Fesyen pakaian yang sendat, melekap di tubuh badan bukanlah pilihan setiap wanita. Ini kerana ramai yang masih tidak selesa atau mahu untuk menonjolkan potongan badan mereka kepada orang ramai.
Ketidak selesaan ini bukan sahaja dialami oleh mereka yang berbadan gempal atau gemuk, tetapi juga dalam kalangan mereka yang bertubuh langsing.
Banyak orang, banyaklah ragamnya. Mana mungkin kita mempunyai citarasa yang sama dalam segala hal. Ada yang suka tampil seksi, ada yang gemar mengenakan pakaian sopan. Apa jua gaya yang anda inginkan, semuanya tersedia di pasaran.
Mencari pakaian sopan dan bergaya juga bukan menjadi hal yang membingungkan. Kini banyak jenama yang menonjolkan fesyen sebegini. Terutamanya jenama atau label tempatan yang sangat memahami keperluan dan kehendak rakyat Malaysia.
Terbaharu, jenama fesyen tempatan, Wanzar yang sinonim dengan pakaian pengantin, tampil dengan koleksi busana wanita kasual terbaharunya yang diperbuat daripada 100 peratus kain kapas organik.
Menampilkan potongan longgar yang meminjam inspirasi daripada baju kurung, koleksi mesra alam ini mengambil ilham daripada kuasa alam, dengan baju bersaiz besar serta seluar paras buku lali yang tipis, ringan, dan sempurna walaupun untuk cuaca panas di Malaysia!
Berbeza daripada rangkaian pakaian pengantinnya yang elegan dan mempesona, koleksi baharu Wanzar ini menampilkan konsep kembali kepada asas (back-to-basics) dan melambangkan keselesaan ringkas dan kehidupan harian rakyat Malaysia yang santai.
Dengan enam rekaan minimalis dan 17 warna indah, setiap helaian direka dengan cukup versatil agar mudah disuai padankan dengan mana-mana rekaan dalam koleksi tersebut untuk gaya yang cantik dan santai. Ini menjadikan koleksi ini boleh digayakan pada bila-bila masa dan juga boleh disesuaikan mengikut acara. Asalkan bijak menyuaipadankannya.
Diinspirasikan dari gaya hidup wanita moden masa kini, terdapat empat set paling menyerlah dalam koleksi versatil dan kasual ini.
Dengan rona-rona terang di bawah koleksi Astrid, fashionista boleh memilih sama ada untuk tampil ceria dan bebas dengan warna Hijau Lime atau Merah Jambu Barbie, atau tampil lembut dan penuh misteri dengan warna Biru Navy atau Ungu Gelap.
Antara kelebihan koleksi kasual ini ialah ia menggunakan kain kapas organik yang diperoleh secara mampan dan boleh dipakai semula untuk jangka masa yang panjang.
Menurut Pengasas Wanzar, Abu Zarin Abdullah, koleksi ini dipersembahkan bagi membuktikan stigma masyarakat yang menganggap busana bergaya sukar untuk disuai padan adalah tidak benar.
“Terdapat sebuah stereotaip bahawa busana yang bergaya tidak akan tahan lama dan susah untuk dipadankan dengan pakaian-pakaian lain. Koleksi terbaharu kami ini merupakan cara kami untuk membuktikan bahawa stigma ini salah, terutamanya dalam era fesyen pantas (fast fashion) kini!”
“Misi utama kami adalah untuk mencipta pakaian yang menjadi pilihan utama pemakainya untuk kehidupan urban harian mereka, namun kami juga komited dalam memainkan peranan untuk mengekalkan asal-usul tempatan kami serta amalan pembuatan yang sihat,” ujar beliau.
Selain daripada mengambil langkah luar biasa dengan menggabungkan pengaruh fesyen tradisional dengan busana kasual moden, rangkaian busana wanita baharu Wanzar juga dijahit dengan berhati-hati bagi memperlihatkan kemasan dan kualiti yang setanding dengan harga.
Jangan bimbang tentang saiz, kerana pasti ada untuk anda kerana ia tampil dalam pelbagai saiz, mengambil kira pelbagai siluet tubuh wanita Malaysia pada hari ini.
“Koleksi ini merupakan cara saya untuk memberi penghormatan kepada dunia fesyen jalanan tempatan dan membayangkan maknanya untuk wanita Malaysia moden - mereka yang sentiasa bergerak pantas dalam kehidupan seharian mereka.”
“Walaupun kami sudah mempunyai nama dalam arena busana pengantin, kali ini kami ingin menyentuh hidup dan memperkasa lebih ramai wanita, dengan gaya sehari-hari yang terkini dan penuh ciri khas buatan Malaysia,” tambah Abu Zarin.
Para penggemar fesyen yang mementingkan alam sekitar boleh mendapatkan koleksi terbaharu busana wanita kasual mampan Wanzar di cawangan-cawangan mereka di Subang Jaya atau Johor Bahru. - Getaran, 27 November 2022