Pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz sekali lagi terpalit dengan kontroversi apabila namanya dikaitkan dengan satu kes khalwat yang membabitkan pasangan artis di sebuah kondominium di ibu negara awal pagi Sabtu.
Dalam satu hantaran video yang dimuat naik oleh Melodi TV3 di akaun TikTok, isteri kepada kepada Aliff, Bella Astillah enggan mengulas lanjut apabila pihak penerbit Melodi, Michelle Wee menyoalnya.
Bagaimanapun, adik iparnya, Didi Astillah yang menemani Bella ke Pejabat Agama Islam Wilayah Persekutuan memohon agar Bella diberi ruang sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Bagi pihak Bella, saya tak mahu beri sebarang kenyataan berhubung isu ini. Kalau boleh beri ruang kepada kakak saya untuk dia bertenang terlebih dulu. Ini kerana apa yang berlaku ini amat mengejutkan kami sekeluarga.
“Sebagai adik saya tidak mahu masuk campur urusan keluarga kakak saya. Cuma kami sekeluarga kenal rapat dengan pelakon wanita itu tetapi tak tahu sejauh mana hubungan mereka,” ujar.
Sementara itu, pelakon Ruhainies menjadi sasaran kecaman netizen apabila ramai percaya dia adalah pelakon wanita yang dicekup bersama Aliff. Ini kerana Ruhainies merupakan pelakon utama untuk sebuah drama bersiri yang turut dibintangi oleh Aliff.
Menjenguk ke ruangan komen di akaun Instagram Ruhainies, ramai yang mula melemparkan kata-kata pedas.
"Dulu saya minat Ruhaines sebab suka tengok dia berlakon, tapi bangun pagi ni kecewa sangat. Maaf, saya tak sokong wanita yang melibatkan diri dgn suami orang. Done unfollow. Apa pun kebenarannya hanya mereka sahaja tahu,” komen @valeria_suriya.
"Ruhainies, awak cantik, tapi sayang kenapa sampai check in dengan suami orang. Jadi wanita yang ada class. Bukan low life,” komen @juaini_jeny pula.
Sehingga kini, Ruhainies masih tidak memberi sebarang respon terhadap tuduhan itu. - Getaran, 9 Mac 2024