KUALA LUMPUR - Hasrat Parti Bangsa Malaysia (PBM) menyertai Barisan Nasional (BN) menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pimpinan tertinggi serta akar umbi UMNO.
Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berkata perkara itu mencetuskan kemusykilan apabila sebuah parti berasal dari Sarawak, tetapi mahu menyertai BN dan gabungan terbabit yang tiada di negeri berkenaan.
“Rupanya sudah nampak hebat juga BN ini apabila adanya Ahli Parlimen Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang nak mohon jadi parti komponen BN. Mereka tak pula pilih Perikatan Nasional (PN).
“Larry Sng adalah Ahli Parlimen Julau di Sarawak, di mana memang dah tak ada BN pun. Tak pula PBM mohon menjadi komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya, hari ini.
Sehubungan situasi itu, Shahrir menasihatkan UMNO agar berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan sebelum memuktamadkan hasrat PBM.
“Patutkah BN menerima PBM ini? Kena berhati-hati juga,” tegasnya.
Terdahulu, Larry yang dipilih sebagai Presiden PBM, memaklumkan parti itu tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan BN sekiranya menepati aspirasi dan hala tujunya.
Beliau berkata, usul kerjasama antara PBM dan BN itu disuarakan akar umbi, namun belum dimuktamadkan.
Katanya, usul itu dipersetujui pemimpin tertinggi parti dan perbincangan lanjut akan diadakan bersama kepimpinan BN dalam tempoh terdekat.
Bagaimanapun, Larry mengakui perjalanan PBM untuk diterima sebagai komponen BN masih jauh kerana kedua-duanya perlu mengadakan perbincangan secara terperinci.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata hasrat PBM membuktikan parti itu seolah-olah hanya mengambil kesempatan terhadap kekuatan BN yang masih diterima masyarakat.
“Lambang adalah brand (jenama). Kesukaran dihadapi parti baharu ialah bagaimana membangunkan branding (penjenamaan) mereka.
“Tak hairan kalau ada yang cuba nasib mencari penjenamaan melalui jenama BN yang pastinya ada nilai besar dan masih diterima rakyat. Nice try bro (cubaan yang bagus),” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil menegaskan sekiranya PBM diterima sebagai komponen baharu parti di bawah pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terbabit, ia mampu mendatangkan kesan negatif terhadap hubungan antara gabungan berkenaan dan GPS.
“Jika diterima, Larry pasti akan bertanding di kerusi Parlimen di Sarawak atas tiket dan bendera BN.
“BN adalah rakan karib GPS. Oleh itu, pada hemat saya ia bukanlah idea yang baik untuk menerima mereka (PBM),” katanya.
Mengulas lanjut, Isham mempersoalkan apakah motif sebenar PBM untuk menyertai BN, iaitu sama ada mahu memberikan sokongan tanpa syarat atau ingin memperoleh kerusi bagi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) semata-mata.
“Jika hasrat PBM untuk kerusi, saya termasuk akar umbi tidak boleh terima terutama kamu (wakil rakyat PBM) melompat parti dan bekas katak.
“Ini hanya pendapat saya. Apa-apa pun terima kasih kerana sokong BN dan saya menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan bijak,” katanya. - Getaran, 9 Januari 2022