KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyangkal dakwaan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook bahawa beliau ‘flip flop’ terhadap pendiriannya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau sama sekali tidak pernah menetapkan tarikh untuk membubarkan Parlimen bagi melaksanakan pilihan raya dalam waktu terdekat.
“Eloklah kalau (kenyataan saya) flip flop supaya mereka tidak tahu bila saya nak adakan PRU-15.
“Cuba kamu semak dari kenyataan Perdana Menteri dahulu ada tidak menetapkan tarikh PRU.
“Kalau tanya Tun Dr Mahathir Mohamad waktu itu, dia akan kata saya belum dapat ilham.
“Kalau saya beritahu lebih awal seronoklah DAP. Mereka boleh siap sedia awal,” katanya kepada media sambil tertawa, ketika ditemui pada Hari Alam Sekitar Sedunia di Taman Tugu, di sini, hari ini.
Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menegaskan, beliau lebih arif waktu sebenar yang sesuai untuk PRU diadakan bagi memberi semula mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin dimahukan.
“Kita tidak tahu bila. Apapun PRU akan dibincangkan oleh bersama Top 5 UMNO, ada biro politik, MT UMNO, dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN (dan) kemudian saya juga akan bincang dalam Kabinet.
“Kabinet akan berikan mandat kepada saya untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah untuk menasihati Seri Paduka Baginda.
“Kuasa terakhir adalah di tangan Agong. Hanya baginda boleh tentukan kerana dalam Perlembagaan Persekutuan, Agong boleh menolak atau bersetuju. Baginda boleh menolaknya kalau tidak bersetuju,” katanya.
Jelasnya, sekiranya tarikh PRU dimaklumkan kepada umum, beliau seolah-olah melanggar Perlembagaan Persekutuan dan tugas Yang di-Pertuan Agong.
“Saya tidak boleh katakan tarikh yang tepat kerana saya akan ambil alih tugas YDPA.
“Itu salah dari segi perlembagaan kalau saya tetapkan tarikh kerana kuasa penentu adalah daripada YDPA.
“DAP punya perangai mungkin dia tidak hormat Agong tapi saya hormati Seri Paduka Baginda,” katanya, sinis.
Terdahulu, Anthony menyeru Ismail Sabri untuk lebih tegas serta konsisten dalam pendiriannya sebagai seorang Perdana Menteri dan bertanggungjawab dalam sebarang kenyataan dibuat.
Sekiranya Perdana Menteri benar-benar ingin menangani isu inflasi jelas Anthony, Ismail Sabri perlu mencari konsensus merentasi parti supaya seluruh fokus nasional menjurus kepada agenda membantu rakyat.
Ahli Parlimen Seremban itu memaklumkan, Perdana Menteri diminta agar tidak “flip-flop” dalam kenyataannya yang hanya akan menyebabkan ketidakstabilan politik berlanjutan dan memudaratkan lagi keadaan ekonomi negara.
Sementara itu, Ismail Sabri mengesahkan belum mengadakan pertemuan bersama Datuk Zuraida Kamaruddin bagi membincangkan kedudukan pemimpin tersebut sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
“Zuraida saya masih belum berjumpa (bagi membincangkan kedudukan beliau sebagai Menteri).
“Ini kerana dia masih bercuti lagi,” katanya ringkas.
Sebelum ini, Ismail Sabri ketika ditanya media di Konvensyen Barisan Nasional (BN) menyangkal dakwaan bahawa Zuraida berundur disebabkan Kabinet bakal dirombak dalam masa terdekat.
Perdana Menteri menegaskan, Zuraida sendiri yang memutuskan untuk melepaskan jawatan terbabit dan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) serta-merta. - Getaran, 5 Jun 2022