web statsweb stats

Berita Terkini

10 jam yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


2021, Antara Duka Dan Air Mata

Semasa Dikemaskini 2 tahun yang lalu ยท Diterbitkan pada 28 Dec 2021 3:50PM

Salah satu daripada gerabak LRT laluan Kelana Jaya yang remuk akibat terlibat dalam pertembungan dengan gerabak yang lain. - Gambar oleh Sadiq Asyraf

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Tidak keterlaluan jika dikatakan 2021 sarat dengan duka dan air mata, mencakupi pelbagai lingkup kehidupan.

Peristiwa berdarah yang meragut sekian banyak nyawa, nahas ngeri tidak dijangka dan bencana alam tanpa diduga melatari bumi bertuah ini, mendatangkan sebak tanpa penghujung.

Ratapan penuh luka, rintihan tidak berpenghujung menyaksikan 2021 kekal dalam lipatan sejarah, sebagai antara tahun yang penuh getir buat Malaysia.

Getaran menyorot dan mengimbas kembali deretan tragedi yang mengisi garis masa 2021 di seluruh negara, agar ia malar segar sebagai pedoman dan iktibar di masa hadapan.

NAHAS LRT LALUAN KELANA JAYA

Tanggal 24 Mei, seluruh negara digegarkan dengan nahas membabitkan dua gerabak LRT bagi laluan Kelana Jaya, yang bertembung dalam terowong, antara Stesen Kampung Baru dan KLCC pada jam 8.45 malam.

Nahas yang dianggap luar biasa itu menyebabkan 213 penumpang yang berada di dalam satu gerabak cedera, dengan 47 daripadanya disahkan parah.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner (ACP) Mohamad Zainal Abdullah berkata, 166 penumpang lagi mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur serta beberapa hospital lain untuk menerima rawatan.

Mangsa pertembungan dua gerabak LRT tiba di HKL. - Gambar oleh Syeda Imran
Mangsa pertembungan dua gerabak LRT tiba di HKL. - Gambar oleh Syeda Imran

Menurut beliau, kesemua penumpang berkenaan berada dalam gerabak tren yang sedang dalam perjalanan dari Stesen LRT KLCC ke LRT Gombak, manakala sebuah lagi tren dari hala Stesen LRT Kampung Baru ke Stesen LRT Gombak hanya membawa seorang pemandu.

Difahamkan, kedua-dua tren itu bergerak pada kelajuan sekitar 40 kilometer sejam ketika bertembung.

Insiden ini juga membawa kepada pemecatan serta merta Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada 26 Mei.

KES TEMBAK ANGGOTA TUDM

Menginjak 13 Ogos, seluruh rakyat dikejutkan dengan insiden tembakan yang mengorbankan empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kota Samarahan, Sarawak.

Menurut jurucakap Markas TUDM, tragedi pada jam 7.15 pagi itu mengorbankan Koperal(U) Mohammad Ehsan Sehamat, Koperal (U) Ho Swee Bon, Laskar Udara Kanan (LUK) Nesly ak Nabau dan Koperal (U) Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabbli.

Kesemua mangsa disahkan berasal dari Sarawak dan telah berkahwin.

Mayat pertama kes tembakan di Kem TUDM Kota Samarahan tiba di rumah mayat Hospital Umum Sarawak pada 12.40 tengah, 13 Ogos untuk siasatan lanjut. - Gambar Bernama
Mayat pertama kes tembakan di Kem TUDM Kota Samarahan tiba di rumah mayat Hospital Umum Sarawak pada 12.40 tengah, 13 Ogos untuk siasatan lanjut. - Gambar Bernama

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, kejadian dilaporkan berlaku di Balai Pengawal Skuadron 330, apabila suspek masuk ke lokasi sebelum mengambil senjata api, dan melepaskan tembakan kea rah tiga rakannya.

Menurut beliau, suspek turut menembak dirinya sendiri dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

Mangsa keempat pula menghembuskan nafas terakhir ketika sedang dirawat di hospital pada jam 9.15 pagi.

PESAWAT HAWK TERHEMPAS

Sekali lagi tragedi menyelubungi TUDM, apabila seorang juruterbang terbunuh, manakala seorang lagi cedera parah apabila pesawat Hawk yang sedang menjalani penerbangan latihan terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, 17 November lalu.

Insiden pada jam 10.07 malam itu berlaku di landasan pangkalan udara berkenaan, dan disahkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melalui ciapan di Twitter.

Bangkai pesawat Hawk yang terhempas di Kem TUDM Butterworth. - Gambar Bernama
Bangkai pesawat Hawk yang terhempas di Kem TUDM Butterworth. - Gambar Bernama

Menurut Hishammuddin, beliau dimaklumkan mengenai kejadian tersebut daripada Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

Identiti juruterbang yang maut disahkan sebagai Kapten Mohamad Affendi Bustamy, manakala rakannya dikenali sebagai Mejar Mohd Fareez Omar.

Kedua-duanya sedang menjalani latihan Night Flying ketika nahas.

BOT KARAM, 15 PATI MATI LEMAS

Sedari dulu, Malaysia sering menjadi destinasi pilihan pendatang asing tanpa izin (PATI), yang mahu menjadikan negara ini sebagai pelabuhan mencari rezeki.

Mereka tidak takut dengan bahaya dan gelora lautan yang menanti, walau nyawa menjadi galang ganti.

15 Disember lalu, musibah akhirnya menimpa apabila 15 PATI ditemui mati lemas, manakala 21 lagi selamat selepas bot dinaiki mereka karam, akibat cuaca buruk di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor.

Beberapa petugas lengkap berpakaian peralatan pelindungan diri (PPE) mengusung mayat mangsa bot karam di perairan Tanjung Balau. - Gambar Bernama
Beberapa petugas lengkap berpakaian peralatan pelindungan diri (PPE) mengusung mayat mangsa bot karam di perairan Tanjung Balau. - Gambar Bernama

Sepuluh mayat ditemui pada hari sama, manakala lima lagi dijumpai pasukan penyelamat keesokan harinya.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim, Nurul Hizam Zakaria berkata, bot terbabit dipercayai membawa sehingga 60 pendatang, yang mahu menyeludup masuk ke negara ini.

IBU, LAPAN ANAK KORBAN NAHAS NGERI

Seisi negara kembali berduka pertengahan bulan lalu, apabila seorang ibu bersama lapan anaknya terkorban dalam nahas ngeri melibatkan empat kenderaan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) menghala ke Shah Alam.

Kejadian pada 11.30 malam 17 Disember itu berlaku apabila kereta Proton Wira dinaiki kesemua mangsa berhenti di lorong kecemasan, dipercayai mengalami kerosakan bateri.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, nahas tersebut membabitkan dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler.

Kesemua magsa kemalangan di lebuhraya ELITE di susun di tepi jalan selepas dikeluarkan dari kenderaan. - Gambar ihsan Bomba
Kesemua magsa kemalangan di lebuhraya ELITE di susun di tepi jalan selepas dikeluarkan dari kenderaan. - Gambar ihsan Bomba

Menurut beliau, nahas berkenaan membabitkan 17 mangsa dan 10 daripadanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ibu yang maut itu disahkan sebagai Norul Naziah Buyong, 37 manakala lapan anaknya ialah Muhamad Razarul Amin Abd Razak, 17, Razatul Aliah Abd Razak (16), Puteri Hidayah Abd Razak (12), Muhamad Aizat Syazwan Abd Razak (10), Muhamad Rolkaizat Rezky Abd Razak (9), Muhamad Hidayat Hakimie Abd Razak (7), Puteri Nur Ain Syalwana Abd Razak (3) dan Muhammad Raid Fathi Abd Razak, 10 bulan.

Turut terkorban ialah Mohamad Rahimi Rolex, 27.

Empat daripada Sembilan beranak yang maut itu turut disahkan positif COVID-19.

BAH BESAR LANDA LEMBAH KLANG

Hanya sehari selepas nahas ngeri itu ketika seluruh negara sedang menantikan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12, Lembah Klang khususnya Selangor dilanda banjir besar, susulan hujan lebat yang turun lebih 24 jam.

Siapa pun pasti tidak akan boleh melupakan apabila hanya dalam masa beberapa jam, hampir keseluruhan Shah Alam dan sebahagian besar lokasi di Klang ditenggelami air, menyebabkan ribuan kenderaan terkandas.

Dalam masa sama, penduduk setempat mula ketakutan, apabila paras air semakin meningkat sedangkan bantuan dinanti tak kunjung tiba.

Seorang lelaki meredah air banjir di Taman Sri Muda. - Gambar oleh Sadiq Asyraf
Seorang lelaki meredah air banjir di Taman Sri Muda. - Gambar oleh Sadiq Asyraf

Taman Sri Muda, Shah Alam bertukar menjadi lautan, memaksa penghuninya mengambil inisiatif menyelamatkan diri, malah ada yang terpaksa memanjat bumbung apabila kediaman mereka semakin ditenggelami.

Ketika ini juga kerajaan dikecam hebat, apabila lewat bertindak sedangkan rakyat semakin tersepit.

Bah besar yang berlaku itu bulan sekadar melanda Selangor dan Lembah Klang, tetapi turut berlarutan ke beberapa kawasan di Pahang, antaranya Temerloh, Bentong, Raub, Kuantan dan Mentakab.

Ia turut membawa bersama insiden tanah runtuh dan banjir lumpur yang meragut dua nyawa, termasuk seorang kanak-kanak.

Sehingga kini, banjir yang turut melanda Kelantan itu meragut 48 nyawa, dengan 25 di Selangor, 20 di Pahang dan tiga di Kelantan. - Getaran, 28 Disember 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 tahun yang lalu

Tragedi Kepala Air Kampung Iboi Segar Dalam Ingatan

2

Semasa 1 tahun yang lalu

Tragedi Kepala Air: Satu Lagi Mayat Dijumpai Pagi Ini

3

Semasa 1 tahun yang lalu

Bapa Mangsa Tragedi Kepala Air Reda Pemergian Anak Sekeluarga

4

Semasa 1 tahun yang lalu

Tragedi Double Six: Keluarga Mangsa Bincang Tindakan Lanjut

Sorotan

1

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

2

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

3

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

4

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

5

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia

6

Paris 2024: Latif Romly Diharap Sumbang Emas Ke-3 Negara

Disyorkan untuk anda

Semasa 12 jam yang lalu

Remaja Dihanyut Arus Deras Ditemukan Lemas, Ibu Masih Hilang

Politik 19 jam yang lalu

PRK Mahkota: Orang Asli Antara Yang Awal Keluar Mengundi

Semasa 1 hari yang lalu

PU Azman Dipenjara 24 Tahun, 2 Sebatan Lakukan Amang Seksual Terhadap Remaja lelaki

Semasa 19 jam yang lalu

Mangsa Banjir Kedah Meningkat, 1 PPS Baharu Dibuka