KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Tertinggi UMNO tidak mahu memberikan komen berikutan pertemuan rahsia yang diadakan di Wisma Perwira, yang tamat sebelum tengah malam tadi.
Difahamkan pertemuan itu berakhir kira-kira jam 11.30 malam dengan pemimpin, termasuk Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meninggalkan mesyuarat berkenaan pada jam 9 malam.
Kenderaan membawa para pemimpin itu dipercayai meninggalkan kawasan tersebut menggunakan pintu keluar alternatif.
The Vibes memetik sumber, yang berkata pemimpin terbabit berkumpul untuk mendesak Zahid agar tidak membuat keputusan terburu-buru berhubung penarikan diri daripada Perikatan Nasional (PN).
Ini berikutan cadangan Presiden UMNO itu untuk mengeluarkan parti berkenaan daripada kerajaan PN minggu ini.
Beberapa Ahli Parlimen, antaranya ahli Majlis Tertinggi, memaklumkan kepada Zahid dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa perubahan dalam pemerintahan ketika pertengahan pandemik ini adalah tidak produktif.
Pemimpin yang lain juga berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus diberi ruang untuk terus memimpin kerajaan, tetapi perlu ada pelan peralihan kerana Presiden BERSATU itu kurang sihat sejak kebelakangan ini dan kini berada di hospital untuk tempoh hampir seminggu.
Ia membuka perbincangan mengenai pelantikan Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai calon Timbalan Perdana Menteri.
Antara pemimpin yang hadir pada mesyuarat itu adalah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Pemimpin UMNO berkumpul bersama dan secara berasingan
Sebelum pertemuan rahsia itu berlangsung, beberapa mesyuarat dikatakan telah berlangsung di sekitar ibu negara, dengan pemimpin dan ahli cuba mengumpul sokongan daripada 35 ahli Majlis Tertinggi, sama ada kekal atau keluar dari PN.
Zahid dan Najib dikatakan telah bertemu dengan kumpulan kecil parti berkenaan di ibu pejabat parti tersebut untuk mendapatkan sokongan bagi memutuskan hubungan dengan BERSATU dan membentuk gabungan baru, termasuk dengan PKR.
Hishammuddin, calon bukan pilihan untuk menjadi Perdana Menteri jika majoriti 37 Ahli Parlimen UMNO memilih untuk kekal dengan PN, juga dikatakan berada dalam beberapa pertemuan itu.
Perjumpaan yang berasingan ini menunjukkan perbalahan yang jelas tentang masa depan parti tersebut. - Getaran, 6 Julai 2021