KUALA LUMPUR - Tindakan seorang wanita warga asing yang berdegil tidak mahu menggunakan pelitup muka ketika memasuki sebuah butik mewah di KLCC mengundah padah apabila dia akhirnya dikenakan kompaun sebanyak RM3,000.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya melaksanakan tindakan itu di bawah Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021.
"Kesalahan pertama adalah tidak mematuhi arahan ketua pengarah kesihatan apabila gagal mendaftar masuk ke premis menggunakan aplikasi MySejahtera di kawasan capaian internet yang luas.
"Kesalahan kedua pula, tidak mematuhi arahan ketua pengarah kesihatan apabila gagal memakai pelitup muka ketika berada di dalam premis,” katanya menerusi hari ini.
Rakaman video wanita diberi jolokan 'Karen' itu tular di media sosial sejak beberapa hari lalu, apabila dia membuat 'onar' kerana dilarang memasuki butik mewah di KLCC, gara-gara enggan menggunakan pelitup muka.
Menerusi klip video pendek pada 27 Oktober lalu, dia mendakwa ditolak kakitangan butik berkenaan, namun dinafikan petugas tersebut.
Hanya beberapa hari kemudian, 'Karen' sekali lagi dilihat membuat kecoh di pusat beli belah Bangsar Shopping Centre (BSC) di sini, juga atas isu yang sama.
Sikap mementingkan diri pelancong terbabit menerima respon meluas daripada warga maya yang mengecam perbuatannya kerana tidak mematuhi dan menghormati peraturan ditetapkan kerajaan.
Netizen turut memuji ketegasan pekerja butik itu yang tidak membenarkan wanita berkenaan memasuki premis.
Pemakaian pelitup muka diwajibkan kerajaan sejak 1 Ogos tahun lalu sebagai antara usaha membendung penularan jangkitan COVID-19, dan individu yang gagal mematuhi arahan tersebut boleh dikenakan tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada. - Getaran, 31 Oktober 2021.