KUALA LUMPUR – Mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang terkesan dengan dasar Polisi Kutipan Hutang Pelajar diminta terus menghubungi Jabatan Bendahari UM, khususnya dalam perkara melibatkan yuran tajaan dan perihal pendaftaran.
Jurucakap UM berkata, semakan universiti mendapati kurang daripada empat peratus pelajar berkemungkinan terkesan kerana tidak mengemaskini status penajaan, mempunyai tajaan/bantuan pendidikan atau benar-benar memerlukan bantuan kewangan.
Menurut beliau, pendaftaran untuk semester adalah dibenarkan untuk pelajar yang berhutang di bawah tajaan, namun menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan pihak penaja menyelesaikan hutang tersebut.
“UM mengambil maklum mengenai beberapa isu yang diketengahkan pihak pelajar, khususnya Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) berikutan pelaksanaan Polisi Kutipan Hutang Pelajar atau Zero Balance Policy yang telah mula dilaksanakan pada tahun 2021.
“Pelaksanaan polisi ini dibuat dengan mengambil kira beberapa ketetapan,” katanya.
UM LAKSANA LANGKAH-LANGKAH MEMBANTU PELAJAR TANGANI MASALAH BERKAITAN YURAN
— Universiti Malaya (@unimalaya) September 19, 2023
Kenyataan rasmi berkaitan Polisi Kutipan Hutang Pelajar atau Zero Balance Policy sebagai makluman umum. pic.twitter.com/8Xv54RlPwf
Jelas jurucakap itu, Bahagian Hal-Ehwal Pelajar (BHEP) akan menyelaras sebarang rayuan untuk permohonan bantuan kewangan, tertakluk kepada kelayakan.
“Pelajar dalam kategori ini juga dibenarkan mendaftar dan perlu menyelesaikan baki yuran sebelum minggu ke-7 sesi akademik untuk Semester 1 2023/2024.
“Pentadbiran Universiti member jaminan bahawa semua permohonan dan rayuan yang diterima akan disemak dan diproses dengan kadar segera,” katanya.
Tegas beliau, UM mengalami tren kenaikan penghutang pelajar sebanyak RM51.20 juta pada 30 Jun tahun ini berbanding pada 31 Disember 2022 (RM47.33 juta).
“Pihak universiti berkeyakinan bahawa berdasarkan ketetapan di atas, pelaksanaan polisi in tidak akan membebankan pelajar dan mampu membantu usaha universiti, dalam menangani isu penghutang pelajar yang dihadapi,” katanya.
Terdahulu, Angkatan Mahasiswa UM dipetik sebagai berkata, polisi dilaksanakan universiti berkenaan adalah dasar yang pernah menjadi sejarah hitam buat mahasiswa.
[KENYATAAN MEDIA: ANGKATAN MAHASISWA MENYOKONG USAHA KESATUAN MENENTANG ZERO BALANCE POLICY]
— Angkatan Mahasiswa (@ANGKATAN_UM) September 15, 2023
Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya menyokong sepenuhnya pihak Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) dalam usahanya menentang Zero balance policy. pic.twitter.com/Xs3dWvGoKg
Tegas jurucaka angkatan berkenaan, polisi terbabit memaksa mahasiswa menjelaskan hutang sebelum pendaftaran kursus, dan ia jelas satu kezaliman, khususnya untuk pelajar dari golongan B40.
“Universiti Malaya (UM) merupakan universiti nombor satu negara merupakan universiti awam (UA) yang dibiayai secara awam melalui kerajaan, lazimmya pentadbiran dan pengurusan UA mestilah berpaksikan kepentingan awam bukannya penjanaan keuntungan.
“Angkatan Mahasiswa yang merupakan gerakan bertemakan Pro-Mahasiswa akan terus mengangkat suara mahasiswa dan menentang segala bentuk kezaliman terhadap mahasiswa kita tapa mengira sama ada ia datang daripada pihak pentadbiran universiti atau pentadbiran negara sekalipun,” katanya. - Getaran, 20 September 2023