Buletin Refleksi minggu ini dimulakan dengan pelancaran mesin mudah akses oleh Atlas Vending, diikuti dengan kempen DIY untuk golongan kanak-kanak dan dapatan data oleh Shopee Malaysia.
Baca lanjut tiga berita di bawah dengan lebih terperinci!
#1 Mesin Mudah Akses mesra OKU
Atlas Vending dengan kerjasama OKU Sentral melancarkan mesin mudah akses mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) pertama seumpamanya sempena Hari Kerusi Roda Antarabangsa.
Seiring pelancaran itu juga, beberapa mesin mudah akses lain turut ditempatkan di hospital-hospital KPJ terpilih, sekitar Klang dan Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi.
Mesin mudah akses ini berukuran rendah untuk kemudahan warga OKU serta dilengkapi dengan bekas syiling yang lebih besar untuk mereka yang mempunyai kawalan pergerakan terhad.
Selain itu, bagi memudahkan lagi proses pembayaran, mesin mudah akses ini juga dilengkapi ciri-ciri pembayaran secara elektronik.
Bercakap di majlis pelancaran, Senator dan pengasas bersama OKU Sentral, Datuk Ras Adiba Radzi berkata, “Kami berbesar hati dengan langkah bernas yang ditunjukkan Atlas Vending.
“Menurut laporan UNICEF, terdapat kira-kira 4.5 juta OKU di Malaysia. Dengan memudahkan kehidupan mereka, mereka turut boleh menjadi penyumbang ekonomi yang lebih cekap.
“Ia mewujudkan kebebasan, integrasi sosial dan membolehkan mereka hidup berdikari dalam masyarakat, selain meningkatkan kualiti hidup mereka,” ucap Ras Adiba.
Dengan pelancaran ini serta mesin layan diri Braille tahun lalu, Atlas Vending menjadikan industri peruncitan lebih mudah untuk masyarakat OKU di Malaysia.
#2 MR DIY beri keriangan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik
MR DIY melancarkan kempen ‘Kamu Kongsi, Kami Derma’, menyeru rakyat Malaysia untuk ‘like’ (suka) dan ‘share’ (kongsi) filem web berjudul 'Family' di Facebook rasmi MR DIY.
Filem web berdurasi 3.5 minit itu mengisahkan tentang tiga sekawan yang berlainan bangsa. Mereka berpegang setia kepada nilai-nilai murni yang mereka pelajari di rumah anak yatim.
Kempen ini bertujuan untuk menyalurkan jumlah sumbangan yang sama banyak dengan jumlah perkongsian oleh pengguna, ke beberapa organisasi kebajikan berbeza.
Filem web itu berjaya memperolehi 1,380 perkongsian dan mendapat lebih 11 juta tontonan di Facebook, YouTube dan TikTok.
Sehubungan itu, MR DIY menyalurkan sumbangan berjumlah RM4,140 dalam bentuk baucar tunai, masing-masing bernilai RM1,390 setiap satu ke tiga rumah kebajikan terpilih.
Selain baucar tunai, House of Love, Shelter dan BRDB Rotary Children's Residence turut menerima kit ujian kendiri COVID-19 jenis calitan hidung, air liur dan pelitup muka.
Ketua Pemasaran MR DIY, Alec Goh berkata, “Sebagai jenama kelahiran Malaysia, kami ingin meraikan ciri-ciri unik yang menjadikan kita sebagai satu komuniti.
“Kami berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana menyokong usaha tahunan ini. Dengan komitmen, kami memastikan agar komuniti paling memerlukan tidak ketinggalan,” ujar Goh.
#3 Shopee: Rakyat Malaysia mengambil penjagaan diri dengan lebih serius
Data Shopee Malaysia menunjukkan rakyat Malaysia kini lebih menyesuaikan diri untuk merasakan kegembiraan dan penghargaan untuk diri mereka sendiri pasca pandemik.
Lebih ramai rakyat Malaysia mendapatkan keperluan penjagaan diri mereka di dalam talian berdasarkan data tabiat beli-belah oleh Shopee Malaysia.
Sejak pandemik bermula, permintaan produk yang membantu meningkatkan kesejahteraan hidup serta mengurangkan stres telah meningkat enam kali ganda di platform tersebut.
Ketua Pemasaran Shopee Malaysia, Kennet Soh berkata, “Hasil dari data ini memperlihatkan kaedah yang digemari rakyat Malaysia untuk menjaga kesejahteraan mereka.
“Ia menandakan peningkatan bagi aspek penjagaan peribadi. Kami berbesar hati dapat menyokong membantu rakyat Malaysia menemui apa yang mereka perlukan,” katanya.
Berbanding sebelum pandemik (2019), rakyat Malaysia meletakkan kesejahteraan fizikal sebagai keutamaan. Mereka menunjukkan minat enam kali ganda untuk barangan kesejahteraan diri.
Barangan-barangan berkaitan pemakanan sihat, senaman, dandanan dan kebersihan diri menjadi pilihan utama rakyat Malaysia pada hari ini.
Mereka juga lebih peka untuk persekitaran yang lebih sihat. Minat dalam barangan berkaitan seperti wangian, lilin aromaterapi dan hiasan meningkat 10 kali ganda. - Getaran, 4 Mac 2022
Semua gambar: Jenama-jenama berkenaan