web statsweb stats

Berita Terkini

1 minggu yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Rayu Pengampunan Diraja Untuk Najib, Keputusan MKT UMNO Terus Dipertikai

Politik Dikemaskini 1 tahun yang lalu ยท Diterbitkan pada 11 Apr 2023 7:09AM

Najib Tun Razak - Gambar oleh Azim Rahman

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar mempertimbangkan pengampunan penuh kepada mantan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak terus menjadi pertikaian ramai.

Penganalisis politik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, tindakan ‘terdesak’ itu akan menimbulkan persepsi negatif daripada rakyat yang pastinya beranggapan, ahli politik mempunyai talian hayat untuk melarikan diri dari tirai besi, sekiranya dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

Menurut beliau, keputusan tersebut tidak wajar diteruskan kerana boleh menyebabkan keutuhan sistem kehakiman dipertikaikan, malah mewujudkan budaya tidak baik untuk politik negara bagi jangka masa panjang.

Dr Hussain Yusri Zawawi - Gambar fail
Dr Hussain Yusri Zawawi - Gambar fail

“Jika proses itu dibuat, tidak nampak keutuhan serta kekuatan sistem kehakiman kita dan sistem beraja itu sendiri walaupun Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa memberi pengampunan.

“Namun, bukan konteks Raja yang kita bincangkan kerana kuasa itu sudah termaktub Perkara 42(1) dan 42(2) Perlembagaan Persekutuan, ia tidak boleh dipertikai tetapi orang ramai akan mempersoalkan UMNO yang menggunakan kedudukan sedia ada untuk mempengaruhi Yang di-Pertuan Agong. Ini adalah tindakan tidak wajar walaupun Seri Paduka Baginda mempunyai kuasa budi bicara,” katanya ketika dihubungi Getaran, hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas keputusan MKT yang membuat ketetapan untuk merayu perkenan Yang di-Pertuan Agong agar mengurniakan pengampunan penuh kepada Najib.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia selaras dengan kuasa yang diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, MKT sebulat suara bersetuju untuk memohon menghadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong berserta memorandum ditandatangani seluruh kepimpinan UMNO daripada 191 Bahagian, termasuk sayap Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO.

Bidas Hussain, keputusan MKT UMNO itu adalah satu ketidakadilan bagi rakyat marhaen kerana perlu menjalani hukuman, berbanding ahli politik yang mudah dilepaskan sekiranya terbabit dengan jenayah.

“Terlalu ‘double standard’ kerana orang politik yang terbabit dengan salah laku melibatkan pengubahan wang haram dengan jumlah terlalu besar akan dilepaskan tidak sampai setahun. 

Walaupun kita tahu UMNO terhutang budi dengan Najib dan jasa mantan Perdana Menteri itu juga pada Malaysia terlalu besar, ia tetap tidak adil,” katanya.

Tegas beliau, konteks undang-undang perlembagaan serta Rukun Negara memiliki perincian kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan yang perlu dipatuhi.

“Tidak kira siapa pun individu itu, tinggi mana jawatannya, ada keperluan untuk ikut apa yang telah diputuskan oleh sistem kehakiman negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, cadangan UMNO juga akan menimbulkan tanggapan tidak baik dalam kalangan negara asing bahawa Malaysia memiliki dasar perundangan yang terlalu lemah, sehingga mudah membenarkan banduan ahli politik terlepas dari penjara.

“Sekiranya ini dilakukan, legasi kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan terpalit disebabkan proses itu dibuat melibatkan menteri dalam Kerajaan Perpaduan.,Kita takut bila diizinkan, terhakis nilai kepercayaan negara luar terhadap Malaysia.

“Kita bukan bincang dari sudut perlembagaan namun dari sudut tanggapan negara lain, ia memang sedikit sebanyak memberi impak kepada negara kerana bila ahli politik ada kepentingan dalam parti, mudah sahaja dibuat tuntutan tanpa menunggu tempoh matang untuk dikemukakan kepada Agong,” katanya.

Ditanya penyertaan Perdana Menteri sebagai seorang daripada ahli Lembaga Pengampunan, Hussain berkata, tindakan itu akan menimbulkan persepsi tidak sihat kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dan terlalu mudah untuk perkara ini dijadikan senjata politik pelbagai pihak, khususnya pembangkang.

“Orang boleh tembak Anwar pada bila-bila masa walaupun Anwar bersetuju atau tidak bersetuju dengan dengan keputusan yang dilakukan oleh Lembaga Pengampunan.

“Tidak sepatutnya Anwar terlibat agar keputusan itu dibuat secara bebas tanpa campur tangan Perdana Menteri,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaie Hamil turut meluahkan pendapat senada, dan optimis permohonan UMNO itu akan ditolak oleh Agong.

Katanya, baginda pasti menyedari kebimbangan bahawa akan menjadi amalan dan budaya kepada ahli politik untuk sentiasa memohon pengampunan Diraja sekiranya dijatuhkan hukuman atas kesalahan jenayah.

Bagaimanapun, beliau berpandangan, tindakan yang diambil kerajaan untuk tidak mencampuri urusan UMNO adalah petanda baik kerana ia membuktikan Perdana Menteri komited dalam memisahkan perihal kehakiman dan pentadbiran.

“Untuk membuat permohonan tiada masalah atas alasan jasa Najib iaitu, pernah menjadi Perdana Menteri atau Presiden UMNO, itu semua kemungkinan menjadi pertimbangan oleh MKT untuk membuat permohonan. Jadi tanggungjawab mereka telah lepas kerana ada desakan dari akar umbi namun ini bukanlah permohonan yang mendesak atau memaksa.

“Walaupun Anwar merupakan ahli panel Lembaga Pengampunan, beliau tidak boleh buat keputusan kerana itu adalah kuasa Agong, malah kes Najib ini tidak dianggap sebagai darurat seperti yang pernah Tan Sri Muhyiddin Yassin lakukan ketika negara dilanda COVID-19, iaitu memohon Parlimen digantung dan ia dibenarkan oleh Agong,” katanya.

Jamaie berkata, bukan masa yang tepat untuk Najib mengemukakan permohonan tersebut keana adalah satu kebiasaan untuk banduan menjalani satu pertiga daripada tempoh penjara yang telah dijatuhkan oleh mahkamah terlebih dahulu.

“Kalau Najib dikenakan hukuman 12 tahun, mungkin sudah melebihi empat tahun ke atas baharu boleh dipertimbangkan, itu amalan yang dilakukan dan Agong juga akan mendapatkan nasihat daripada Majlis Raja-Raja Melayu walaupun Seri Paduka Baginda mempunyai kuasa dari peruntukan perlembagaan.

“Pada masa sama, pemimpin itu masih mempunyai kes lain dan sekiranya diberi pengampunan kali ini, pastinya beliau akan memohon kaedah sama untuk dilepaskan. Justeru, masyarakat serta peringkat antarabangsa akan memandang negatif kerana walaupun sudah didapati bersalah, ada kuasa yang boleh memberi pelepasan mudah.

“UMNO perlu menerima hakikat walaupun Najib mempunyai pelbagai jasa kepada parti itu dan rakyat, undang-undang tetap berada di atas, tiada siapa lebih berkuasa untuk lepas dari undang-undang. Mereka perlu patuh seperti yang dikenakan oleh banduan bukan dari golongan elit,” katanya.

Menerusi penghakiman pada 31 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-1, menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Empat hakim yang bersetuju ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang menentang berkata, panel Mahkamah Persekutuan ketika mendengar rayuan akhir Najib 23 Ogos tahun lalu gagal memberikan keputusan saksama kerana beliau dinafikan hak untuk mendapat perbicaraan yang adil.

Najib, 69, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di penjara Kajang, memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat. - Getaran, 11 April 2023

Berita Berkaitan

1

Semasa 3 minggu yang lalu

Jawatankuasa Kerja Akan Ditubuh Untuk Teliti Ancaman Pencemaran Air - PM

2

Semasa 3 minggu yang lalu

PM Arah Pihak Berkuasa, Majlis Agama Segera Siasat, Ambil Tindakan Isu GISB

3

Semasa 3 minggu yang lalu

MA63: Pemberian Khas Khas Interim Sabah, Sarawak Naik Kepada RM600 juta

4

Semasa 3 minggu yang lalu

Anwar Hadir Majlis Makan Malam Bersama Kepimpinan Kerajaan Sabah

Sorotan

1

Operasi Pencarian Sabari Meliputi Keluasan 13 Km Sungai Padang Terap

2

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

3

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

4

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

5

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

6

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia