Pempengaruh dan jurulatih kecergasan, Kevin Zahri mencuri tumpuan apabila videonya yang menceritakan kisah hijrah daripada agama Kristian ke Islam dikongsikan ramai pengguna media sosial.
Sebelum ini Kevin pernah mendedahkan status agama selepas diasak bertubi-tubi soalan daripada warganet. Kini menerusi video terbaru, Kevin berkongsi secara terperinci proses penghijrahannya dan pengalamannya bergelar mualaf.
“Saya membesar sebagai Kristian, ayah saya seorang Islam manakala ibu saya seorang Kristian dari German. Ibu yang banyak mengajar saya tentang agama. Sehinggalah ayah saya berpindah ke Malaysia pada tahun 1991 yang ketika saya berumur 12 tahun.
“Dia mula mendapat hidayah dan membimbing kami tentang agama Islam dengan bantuan ustaz. Saya tidak menerima Islam secara langsung pada hari pertama. Saya ambil masa untuk mengenal Islam,” dedahnya dalam video yang dimuat naik di TikTok.
Dalam tempoh setahun, Kevin banyak mempelajari tentang agama Islam dan membuat perbandingan dengan agama Kristian. Sehinggalah ketika dia berusia 13 tahun, Kevin akhirnya memeluk agama Islam.
“Malam sebelum berhijrah, saya berdoa kepada Tuhan dan berkata, Tuhan, malam ini adalah malam terakhir saya berdoa kepada kamu sebagai Kristian. Esok saya akan berdoa kepada Allah sebagai seorang Muslim.
“Di mata saya, ia tetap Tuhan yang sama. Semestinya, ada perbezaan dari segi sejarah tapi dalam fikiran saya, Islam adalah agama yang menunjukkan kemaraan para rasul yang telah dihantar ke dunia ini.
“Bermula dengan Adam, Musa, Isa dan Nabi Muhammad. Saya rasa macam ia sebuah windows edisi baru dan inilah mesej terkini daripada Tuhan. Oleh itu, saya membuat keputusan untuk menjadi seorang Muslim,” dedahnya.
Walaupun video sudah dimuat naik bulan lalu, namun ia masih dikongsi dan mendapat maklum balas yang pelbagai daripada pengguna media sosial.
“Perkongsian yang menarik, teruskan berkongsi bang!,” tulis satu komen.
“Menitik air mata saya, indah cerita ini,” kata komen yang lain.
“Ini pertama kali saya dengar kisah hijrah coach,” kata seorang pengguna.
Foto: TikTok Kevin Zahri