KUALA LUMPUR - Keterbukaan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengisytihar aset berjumlah RM17 juta yang dimiliki 31 Oktober lalu ternyata ‘memakan’ dirinya kembali, apabila berterusan menerima asakan pihak lawan.
Terbaru, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad mendesak calon Ahli Parlimen Pandan itu segera memberi penjelasan berhubung kekayaan berkenaan, selepas sebelum ini mengumumkan kerugian Invoke.
Menurut beliau, deklarasi Rafizi itu menimbulkan persoalan, apakah faktor yang membuatkan jumlah aset tersebut meningkat dengan begitu ketara.
Katanya, rakyat berhak mengetahui faktor yang membawa kepada lonjakan kekayaan tersebut.
“Demi ketelusan yang sering disebut-sebut Rafizi, rakyat berhak tahu apakah yang menyebabkan kenaikan nilai yang begitu mendadak? Adakah Rafizi bersedia mendedahkan dengan segera kontrak atau sumber pendapatan diperoleh Invoke dalam tahun 2022 yang telah membawa kepada kenaikan nilai yang begitu besar?
“Yang kedua, dalam tahun 2017, Rafizi juga mengeluarkan kenyataan bahawa saham di dalam Invoke akan diagihkan kepada kakitangan Invoke yang berkorban selama ini. Ini dinyatakan sebagai menjawab persoalan (Datuk Seri Mohd) Rizal Mansor sama ada duit yang dikutip masuk ke dalam poket beliau sendiri,” katanya hari ini.
Dr Abdul Latiff berkata, pencarian terbaru dibuatnya di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagaimanapun mendapati Invoke hanya memiliki 14 pemegang saham.
“Rafizi memegang 73 peratus saham atau lion share daripada keseluruhan jumlah saham syarikat tersebut, manakala pemegang saham kedua terbesar ialah taikun perniagaan dikenali sebagai Lee Choo Boo dan yang ketiga terbesar ialah Ahli Parlimen PKR, Wong Chen.
“Lain-lain pemegang termasuk Ahli Parlimen PKR dan sahabat karib beliau, Akmal Nasrullah (Mohd Nasir) serta ahli PKR, Onn Abu Bakar. Selain daripada itu, (ada) juga sebuah syarikat kejuruteraan dan seorang warga negara asing, Hassan Mia Sonday,” katanya.
Dr Latiff turut mempersoal, di mana janji Rafizi yang dibuat pada 2017 untuk mengagihkan semua saham berkenaan kepada petugas Invoke.
“Perlu diingat bahawa pada 2017 juga, beliau menyatakan terdapat hampir 80 kakitangan Invoke. Adakah Rafizi tidak mahu lagi berkongsi kekataan bernilai berjuta melalui saham Invoke dengan rakyat marhaen yang ‘berkorban’ untuk beliau menjayakan Invoke?
“Saya minta Rafizi jawab jika kekayaan beliau itu akan digunakan untuk manfaat rakyat, memandangkan sokongan termasuk dana diberikan oleh rakyat inilah menyokong untuk pilihan raya yang adil,” katanya.
Sementara itu, Rafizi pada sidang media hari ini berkata, semua individu yang mempersoal mengenai aset dimiliki tersebut tidak memahami penyata kewangan.
Invoke katanya, memiliki dua anak syarikat dan penilaian dibuat turut mencakupi dua syarikat terbabit yang sudah pun dijual.
“Invoke secara bersendirian telah mencatatkan keuntungan pada 2020, iaitu setahun selepas ditubuhkan.
“Keuntungan berkenaan berjaya menarik minat pelabur, sekali gus melonjakkan nilai saham syarikat tahun ini,” katanya.
Saham itu bagaimanapun jelas Rafizi, dinilai di bawah paras sebenar iaitu RM75 juta, manakala agensi kerajaan, Cradle menilainya pada RM105 juta.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Rafizi bakal berdepan saingan lima penjuru dan dijangka menerima tentangan sengit daripada bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Tee Keat yang bertanding di bawah tiket WARISAN.
Selain Tee Keat, Rafizi juga berdepan saingan Ketua MCA Pandan, Datuk Leong Kok Wee (BN), Muhammad Farique Zubir Albakri (PN) dan Nadia Hanafiah (PEJUANG). – Getaran, 7 November 2022