“…and at the end of the day I'd come home to her (the wife) and be as devoted as ever.” — Ron Jeremy
Asas dan rahsia di sebalik perhubungan di antara lelaki dengan perempuan ialah; sperma adalah murah manakala telur adalah mahal.
Sperma lebih mudah dihasilkan menerusi testis dan terhasil sepanjang hayat seorang lelaki manakala seorang perempuan pula hanya menghasilkan telur yang terhad iaitu sekitar 2 juta telur oleh ovarinya sepanjang tempoh hayatnya.
Oleh itu, strategi para mamalia jantan termasuk manusia lelaki adalah untuk menyemai sebanyak mungkin spermanya kepada para betina/perempuan untuk dipersenyawakan dengan telurnya.
Jantan tidak boleh terlalu memilih pasangan yang hendak disemai spermanya yang tidak putus-putus. Itu adalah strategi yang merugikan kerana tidak mengoptimumkan hasil pengeluaran bahan mentah.
Jantan atau lelaki tidak menanggung beban dirinya mengandung atau bunting setelah melakukan hubungan seks.
Betina atau perempuan pula bisa bunting setelah melakukan hubungan seks apabila sperma dipersenyawakan dengan telurnya yang terhad jumlahnya.
Kehamilan datang bersama beban dan risiko.
Oleh itu para mamalia betina termasuk manusia-wanita mesti pandai memilih sperma siapakah yang akan ia benarkan untuk dipersenyawakan dengan telurnya agar ia tidak mengandungkan anak jantan yang tidak berkualiti atau bukan daripada baka yang baik, malah kelak akan menyukarkan lagi hidupnya.
Tatkala betina/perempuan mengandung, pasangannya atau jantan/lelaki yang membekalkan sperma kepadanya masih boleh lagi membuntingkan betina/perempuan lain pula.
Sebab itulah jantan/lelaki bersifat pemburu dan berkelakuan lebih ‘miang’ manakala betina/perempuan perlu berkelakuan lebih memilih dan ‘jual mahal’.
Betina/perempuan perlu memilih baka yang baik iaitu baka yang memberi peluang kemandirian (survival) yang tinggi kepada zuriatnya, seperti mempunyai kedudukan tinggi di dalam hierarki sosial, paras rupa yang cantik dan simetrikal, keupayaan fizikal yang mantap, dan kecerdasan akal.
Setiap haiwan termasuk manusia akan sentiasa menunjukan atau membuat ‘pengiklanan’ mengenai dirinya dengan mempamerkan ciri-cirinya yang hebat belaka, seperti burung merak.
Lelaki mengiklankan dirinya dengan menunjukan kemewahan, bentuk rupa dan tubuh yang menunjukan kekuatan dan ketangkasan atau athleticism dan kreativitinya menghasilkan sesuatu atau menyelesaikan masalah.
Kerana otak lelaki telah diprogram untuk mendapat keterujaan melalui visual, maka wanita akan mempamerkan atau mengiklankan asetnya dengan menunjukkan paras rupa yang cantik dan simetrikal (simitri adalah asas kecantikan dan menunjukan baka yang baik), tubuh yang langsing (memberi isyarat bahawa dia sedang tidak mengandung anak sesiapa), malah payudara yang mempersonakan (mungkin memberi isyarat bahawa beliau mampu menghasilkan susu yang banyak, meskipun saiz payudara bukanlah penentu jumlah susu yang dapat dihasilkan).
Lelaki yang diminati adalah lelaki baik seperti penyayang, kelakar dan bijak berkata-kata, kuat dan tangkas, tetapi mampu menunjukkan keberanian dan kebolehan bertindak agresif, melaksanakan kekerasan malah bertindak ganas, seperti James Bond.
Lelaki sebegitu dianggap sebagai baka yang baik dan dijangka akan membantu bersama membesarkan zuriat dan di masa yang sama berkebolehan untuk melindungi zuriat apabila berlaku ancaman.
James Bond adalah seorang lelaki yang berkemewahan (berkereta sport, jam Omega dan baju kod yang mahal dari Brioni dan Tom Ford), tangkas dan ganas.
Perempuan mengimpikan keganasan lelaki adalah sesuatu yang dapat mereka jinakkan. Sebab itulah setiap lelaki mahu menjadi James Bond dan setiap wanita mahu meniduri, mendampingi James Bond.
Di dalam budaya popular, lelaki mestilah seorang yang matang dan ‘familiar’, manakala perempuan sentiasa cantik dan segar atau baru.
Kita suka kepada kematangan dan ‘familiarity’ atau ‘sesuatu yang mesra-kenal’ kerana ia lebih mudah dihadam minda dan dijangka (expect). Matang dan familiar adalah umpama ciri am seorang bapa yang sentiasa ada, menyayangi dan melindungi.
Kerana sifat matang dan ‘familiar’, James Bond telah dilakonkan oleh lelaki yang sama selama bertahun tahun dan bersiri siri. Umur mereka adalah sekitar 40-an dan 50-an. Kita dapat menjangka personaliti dan persembahannya sentiasa solid dan konstant.
Manakala wanita utama siri tersebut sentiasa berganti dengan para pelakon berlainan, baru dan cantik-cantik, agar filem itu sentiasa menarik pada pandangan dan khayalan.
Begitu juga dengan industri filem porno. Bintang porno lelaki seperti Ron Jeremy, Peter North, Manuel Ferrara dan Rocco Siffredi adalah lelaki matang dan bukan remaja. Mereka membintangi banyak filem/video porno. Performance atau persembahan mereka sentiasa dijangka solid.
Pelakon porno lelaki mempunyai kerjaya yang lebih panjang berbanding dengan pelakon porno perempuan.
Selain dari cantik, perempuannya mestilah wajah wajah baru dan segar, biarpun lelakinya orang yang sama dan mempunyai paras rupa seperti Ron Jeremy.
Sama ada penonton lelaki atau perempuan, kita akan lebih bertumpu melihat kepada para pelakon perempuannya. Pelakon perempuan yang tidak cantik menghilangkan keterujaan kaum perempuan juga.
Bagi mereka yang tidak mengenali Ron Jeremy, beliau bukanlah lelaki yang tampan malah jauh sekali setaraf dengan Brad Pitt atau George Clooney.Begitupun, Ron Jeremy adalah seorang legenda.
Di dalam budaya popular sama ada filem atau muzik secara amnya, lelaki mempunyai kerjaya aktif yang lebih panjang berbanding perempuan. Perempuan yang cantik dan muda sentiasa diburui, silih berganti.
Datuk A. Aida
Di dalam tempoh beberapa bulan yang sudah, penerbit TV dan filem iaitu Datuk A. Aida telah membuat satu kenyataan kontroversi dan menimbulkan kemarahan ramai. Beliau mengatakan bahawa pelakon mestilah mempunyai paras rupa yang tampan dan cantik.
Sebagai seorang penerbit yang berjaya, beliau tentu mempunyai asas yang kukuh untuk memberi pendapat begitu. Pendapatnya adalah legit dan berwibawa.
Dipercayai, asas kepada pendapatnya adalah sambutan orang ramai terhadap hasil produksinya dan keuntungan kewangan yang beliau terima. Strateginya telah membuat bahan produksinya laku dan beliau boleh terus menerbitkan lebih banyak produksi lagi.
Sosiobiologi bukanlah satu bidang yang popular di kalangan rakyat Malaysia. Justeru, A. Aida mungkin tidak dapat memberi penghujahan yang lebih mendalam dari sudut saintifik dan statistik.
Sesungguhnya, dunia bukanlah tempat yang adil. Terutamanya bagi mereka yang tidak memahami hukum alam dan undang-undang permainannya.
Hukum alam; sperma adalah murah dan telur adalah mahal.
Undang-undang permainannya; lelaki mahu semaikan spermanya ke seramai mungkin, manakala perempuan perlu memilih dan jangan izinkan telurnya dipersenyawakan sembarangan dan semudah-mudahnya.
Objektif permainan ini adalah kesinambungan zuriat dari satu generasi ke generasi seterusnya agar spesis terus kekal.
Di dalam permainan ini, isyarat-isyarat visual adalah penting. Maka pengiklanan diri dengan memperagakan ciri-ciri kelebihan dan kehebatan adalah sangat mustahak.
Maka, kelebihan adalah kepada lelaki yang menampakkan berkemewahan dan perempuan yang menampakkan kecantikan.
Kemewahan termasuk harta benda, masa, keupayaan fizikal dan kesihatan (fitness). Kecantikan adalah bentuk-bentuk simetri. Jadi, pandai-pandailah iklankan diri. Tayanglah apa yang patut tayang. - Getaran, 7 Disember 2022