KUALA LUMPUR - Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital di negeri Melaka meningkat sehingga 57 peratus sejak lapan hari lalu, ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri terbabit memuncak dan memasuki minggu kedua.
Portal COVIDNOW menunjukkan kadar peningkatan itu kedua tertinggi di negara ini dan dicatatkan ketika ratusan jentera serta pemimpin utama parti berkampung di Melaka untuk pusingan akhir kempen PRN.
Lonjakan tersebut menjadikan jumlah penggunaan katil hospital kerajaan di Melaka semakin membimbangkan, iaitu pada kadar 77 peratus dengan 24.1 peratus daripadanya bagi kes COVID-19.
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) berkata, penguatkuasaan terhadap mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) di PRN Melaka perlu dipertingkatkan.
Presidennya, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, satu pendekatan lebih serius diperlukan buat masa kini malah perlu dipercepatkan tanpa berlengah.
Menurut beliau, tindakan tegas perlu diambil terhadap ahli politik dan jentera parti yang menjalankan kempen secara ‘terselindung’ atau bergerak atas nama program tertentu.
“Ada pemimpin pergi ke kedai makan, pusat membeli belah yang kononnya tersempak dengan rakyat, tidak berkempen namun hakikatnya itu perbuatan kempen. Ini berdasarkan pemantauan saya kelmarin ketika turun di Melaka.
“Hasil pemerhatian, ramai yang tidak mematuhi SOP. Justeru, tindakan perlu diutamakan kerajaan dan bukannya denda, maksudnya jika ada pelanggarannya, bukan sahaja individu malah premis juga diambil tindakan seperti menutup kedai tersebut,” katanya kepada Getaran ketika dihubungi, hari ini.
Lapan hari lalu yang juga hari pertama kempen PRN Melaka, jumlah kemasukan harian pesakit COVID-19 mencatatkan 15 kes, namun meningkat kepada 26 pada Selasa, disusuli 70 (Rabu), 26 (Khamis), 31 (Jumaat), 32 (Sabtu) dan 33 pada Ahad.
Selain itu, jumlah jangkitan baharu COVID-19 di negeri bersejarah itu juga mencatat peningkatan tiga peratus sejak lapan hari lalu, dengan 195 purata kes dalam tempoh seminggu.
Kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 di Melaka pula tidak menunjukkan sebarang penurunan dan menghampiri 1.0, apabila mencatatkan 0.97, Ahad.
Sehubungan itu, berbaki hanya tiga hari lagi yang dianggap tempoh pecutan terakhir bagi parti dan individu bertanding, Dr Zainal menegaskan tiada siapa yang harus terlepas daripada tindakan undang-undang jika melanggar peraturan sepanjang tempoh berkempen.
“Tinggal beberapa hari berkempen ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), polis, serta pihak berkuasa kesihatan mempergiatkan pemantau. Jangan ada sebarang perhimpunan tidak kira di mana sahaja yang disamarkan dengan pelbagai alasan namun sebenarnya sedang berkempen.
“Kalau terbukti sudah ada pelanggaran SOP, kena ambil tindakan segera dan jangan pandang ringan kepada perkara ini kerana jika tidak, ia boleh jadi pencetus berlakunya peningkatan semula kes COVID-19 di Malaysia,”katanya.
Beliau turut meluahkan kekecewaan apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilihat kurang melakukan persediaan bagi berdepan risiko berlaku peningkatan kes COVID-19 susulan pelaksanaan PRN Melaka, 20 November ini.
“KKM jangan lepas pandang sahaja. Sepatutnya, apabila kes tinggi, kementerian dah tahu kena lakukan persediaan dari awal sebab perkara ini kita dah jangka akan naik sekiranya diadakan pilihan raya di Melaka.
“Pendekatan daripada KKM seharusnya ada untuk kawal keadaan sekiranya kes COVID-19 naik. Jangan salahkan rakyat tak ikut SOP tetapi KKM yang harus bersiap siaga dari awal dan mengambil iktibar dari apa yang berlaku di PRN Sabah," katanya
Memberi contoh persediaan banjir yang dibuat sedari awal, KKM juga sudah tiba masanya untuk berhenti menyalahkan mana-mana pihak dan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan perkara berkenaan.
"Ia kini menjadi kebimbangan pelbagai pihak, khasnya rakyat di Melaka,”katanya.
Jumaat lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata, purata Rt di seluruh negara kembali mencatatkan 1.0, sekali gus bererti pola penurunan jumlah kes baharu sejak beberapa minggu lalu sudah terhenti.
"Ini bermakna kes harian semakin mendatar dan kebimbangan kita jika ia kembali meningkat. Orang ramai digesa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan kumpulan rentan disaran segera mendapatkan dos penggalak bila janji temu diberi," katanya.
Isu pelanggaran SOP sepanjang tempoh kempen PRN Melaka antara perkara utama yang timbul sejak Isnin lalu, dengan semua parti politik yang bertanding iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah dikenakan kompaun. - Getaran, 16 November 2021