KUALA LUMPUR - Peniaga petrol menggesa pihak kerajaan untuk masuk campur kerana mereka percaya yang syarikat minyak asing sedang menekan mereka dengan kenaikan sewa.
Sumber memberitahu The Vibes syarikat asing sedang merancang untuk menaikkan kadar sewa walaupun para peniaga mengalami penurunan dalam keuntungan kerana sekatan COVID-19.
Ada dua jenis peniaga petrol. Yang pertama - kumpulan minoriti - yang dikenali sebagai stesen yang dimiliki oleh peniaga, di mana para peniaga mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan perbelanjaan, manakala kumpulan kedua pula dinamakan sebagai peniaga dimiliki oleh syarikat.
Kumpulan kedua inilah yang perlu membayar caj tambahan daripada margin bersih mereka sebagai balasan mengoperasikan stesen minyak yang dibina dan dibentuk dengan kerjasama dengan sebuah syarikat petrol.
Difahamkan yang kedua-dua kumpulan ini tidak mendapat keuntungan besar daripada penjualan petrol dan menambah keuntungan mereka dengan menyewakan ruang untuk mesin ATM, kedai serba guna dan kedai makanan segera.
Peniaga biasanya akan mendapat keuntungan sebanyak 15 sen seliter untuk produk minyak RON95 dan RON97 dan 10 sen seliter untuk produk diesel. Kadar ini ditetapkan dengan rundingan bersama dengan kerajaan.
Perniagaan dimiliki syarikat juga membayar sehingga 4.4 sen seliter dalam caj sewa.
Sesetengah syarikat asing merancang untuk menaikkan kadar itu sehingga 4.9 sen.
Para peniaga yang bercakap kepada The Vibes dengan syarat tidak mahu dikenali berkata mereka berasa syarikat minyak asing melayan mereka seperti pekerja bergaji, “walaupun kami juga adalah peniaga tersendiri”.
“Kami telah melaburkan jutaan ringgit dalam perniagaan ini, tetapi nasib kami berada di tangan syarikat asing ini, yang menentukan dan merubah terma ikut suka hati mereka sendiri.”
Seorang lagi peniaga berkata yang royalti korporat juga perlu dibayar.
“Mereka akan melumpuhkan perniagaan dengan amalan tidak adil ini.”
Beliau berkata pandemik yang melanda negara telah menyebabkan 20 peratus stesen petrol di negara ini gulung tikar ataupun dipindah milik.
“Saya berharap yang mereka tidak mengambil kesempatan ke atas keadaan sekarang ini untuk menekan kami lagi,” katanya.
Para peniaga itu memuji syarikat minyak nasional PETRONAS kerana konsisten dengan peraturan dan kadarnya.
“Ini kerana sebagai sebuah syarikat Malaysia, ia melabur dalam pembangunan industri dalam negara. Syarikat asing tidak komited. Ada elemen eksploitasi peniaga dan pengoperasi tempatan.”
Difahamkan yang peniaga petrol mahu Putrajaya untuk campur tangan kerana mereka percaya yang kenaikan harga sewa akan menyebabkan keuntungan mereka semakin berkurangan dan mungkin menyebabkan kerugian.
“Pemilikan Bumiputra juga terkesan, kira-kira 70 peratus stesen minyak di negara ini dimiliki oleh peniaga Bumiputra.
“Dengan isu ekuiti Bumiputera diberikan perhatian baru-baru ini, sudah tiba masanya kerajaan melihat eksploitasi peniaga tempatan oleh syarikat asing.”
The Vibes juga telah menghubungi beberapa syarikat minyak asing, tetapi belum mendapat maklum balas. - Getaran 3 Oktober 2021