KUALA LUMPUR - Daya saing negara yang semakin menurun perlu segera dipulihkan secara komprehensif, bagi memantapkan lagi kedudukan mata wang tempatan.
Pakar ekonomi dari Graduate School of Business, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, pengukuhan itu amat penting kerana pelbagai pihak akan mengalami kerugian jika Malaysia terkeluar dari liga persaingan global.
Menurut beliau, tren penyusutan mata wang ringgit berbanding dolar AS dilihat membimbangkan dan perlu diberi perhatian secara terperinci, khususnya apabila mata wang tempatan diniagakan lebih rendah, iaitu RM4.63 berbanding dolar baru-baru ini.
"Kedudukan ekonomi negara perlu perhatian yang khusus dan bersungguh-sungguh. Kita mesti berbincang mengenai isu berkenaan kerana ia hal ehwal kita.
"Dalam tempoh 13 tahun, kedudukan daya saing Malaysia berganjak dari kelas belasan, ke kelas dua puluhan dan kini kelas tiga puluhan! Ini tanggapan dunia terhadap kita.
"Penurunan sebegini bukan kejatuhan sementara, bukan bermula dari tahun lepas. Bukan sebab pandemik COVID-19. Ia bersifat tren jangka panjang menurun yang jelas dan petanda tidak baik. Semua mesti harus bertindak bersama," katanya kepada Getaran, hari ini.
Sehubungan itu, Noor Azlan menyarankan kerajaan untuk merangka tindakan secara komprehensif, agar penyelesaian inklusif mampu dicipta dan tidak lagi terus leka dalam usaha mengukuhkan daya saing negara.
Beliau yang juga Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inkslusif UKM (MINDA-UKM) memaklumkan, orang ramai ketika ini bimbang penurunan wang ringgit akan meningkatkan kadar inflasi, seterusnya membuatkan harga barangan melambung tinggi.
"Apa bidang fokus kita? Apa tindakan dan perubahan yang akan dilaksanakan? Apa sasaran hendak dicapai? Siapa bakal menerajui setiap fokus? Siapa memantau dan melapor?
"Tindakan secara berasingan, menangani secara rencah, masing-masing, tidak berkesan. Kita perlu 'comprehensiveness of actions’ daripada semua pihak. Saling menyokong. Saya yakin kita belum terlewat dengan syarat bertindak dari sekarang," katanya.
Pada masa sama, Noor Azlan menyeru pelbagai pihak, khususnya pembangkang untuk bersama-sama kerajaan dalam mencari penyelesaian terbaik, agar penstrukturan semula ekonomi negara mampu dilaksanakan secara berkualiti.
"Saya mengangkat perkara ini untuk tindakan kita semua, firma dan kerajaan. Tidak kira siapa anda, kita semua bertanggungjawab, bersama negara mengukuhkan kembali daya saing. Ini bukan masa berbalah. Masa untuk bertindak, bersungguh dan komited memperbetulkan struktur ekonomi negara. Bukan pemulihan tetapi penstrukturan.
"Kita sahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mari bersama kita angkat martabat negara. Membina Malaysia Madani yang memberi kesejahteraan untuk semua," katanya.
Terdahulu, ringgit terus jatuh dan mencecah RM4.63 berbanding dolar AS iaitu paras terendah dalam tempoh enam bulan tahun ini.
Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi kenyataan memaklumkan, perkembangan dalam pasaran kewangan global memberi kesan mendalam kepada pasaran mata wang, termasuk kejatuhan nilai ringgit.
Bagaimanapun, katanya, prestasi ringgit perlu dinilai dengan mengambil kira bukan sahaja hubungannya dengan dolar AS tetapi juga dengan mata wang rakan dagangan utama.
Dalam pada itu, penganalisis dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, tindakan pantas secara strategik oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan kerajaan diperlukan bagi mengelak situasi tambah merisaukan, walaupun semua pihak sedia maklum kejatuhan ringgit disebabkan faktor luar negara.
Sekiranya dibiarkan kepada kuasa pasaran menentukan hala tuju, beliau menegaskan, ia ditakuti akan memberikan kesan negatif kepada ekonomi negara secara keseluruhan.
“Kejatuhan ringgit akan memberi bebanan dan meningkatkan kadar inflasi terutama inflasi teras iaitu berkenaan harga barang makanan dan minuman. Itu akan menjejaskan barang yang diimport terutamanya makanan mencecah RM55 bilion hingga RM60 bilion setahun walaupun ini masa terbaik bagi pengeskport mengaut keuntungan.
“Oleh itu, harga barang perlu distabilkan, begitu juga nilai mata wang supaya mudah untuk masyarakat peniaga mahupun pengguna membuat perancangan tanpa kejutan yang tidak dapat ditangani,” katanya.
Sementara itu, pemerhati politik dan isu-isu semasa, Azizi Safar kecewa dengan kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang mendakwa kejatuhan nilai ringgit ketika ini turut membawa kebaikan.
Menurut beliau, perkara itu telah menimbulkan pelbagai persoalan berhubung manfaat yang mampu diperoleh rakyat dan negara akibat kejatuhan nilai ringgit ketika ini.
"Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi kata kejatuhan nilai Ringgit Malaysia turut bawa kebaikan. Hangpa (kalian) setuju? Kebaikan apa?
"Nilai Ringgit Malaysia bukan hanya jatuh berbanding mata wang Dolar Amerika tetapi juga berbanding Dolar Singapura, Thai Baht dan Rupiah Indonesia.
"Jika betul kelemahan Ringgit Malaysia disebabkan faktor luaran, faktor kadar faedah di Amerika, kenapa nilai Rupiah Indonesia boleh naik mencanak dan Dolar Singapura terus mengatasi kita," katanya, kesal.
Tambah beliau, rakyat ketika ini lebih berminat untuk mengetahui kesan penyusutan nilai wang tempatan itu terhadap kehidupan mereka, berbanding penjelasan teori ekonomi yang cuba disampaikan oleh kerajaan.
"Kenapa hanya Ringgit Malaysia saja terkesan? Orang ramai tidak berminat dengan teori-teori ekonomi. Mereka tidak minat, tahu tentang kelebihan dan kekurangan kejatuhan nilai mata wang.
"Mereka hanya fikirkan kesan negatif kejatuhan nilai mata wang ke atas kehidupan seharian mereka," jelasnya. - Getaran, 31 Mei 2023