Tahukah anda Malaysia adalah salah satu pengguna utama pornografi kanak-kanak di Asia Tenggara? Kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak semakin parah dengan adanya pandemik COVID-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.
Malah, dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2020, terdapat sebanyak 1,721 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak termasuk antun seksual kanak-kanak (child grooming).
Dari segi pengertian, child grooming adalah sebuah upaya orang dewasa untuk menjalin hubungan, kepercayaan dan ikatan emosional dengan seorang kanak-kanak, sehingga mereka dapat memanipulasi atau mengeksploitasi mangsa mereka.
Menurut Firzana Redzuan, peguam dan pengasas bersama Badan Bukan Kerajaan, Monsters Among Us (MAU) berkata “Ramai kanak-kanak ini terpaksa akur kerana mereka berada di bawah kawalan pendera dan sukar untuk menolak apa sahaja permintaan mereka.
“Apa yang menyedihkan lagi, 95% pendera seksual adalah orang yang dikenali atau dipercayai seperti bapa atau bapa tiri kanak-kanak tersebut.
“Tanpa bukti yang kukuh, kata-kata kanak-kanak susah untuk dipercayai. Situasi ini menimbulkan persoalan, ‘adakah apa yang kita lakukan cukup untuk menangani masalah ini?’”
MAU merupakan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang memerangi penderaan seksual kanak-kanak di Malaysia.
Bertujuan untuk membina ruang yang lebih selamat untuk mangsa seksual, Firzana bercita-cita agar dapat menawarkan bantuan kepada mereka serta meningkatkan kesedaran umum mengenai isu tersebut.
“Saya amat tersentuh dengan hasil siasatan jenayah kumpulan Star R.AGE yang melancarkan kempen, ‘Predators in My Phone’. Ia betul-betul mencerminkan realiti kehidupan ramai kanak-kanak pada hari ini,” tambahnya.
Didedahkan kepada isu ini sejak kecil lagi, Firzana sering melibatkan diri dałam program perlindungan kanak-kanak yang dijalankan oleh NGO yang lain.
Firzana pertama kali berdepan dengan gangguan seksual ketika bertemu rapat dengan seorang ‘flasher’ di luar kompleks sekolahnya.
“Ibu saya terus membawa saya ke balai polis untuk memfailkan laporan mengenai kejadian itu. Pengalaman itu telah membuka mata dan menyedarkan saya betapa pentingnya untuk mengambil langkah yang seterusnya agar dapat menghentikan perbuatan itu untuk terus berlaku.
“Apabila saya bertemu dengan mangsa penderaan seksual kanak-kanak kini, saya belajar bahawa tidak semua ibu bapa akan menyokong dan berempati dengan anak mereka.
“Saya berterima kasih kepada ibu saya kerana mengajar saya tentang keselamatan diri sejak kecil lagi. Perbincangan ini telah membantu saya untuk lebih berwaspada,” tambahnya.
Ingin berjuang untuk apa yang betul, MAU kini telah menerima geran untuk beroperasi secara sepenuh masa dengan empat kakitangan tetap dan satu pelatih.
“Kita kena faham bahawa child grooming bukan seperti penderaan yang lain. Ya, apabila kita mendengar perkataan ‘penderaan’, kita selalu akan membayangkan kejadian yang ganas, perit, menakutkan dan menyakitkan. Namun begitu, child grooming selalunya berlaku dengan cara yang halus.
“Mereka akan memuji, memberi kata-kata manis, membelikan hadiah buat mangsa untuk mendapatkan kepercayaan mereka. Apa yang paling bahaya tentang ini adalah kanak-kanak tersebut akan mula jatuh cinta atau berasa terhutang budi kepada pendera mereka.
“Setelah pendera berjaya menjalin hubungan yang rapat dengan mangsa, mereka akan mula meminta gambar lucah, mengajak ‘check-in’ di hotel atau menonton wayang sama-sama.
“Pada saat ini, mangsa selalunya tidak akan sedar bahawa perkara yang dilakukan ini merupakan kesalahan seksual malah akan berasa terlalu keliru sehingga membuat mereka berdiam sahaja.
“Jadi ada tiga perkara bagi mencegah isu ini. Pertama, selalu bincangkan topik ini agar dapat meningkatkan kesedaran serta menggalakkan kanak-kanak untuk bercakap tentangnya.
“Ini dapat luaskan pemahaman mereka tentang penderaan seksual dan ciri-ciri hubungan bahaya.
“Kedua, pastikan kanak-kanak dalam hidup anda mampu menyenaraikan lima orang yang mereka boleh percaya dan bergantung.
“Dalam kes yang melibatkan ibu bapa sendiri, tiga hingga empat orang yang lain itu akan menjadi hero mereka untuk keluar daripada situasi tersebut.
“Ketiga, memandangkan kami aktif dalam advokasi keselamatan siber bagi kanak-kanak, kami menyedari bahawa undang-undang untuk melindungi mereka sama ada tidak wujud, tidak cukup ataupun tidak dikuatkuasakan dengan sepenuhnya.
“Selain membuat undang-undang baharu, perhatian patut diberi kepada penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada seperti Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017 dan kes-kes ini perlu dikendalikan dengan lebih mesra budak.
“Proses keadilan tidak sepatutnya memberi kesan negatif kepada mangsa. Namun hakikatnya, ramai mangsa mengalami trauma sekunder (secondary trauma) kerana dicaci dan ditakutkan oleh pihak berkuasa.
“Kita kena ingat, mangsa kanak-kanak tidak sama dengan mangsa dewasa.
“Jadi kami berharap dengan adanya pertubuhan Monsters Among Us, kami dapat melahirkan lebih ramai pejuang hak kanak-kanak.
“Topik ini tidak mudah untuk disebarkan tanpa latihan dan bimbingan yang efektif. Kami percaya setiap kanak-kanak berhak menjalankan hidup yang normal, selamat dan bahagia,” kata Firzana mengakhiri temu ramah.
Jika anda ingin melaporkan tentang penderaan seksual kanak-kanak kepada MAU, ada boleh menghantar mesej melalui kotak mesej di laman web mereka atau aplikasi WhatsApp 019-9903394. - Getaran, 30 Januari 2022
Semua gambar: Firzana Redzuan