Kebanyakan pusat beli belah sudah mula menjual kostum dan aksesori ‘hantu’ bagi meraikan kehadiran festival itu kelak.
Walaupun Malaysia bukanlah negara dominasi penganut agama Kristian, namun kemajmukan masyarakat menyebabkan ada festival agama lain turut diraikan bersama.
Dan ketika mereka menyambut kehadiran Halloween, rakyat Malaysia turut mempunyai perayaan yang mempunyai persamaan dengan Halloween dan lebih awal menyambutnya Ogos lepas terutama bagi masyarakat Tionghua yang mengamalkan agama Buddha dan Taois.
Festival Hantu Lapar atau Hungry Ghost Festival diraikan pada bulan lunar ketujuh dalam kalendar Cina di mana ketika itu mereka percaya nenek moyang mereka yang telah meninggal dunia akan keluar dari neraka pada hari pertama bulan berkenaan untuk mencari makanan dan hiburan.
Bagi orang yang mempercayainya terutama mereka di bahagian Asia Timur, inilah masanya untuk berwaspada, meningkatkan pantang larang termasuk melakukan penyembahan kepada raja kematian yang mereka percaya sebagai tuhan di dunia bawah tanah.
Sepanjang perayaan Hantu Lapar ini, masyarakat Tionghua terutamanya akan menyiapkan mazbah sementara dan membakar colok-colok besar di tepi jalan selain memainkan opera Cina di pelbagai lokasi yang dikatakan mampu meraikan hantu-hantu yang sedang berkeliaran.
Pada perayaan itu juga akan menyaksikan penganut Taois menyembah dewa nyawa yang dikenali sebagai Di Guan Da Di pada hari ke-15 bulan berkenaan.
Selepas dua tahun negara dilanda pandemik Covid-19 yang menghalang sebarang aktiviti luaran, tahun ini menyaksikan masyarakat Tionghua di Malaysia kembali meraikan festival tradisi melebihi 100 tahun itu dengan lebih meriah.
Selain opera Cina, colok dan duit-duit neraka dibakar secara besar-besaran, dipercayai untuk disembahkan kepada penjaga neraka, nenek moyang mereka yang telah meninggal dunia dan juga hantu-hantu yang berkeliaran tanpa keluarga.
Festival ini walaupun dikaitkan dengan hantu, namun ia sebenarnya lebih kepada pengajaran kepada generasi muda tentang kepentingan berbakti, kebajikan, penghormatan, ketaatan dan peduli terhadap nenek moyang dan orang lain di luar lingkungan keluarga mereka.
Itulah sebabnya kita akan dapat perhatikan ada di sesetengah tempat terutama di simpang jalan beberapa persembahan makanan bersama colok diadakan.
Menurut mereka yang mempercayainya, perkara itu dilakukan bagi memberi peluang kepada hantu yang ‘berpeleseran’ tanpa keluarga agar dapat meraikan bersama festival berkenaan dan tidak dipinggirkan.
Semasa festival ini berlangsung, terdapat beberapa pantang larang yang perlu dilakukan oleh bukan sahaja masyarakat Tionghua yang meraikan, tetapi kepada rakyat Malaysia yang berada dalam lingkungan kehidupan mereka.
Antaranya adalah persembahan makanan yang diletakkan di tepi-tepi jalan tidak boleh dipijak dan disepak atau disepah-sepahkan.
Alasannya ialah disebabkan hantu-hantu berkenaan sudah terlalu lama berlapar dan secara logik jika makanan hantu-hantu itu dirosakkan, pasti mereka akan marah. Mungkin agak kelakar, namun jika ia terjadi kepada kita, apa yang akan kita lakukan?
Sementara di tokong-tokong pula, para sami akan mengatur aktiviti perayaan yang dipercayai perkara paling penting untuk menyenangkan hantu-hantu yang berkeliaran untuk mengelak daripada kejadian yang tidak diingini berlaku.
Selepas tiba hari pintu neraka mahu ditutup, masyarakat Tionghua akan mula membakar wang neraka dan pakaian buat hantu-hantu yang dipercayai bakal digunakan di alam neraka kelak.
Mereka turut membakar papan nama si mati berserta gambar yang akan diletakkan semula ke tempat yang asal semasa ia dikeluarkan pada upacara penyembahan.
Untuk memastikan hantu-hantu ini pergi, sami Taois dan Buddha akan membaca mantera untuk memastikan hantu-hantu kembali ke alam kubur dan dipercayai hantu-hantu itu takut kepada bunyi-bunyian maka ‘pengusiran’ itu diadakan dengan menggunakan mercun, jeritan dan ratapan. – Getaran, 15 Oktober 2022