ALOR SETAR - Isu tunggakan gaji yang melanda Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sejak beberapa bulan kebelakangan ini, diakui memberi kesan terhadap persembahan pasukan itu.
Ia terutama dalam beberapa aksi KDA FC melibatkan perebutan piala seperti Piala Malaysia dan Piala Cabaran (Challenge Cup) sebelum ini.
Tonggak penyerang Sang Kenari, Ifedayo Olusegun berkata, tidak mudah untuknya dan rakan sepasukan mengekalkan motivasi bagi mencapai kemenangan dalam keadaan mereka berdepan kesulitan akibat ketiadaan gaji.
"Itulah yang sebenarnya berlaku dan kami memang terkesan terutamanya dalam perlawanan melibatkan perebutan piala seperti Piala Malaysia dan Challenge Cup.
“Bagaimana rasanya jika sesuatu yang memang milik anda, tidak diberikan tepat pada masanya?
"Tetapi pemain tetap bertindak secara profesional dan melaksanakan tugas masing-masing. Dalam hal ini, kita tak boleh berdiam dan katakan isu ini tidak wujud," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas berakhir perlawanan menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Darul Aman semalam yang menyaksikan kemenangan Sang Kenari dengan mata 3-0 ke atas pasukan pelawat.
Mengulas lanjut, pemain berasal dari Nigeria itu berkata, tiada pihak yang boleh menafikan kononnya isu tunggakan gaji tersebut tidak berlaku dalam pasukan berkenaan.
"Namun pemilik pasukan, Tan Sri Mohd. Daud Bakar hadir ke bilik persalinan pemain selepas perlawanan menentang NSFC dan memberi jaminan bahawa isu itu akan diatasi secepat mungkin.
"Harapnya seperti dinyatakan beliau, dalam tempoh beberapa minggu lagi bayaran gaji kami akan selari tempoh bulan yang sepatutnya," katanya.
Sementara itu Ketua Jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain turut mengakui akan kesukaran dihadapi pasukan sepanjang tempoh mencabar akibat ketiadaan gaji.
Bagaimanapun, katanya, beliau amat berterima kasih kepada pemain yang terus memberikan komitmen 100 peratus kepada pasukan dan hadir kepada padang setiap kali latihan dijalankan.
"Kami melalui situasi ini agak lama tetapi tetap berjaya mencatat lima kemenangan berturut-turut dalam Liga Super sebelum seri dengan JDT. Selepas itu, kami menang pula ke atas KL City dan terbaru, menewaskan NSFC 3-0.
"Kini kami berada di kedudukan ketiga liga dan dalam momentum terbaik untuk merampas kedudukan kedua bagi memastikan KDA FC layak ke Piala AFC musim depan.
“Untuk berada dalam kedudukan ini sudah pastinya bukan sesuatu yang mudah dan disebabkan itu, saya amat berterima kasih serta merasa amat berbangga dengan mereka walaupun berdepan isu gaji," katanya.
Nafuzi berkata, pihaknya sedar akan kerja keras dilakukan Mohd. Daud bagi mengatasi masalah itu.
"Beliau sedar dan mengambil berat masalah dihadapi pemain dan kami juga tahu yang pemilik pasukan sedang berusaha sebaik mungkin.
“Beliau sentiasa berkongsi maklumat dengan kami dan memberi maklum balas terhadap setiap pertanyaan.
"Situasi ini tidak mudah dan tetapi pemain kami menghadapinya dengan baik. Saya patut berbangga dengan apa yang mereka berikan terhadap pasukan ini," katanya.
Dalam sidang akhbarnya semalam, Mohd. Daud mengakui bahawa pasukan itu sememangnya berdepan masalah aliran tunai yang menyebabkan gaji barisan pemain, jurulatih dan pegawai pasukan tertunggak untuk tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.
Menurut Mohd. Daud, tiada penaja yang menarik diri namun pembayaran yang dijanjikan pihak berkenaan terhadap pasukan itu terlewat dan dibuat secara berperingkat hingga menyebabkan aliran tunai bermasalah.
Langkah Mohd. Daud untuk mendedahkan perkara itu bagaimanapun menerima pujian pelbagai pihak kerana beliau tidak berselindung dalam hal berkenaan seperti pengurusan pasukan lain yang turut mengalami masalah sama selain menyatakan komitmen untuk menyelesaikannya dalam tempoh tertentu. – Getaran, 29 Oktober 2023.