F&B kerana saya percaya keluarga yang makan bersama akan kekal bersama. Saya mahu dihiburkan daripada menghiburkan.”
Album terakhir Sheikh Haikel ini menarik dan mungkin juga pertama kali dilakukan oleh seseorang artis. Beliau merancang untuk mengeluarkan single satu persatu dari sekarang sehingga ke ulang tahunnya yang ke-47 tahun pada 10 Oktober 2022 nanti. Terdapat 10 buah lagu dalam album terakhirnya nanti.
Untuk single pertama berjudul 'So I Say What’s Up', ia adalah luahan hati Sheikh Haikel sendiri.
Kongsinya, “Ia pengalaman benar dengan teman. Kepada mereka yang kenal saya dari album pertama saya, ia berkaitan dengan diri saya sendiri. Saya hanya berkongsi apa yang sebenarnya berlaku. Lagu itu memang real, saya tak nak jual pada sesiapa sesuatu yang tidak real.”
Lagu itu mengenai persahabatannya dengan teman rapatnya sejak kecil. Meskipun, mereka masih berkomunikasi, tetapi ia berbeza kini.
“Tidak sama seperti dulu. Dulu bila orang lihat kita bersama, kita tak boleh dipisahkan. Siang malam kita bersama. Bila awak nampak dia awak akan nampak saya, bila awak nampak saya awak akan nampak dia,” luah suami kepada pelakon, Anna Belle Seri Ayu Francis ini.
Apakah teman tersebut tahu lagu itu adalah mengenainya?
“Siapa yang makan cili dia akan rasa pedaslah. Saya tak harap dia dengar tapi kalau dia dengar baguslah, tapi lebih mustahak lagi saya dapat buat lagu ini kerana ini adalah perasaan yang saya nak settle dalam diri saya sendiri.
“Saya tak tahu apa dia rasakan. Saya mungkin fikir anda adalah kawan yang lebih baik daripada saya untuk anda. Dia sentiasa mempunyai tempat yang istimewa dalam hidup saya,” cerita Haikel
Tidak lengkap jika albumnya tidak menampilkan lagu-lagu Melayu juga. Penyanyi Singapura, Aisyah Aziz turut menjadi rakan duetnya untuk sebuah lagu Melayu nanti.
Sheikh Haikel berpendapat Aisyah mempunyai gaya yang tersendiri ketika menyanyi.
“Saya suka sebab dia tak takut dan ingin mencuba. Ada sesuatu tentang perwatakannya yang kuat, yang membuatkan dia sesuai untuk lagu bernuansa hip hop ini nanti,” jelasnya.
Bukan sahaja Aisyah yang bakal ditampilkan. Pelakon filem Army Daze ini juga merancang untuk menghasilkan sebuah lagu bersama kumpulan Sleeq yang pernah dianggotai oleh Alyph dan Syarif.
Pastilah album ini akan menjadi lebih gah dengan kehadiran sahabat baik Haikel dari Malaysia, Joe Flizzow.
Terangnya, “He is my brother. Semua orang tahu kami rapat. Dia rapat dengan keluarga saya. Kita tidak tahu, kadang-kadang Joe ada kejutan. Mungkin dia akan tampil dalam sebuah lagu Inggeris dan sebuah lagu Melayu?”
Mereka akan hanya masuk studio rakaman pada masa yang sesuai, tanpa perlu gopoh-gapah.
Haikel berkata lagi, “Semuanya dalam keadaan santai. Jadi bila kita jumpa di studio semuanya tersenyum. Perlahan-lahan buat lagu sampai semua gembira, baru kita keluarkan.
“Seronok berkarya bila tak terburu-buru. Tiada deadline sebab semua artis dalam album ini adaIah professional.”
So, I say what’s up, Sheikh Haikel? Kita nantikan sahaja jika ada elemen kejutan lain daripada artis Singapura ini. - Getaran, 4 Disember 2021
Gambar: AOR Global