Artis serba boleh, Elly Mazlein bersyukur atas rezeki yang diberikan dalam bidang pengacaraan meskipun kariernya yang bermula sekitar 20 tahun lalu diawali sebagai penyanyi.
Menurutnya, dia tidak kisah jika ada pihak tidak menyukai dan membenci dirinya gara-gara muncul dalam pelbagai program televisyen kini.
“Sejujurnya, kalau orang tidak suka dengan saya, saya tidak kisah sebab saya tak nak fikir tentang perkara negatif buat masa sekarang. Saya hanya nak memberi tumpuan kepada peminat saya yang menyukai saya.
“Kita tidak boleh paksa orang, jadi kepada yang tidak berminat, tidak mengapa kerana saya sentiasa memberi ruang kepada mereka untuk menerima saya suatu hari nanti. Bak kata orang, tak kenal, maka tak cinta,” katanya.
Elly Mazlein berkata demikian ketika ditemui majlis sidang media The Masked Singer Malaysia baru-baru ini.
Jelas lagi pemilik nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi atau lebih mesra disapa sebagai Kak Lina Pom Pom itu, perjalanannya sebagai penggiat seni tidak mudah seperti difikirkan oleh segelintir pihak.
“Bukan mudah untuk kita kekal relevan dalam industri seni kini dengan kemunculan banyak bakat-bakat baharu.
“Saya berkerja keras dan sentiasa bagi yang terbaik dalam semua sebagai tanda saya menghormati rezeki yang diberikan, jadi untuk saya berada di tahap hari ini bukan mudah.
“Ini semua kerja Allah SWT. Selain usaha, kita juga perlu berdoa dan tawakal. Selebihnya kita serahkan pada Allah SWT. Siapa sangka pada usia 42 tahun, rezeki hadir melimpah-ruah dan tidak putus-putus.
“Kebangkitan seorang anak seni bernama Elly Mazlein bukan mudah dan tidak melalui jalan pintas untuk dia berada di tahap seperti hari ini,” tambahnya.
Ketika disoal tentang kerjaya nyanyiannya yang semakin mundur, Elly berkata, perjalanan sebagai penyanyi tidak begitu memberangsangkan berbanding pengacaraan.
“Sebenarnya, saya tidak terasa hati dan saya tidak kisah sama ada menyanyi, berlakon atau mengacara. Selagi ada rezeki, saya sangat bersyukur.
“Memang betul, mungkin rezeki saya bukan dalam bidang nyanyian tetapi lain. Apapun saya bersyukur kedua-duanya masih lagi dalam bidang yang sama,” katanya.
Nama Elly Mazlein mencetus fenomena yang gah selepas berjaya menyuntik kelainan ketika muncul sebagai hos program Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9).
Selepas kemunculan di GV9 Kak Lina memulakan tanggungjawabnya sebagai penyampai radio ERA secara rasmi.
Terkini, dia menjadi salah seorang juri baharu untuk program The Masked Singer Malaysia musim ketiga yang turut menampilkan barisan juri lain seperti Emma Maembong, Sharnaaz Ahmad dan pelawak, Shuib. – Getaran, 16 Disember 2022