KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan (PH) berkemungkinan menghadapi kekalahan besar sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dibubarkan pada tahun depan.
Penganalisis politik, Lim Sian Lee berkata, tindakan itu boleh memakan diri gabungan tersebut kerana membuka peluang bagi Barisan Nasional (BN) menumpukan segala kekuatannya di peringkat pusat untuk berkempen bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Ini adalah alasan yang lemah semata-mata untuk mendapatkan tambahan masa beberapa bulan lagi sebelum pilihan raya diadakan dan ia mungkin memakan diri PH.
“Kali ini mereka menggunakan banjir sebagai alasan tetapi sejak dua tahun lalu, mereka berulang kali membuat kenyataan yang sama bahawa mereka tidak akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) sekiranya pilihan raya umum diadakan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.
Semalam, Majlis Presiden PH memaklumkan keputusan itu ditetapkan menerusi satu perbincangan dengan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berhubung isu tarikh pembubaran DUN di negeri berkenaan.
Kenyataan Majlis Presiden PH berkenaan dikeluarkan secara bersama oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Pada masa sama, Anwar dalam sidang media di Parlimen berkata, pendirian pemimpin di ketiga-tiga negeri itu adalah menumpukan perhatian menangani masalah banjir dan meringankan beban mangsa yang terpaksa berdepan bencana itu.
Tambahnya, PH bersetuju menggunakan logo baharu, namun gabungan itu akan menggunakan logo lama untuk pilihan raya akan datang sekiranya ia diadakan dalam masa terdekat kerana kesukaran melibatkan logistik.
Mengulas lanjut, Sian Lee berkata, banjir besar kebiasaannya berlaku bermula pertengahan Disember dan bencana itu dapat dielakkan sekiranya PRU-15 diadakan pada akhir Oktober atau awal November.
“Keputusan mereka untuk tidak mengadakan PRN bersama dengan PRU-15 sekiranya Parlimen dibubarkan sekarang bermakna negara perlu membelanjakan ratusan juta lagi.
“Pada masa sama, ia juga akan membolehkan BN menumpukan seluruh sumber negara mereka untuk berkempen mengikut negeri sekiranya nanti gabungan itu memenangi PRU-15,” katanya.
Sebelum itu, negeri dikuasai PAS iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah turut memutuskan tidak akan membubarkan DUN masing-masing sebelum penggal berakhir. - Getaran, 6 Oktober 2022