Filem aksi komedi yang ditunggu-tunggu iaitu Abang Long Fadil 3 akhirnya telah menjengah pawagam seluruh Malaysia secara rasminya bermula 8 September 2022.
Masih ditunjangi Zizan Razak sebagai bintang utama, untuk sekuel ketiga ini rakan baiknya iaitu Johan telah disunting pengarahnya, Syafiq Yusof untuk membawakan watak antagonis.
Jika anda merupakan peminat setia Abang Long Fadil sejak dari filem yang pertama hinggalah sekualnya yang kedua, untuk filem ketiga ini ceritanya telah berubah 360 darjah sama sekali.
Kali ini, Syafiq sengaja membawa Abang Long Fadil ke satu tahap yang lain apabila dia cuba menerapkan elemen aksi perisikan ala-ala filem James Bond.
Kisahnya bermula apabila Fadil dibebaskan dari hukuman penjara selama lima tahun. Dalam tempoh dia menjalani hukuman, wajahnya telah diambil oleh seorang ejen perisik profesional yang berkhidmat di National Secret Service (NSS). Ejen itu telah menjalani pembedahan plastik untuk menyerupai wajah orang awam.
NSS kini sedang cuba menyiasat konspirasi yang melibatkan Secret Society Organization (SSO) yang didalangi Chow Han lakonan Johan.
Pada satu hari berlaku kes yang mencurigakan sehingga membuatkan NSS berasa telah dikhianati ejen yang memiliki wajah seiras Fadil. Lalu, dia telah ditahan ketua NSS yang merupakan bapanya sendiri.
Pada masa yang sama Fadil telah dibawa Ejen Maya lakonan Maya Karin ke ibu pejabat NSS selepas dia keluar dari penjara.
Fadil telah ditugaskan untuk menyamar menjadi ejen yang telah ditahan itu dan bekerjasama dengan Ejen Alice lakonan Elizabeth Tan demi menyiasat apa sebenarnya yang berlaku.
Di NSS terdapat dua orang saintis yang bertugas mencipta bahan-bahan canggih untuk ejen-ejen NSS. Salah seorang dari mereka telah mencipta alat untuk membuatkan manusia mengikuti setiap kata-kata diperintah. Malangnya terdapat musuh dalam selimut di NSS yang telah menjual alat itu kepada Chow Han.
Siapakah musuh dalam selimut itu? Masing-masing saling menuduh dan berasa syak di atas satu sama lain. Namun akhirnya kebenaran telah terdedah yang membuatkan ramai terkejut.
Sejujurnya filem ini sangat menghiburkan untuk ditonton kerana selain padat dengan aksi, ia juga sarat dengan elemen komedi terutamanya dari Johan dan Zizan. Loghat Johan yang membawa watak lelaki berbangsa cina dalam filem ini membuatkan ramai yang ketawa terbahak-bahak.
Tindakan Syafiq untuk menjadikan setiap siri filem ini mempunyai transisi yang berbeza juga harus dipuji. Bermula dengan Abang Long Fadil yang menonjolkan sisi dunia gangster, yang kedua pula mengenai dunia mafia dan terbaru dunia perisik.
Dari segi lakonan, Zizan dan Johan tiada masalah membawa watak sebegini kerana ini adalah elemen mereka. Pujian harus diberikan kepada Elizabeth Tan kerana dia tampak benar-benar lincah beraksi dalam filem ini. Maya Karin juga tidak kurang hebatnya dan berani membawakan watak yang berlainan daripada kebiasaan yang kita lihat.
Selain watak-watak utama ini, watak ketua NSS yang dilakonkan Kazar dan Ocy Lin (isteri Chow Han) yang dilakonkan Ozlynn turut mencuit hati. Begitu juga dengan watak Yana lakonan Tania Hudson yang merupakan kekasih Fadil dalam filem ini.
Namun penulis merasakan kostum untuk filem ini, boleh diperbaiki lagi. Dengan bajet sebanyak RM6 juta, kostum untuk setiap pelakon dalam filem ini seharusnya kelihatan lebih gah.
Difahamkan filem ini telah menjalani penggambaran di set filem terbesar yang pernah dibina untuk filem tempatan dan mengambil masa tiga bulan untuk membina set tersebut.
Selepas industri perfileman Malaysia dihidangkan dengan beberapa buah filem aksi dan seram tahun ini, akhirnya tiba masa untuk kita bergelak ketawa pula dengan filem Abang Long Fadil 3.
Filem terbitan Skop Production dengan kerjasama Astro Shaw ini dijangka bakal menjadi filem pecah panggung kerana setakat ini telah berjaya mengumpul kutipan sebanyak RM1.2 juta pada hari pertama tayangan (sneak preview). – Getaran, 8 September 2022