Setelah filem seram ‘KKN Di Desa Penari’ naik takhta menjadi filem terlaris sepanjang masa di negara jiran Indonesia, kini sebuah lagi filem dalam genre sama Jagat Arwah menjengah ke pawagam hasil tangan pengarah Ruben Adrian.
Jagat Arwah mengangkat tema yang sangat berbeza daripada filem seram fantasi yang lain dengan menggambarkan ‘hantu’ dalam filem ini sebagai seorang superhero.
Inilah yang cuba dilakukan syarikat produksi, Visinema Pictures yang cuba lari daripada konsep dan penceritaan filem seram ‘stereotype’ di mana kebiasaannya hantu sering memainkan peranan antagonis.
Kisah Jagat Arwah bermula apabila kematian Sukmo iaitu ayah kepada Raga lakonan Ari Irham didapati mencurigakan. Kemudian Raga mendapat tahu dia merupakan keturunan Jagat Arwah dan mewarisi tradisi keluarganya.
Dibantu temannya Jaya, Raga berusaha mengendalikan kekuatan yang ada di dalam dirinya dan bertemu dengan Nonik, Kunti dan Genderuwo. Pertemuan itu kemudian mengubah hidup Raga selamanya.
Filem dengan aliran seram fantasi ini banyak mengangkat budaya jawa yang begitu dekat dengan latar belakang pengarahnya sendiri, iaitu Ruben Adrian
Skripnya pula mendapat sentuhan M. Rino Sarjono bersama Ruben Adrian sendiri.
Bukan itu sahaja, malah kekuatan naskhah ini turut dilihat melalui kualiti teknik Computer Generated Imagery (CGI) yang memukau dan sangat meyakinkan serta rangkaian adegan penuh mendebarkan.
Antara babaknya adalah cahaya-cahaya yang menjalari tubuh watak-watak ketika sedang bertarung, daun berterbangan, makhluk ghaib Genderuwo dengan taring menggerunkan.
Ini mampu membuat para penonton tidak hanya menikmati tayangan penuh efek yang mengujakan, tetapi turut membawa penonton seolah-olah berada di dalam filem ini.
Kolaborasi Astro Shaw bersama penerbit Visinema Pictures membawakan naskah Jagat Arwah kepada penonton Malaysia dan telah mula ditayangkan di seluruh negara sejak 27 Oktober lalu.
Jagat Arwah membariskan pelakon terkenal Indonesia seperti Ari Irham, Cinta Laura, Oka Antara, Sheila Dara, Ganindra Bimo, Kiki Narendra, Abdurrahman Arif dan Muhammad Khan. – Getaran, 5 November 2022