Selepas tujuh minggu bertanding di konsert mingguan Famili Duo, pasangan sepupu, Sissy Iman dan Naim Daniel serta pasangan adik-beradik Fyna Jebat dan Ayda Jebat telah diselubungi kontroversi yang menjadi bualan hangat.
Kontroversi yang melanda Sissy Iman adalah disebabkan komen panas juri Mas Idayu yang menyebabkan dia kecewa dengan dirinya sendiri sehingga tidak mahu melancarkan album baharunya yang menjalani rakaman di Studio Abbey Road di London pada tahun lalu.
Manakala, kontroversi Fyna Jebat pula tercetus disebabkan kedudukannya sebagai isteri kedua kepada bekas pemain bola sepak terkemuka negara, Datuk Zainal Abidin Hassan yang kini bertindak sebagai jurulatih.
Namun, di sebalik semua kontroversi itu, Sissy Iman dan Naim Daniel serta Fyna Jebat dan Ayda Jebat telah berjaya melangkah ke final Famili Duo yang bakal berlangsung pada 5 Februari ini.
Dua lagi pasangan yang berjaya melangkah ke pentas akhir program hiburan ini adalah pasangan adik beradik Zaki Yamani dan Yamani Abdillah, pasangan sepupu Naim Daniel dan Sissy Iman serta pasangan sepupu, Bella Astillah & Wani Kayrie.
Pasangan yang lebih mesra disapa sebagai The Jebats oleh peminat mereka telah berjaya menggenggam gelaran juara mingguan dan markah undian penuh oleh juri Mas Idayu buat kali kedua dengan pembawaan lagu ‘Rolling In The Deep’ oleh penyanyi asal Adele.
Persembahan yang disusun semula dengan genre rock dan mengolah inspirasi daripada Negara Terbit Matahari di tema ‘Legenda / Idola’ ini sekali gus membawa pasangan adik beradik ini ke tangga tertinggi di carta keseluruhan dengan jumlah terkumpul sebanyak 435.9 markah.
Ditemui selepas kemenangan tersebut, Fyna Jebat telah berkongsi tentang kesyukuran terhadap sokongan yang tidak terputus oleh kakaknya dalam memberi kata semangat dan tunjuk ajar sepanjang bertanding di program nyanyian Famili Duo ini.
Mengulas hal tersebut, Ayda berkata: “Ini semuanya asam garam sebagai artis dan kami berdua jadikan pengalaman yang kami dapat sepanjang menyertai program ini sebagai pengajaran untuk menjadi anak seni yang lebih berjaya.
“Dan apa yang saya lakukan bukan sahaja untuk mendorong adik saya, malah itulah tanggungjawab saya sebagai seorang kakak. Itu yang perlu kita buat untuk keluarga kita, sentiasa berikan sokongan sesama sendiri dan sebalik segala baik dan buruk kami, kami tetap keluarga yang saling menyayangi.
“Seperti peribahasa terkenal itu, air yang dicincang tidak akan putus. Kami akan terus berusaha untuk penerimaan yang baik oleh penonton dan juri di pentas akhir minggu hadapan,” katanya.
Sementara itu, pasangan adik-beradik Zaki Yamani dan Yamani Abdillah yang merupakan anak kepada penyanyi legenda tanah air, Datuk Jamal Abdillah pula telah menerima komen yang cukup positif daripada juri tetap Ajai apabila membawakan lagu Rentak Laguku oleh kugiran Bunkface.
Berikutan legasi bapa mereka dan harapan tinggi yang ditetapkan oleh para penonton, Zaki dan Yamani tidak dapat nafikan tekanan yang dilalui mereka sepanjang bertanding di pentas Famili Duo. Zaki dan Yamani layak ke finale dengan markah terkumpul sebanyak 404.2 markah.
“Kami sangat bersyukur kami sempat sampai ke minggu terakhir pertandingan kerana kami asalnya bermula daripada kosong.
“Sudah semestinya ayah kami idola kami yang nombor satu. Akan tetapi, saya dan adik ingin cari identiti kami sendiri jadi kami mencari rentak lain selain membawakan lagu-lagu legenda ayah kami. Kami juga hendak tunjukkan kelainan dalam corak persembahan, jadi kami bersedia untuk bereksperimentasi dan terima komen-komen yang membina dari para juri.
“Dengan berbekalkan pesanan ayah setiap minggu iaitu jangan gentar, tenang, fokus, feel (penghayatan), dan berdoa, kami akan terus perah idea-idea yang hebat lagi supaya para penonton dapat terhibur dengan persembahan kami di minggu hadapan!,” kata Yamani.
Zaki dan Yamani layak ke finale dengan markah terkumpul sebanyak 404.2 markah.
Namun, keluarga jaguh nyanyian yang manakah bakal menjuarai Famili Duo dengan dua persembahan lagu bertemakan Anugerah Juara Lagu dan tema ’bebas’ iaitu lagu pilihan mereka sendiri?
Dapatkah para finalis mencuri perhatian para juri dan penonton buat kali terakhir?
Siapa pula yang bakal merebut hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 di pentas Finale Famili Duo?
Sama-sama kita saksikan program ini yang dipancarkan secara live dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, pada hujung Ahad ini. - Getaran, 1 Februari 2023
Berikut adalah senarai kedudukan persembahan selepas tujuh minggu di #FamiliDuoTV3:
Ayda Jebat & Fyna Jebat - 72.6 peratus
Zaki Yamani & Yamani Abdillah - 71.4 peratus
Naim Daniel & Sissy Imann - 71.2 peratus
Sabhi Saddi & Fareedpf K-Clique - 69.9 peratus
Siti Saida & Siti Sairah - 64.2 peratus
Bella Astillah & Wani Kayrie - 54.6 peratus
Ara Johari & Shaffiq Erwin - 51.1 peratus
Berikut adalah carta markah terkumpul selepas minggu ketujuh pada 29 Januari 2023.
Ayda Jebat & Fyna Jebat - 435.9 peratus
Zaki Yamani & Yamani Abdillah - 404.2 peratus
Naim Daniel & Sissy Imann - 377.3 peratus
Bella Astillah & Wani Kayrie - 369.9 peratus
Ara Johari & Shaffiq Erwin - 366.3 peratus
Sabhi Saddi & Fareedpf K-Clique - 362.2 peratus
Siti Saida & Siti Sairah - 356.3 peratus