KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara (AGC) digesa menarik semula pelantikan seorang Peguam Kanan Persekutuan daripada mewakili guru yang membuat jenaka rogol dan bekas pengetua dalam saman balas difailkan pelajar, Ain Husniza Saiful Nizam.
Desakan itu dikemukakan 75 Ahli Parlimen pembangkang yang berpendapat, kerajaan Keluarga Malaysia, khususnya AGC dan Kementerian Pendidikan (KPM) harus bersikap berkecuali dalam pertikaian ini.
“Keputusan diambil oleh AGC yang mengarahkan seorang Peguam Kanan Persekutuan membela guru dan bekas pengetua dalam saman balas difailkan oleh Ain Husniza serta bapanya, Saiful Nizam Ab Wahab adalah amat memeranjatkan dan harus ditarik balik.
“Fokus kerajaan seharusnya diletak pada usaha menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif di semua sekolah seluruh negara,” kata kumpulan itu hari ini.
Kesemua pemimpin terbabit menjelaskan, AGC sebagai pembela kepentingan orang awam seharusnya tidak berpihak dalam kes persendirian yang sensitif seperti ini.
Jelas mereka, jabatan tersebut seharusnya hanya membela kes yang melibatkan entiti kerajaan.
“Pelantikan seorang Peguam Kanan Persekutuan dalam tindakan sivil persendirian yang dimulakan oleh guru terlibat hanya akan memburukkan keadaan dan memberi persepsi negatif terhadap KPM serta kerajaan.
“Bidang perguruan mesti dihormati, terutama dalam usaha mendidik dan membimbing masa depan anak-anak kita, namun institusi pendidikan perlu memberi penegasan bahawa sindiran seksual serta jenaka mengenai rogol, khususnya ke atas remaja perempuan tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.
Kumpulan Ahli Parlimen berkenaan turut melahirkan kebimbangan, pelantikan Peguam Kanan Persekutuan itu akan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap sistem pendidikan negara.
“Dana pembayar cukai harus digunakan sewajarnya dan kami hormati hak sesiapa sahaja yang mahu mengambil tindakan perundangan, termasuk guru berkenaan namun AGC sebagai penggubal rang undang-undang gangguan seksual seharusnya lebih peka terhadap kes seperti ini,” katanya.
Ain dan Saiful Nizam sebelum ini menyatakan bantahan atas tindakan peguam kerajaan mewakili dua individu disaman itu dan berkata, saman balas berkenaan dibuat atas kapasiti peribadi, justeru ia sama sekali tidak boleh diterima.
Peguam Kanan Persekutuan itu turut mempertahankan guru dan bekas pengetua sekolah yang dinamakan sebagai defendan oleh Ain dan bapanya.
Dalam afidavit berkenaan, Ain dan Saiful Nizam berkata, adalah tidak wajar dan janggal untuk Peguam Kanan Persekutuan mewakili defendan terbabit ketika kedua-duanya disaman atas kapasiti peribadi.
Keduanya berpendapat, AGC terlebih dahulu perlu mengeluarkan sijil kebenaran sebelum peguam kerajaan boleh mewakili kedua-dua defendan.
Menurut mereka, tindakan Peguam Kanan Persekutuan mewakili bekas pengetua itu menyalahi peruntukan perundangan kerana wanita tersebut bukan lagi penjawat awam ketika saman berkenaan difailkan.
Peguam SN Nair yang mewakili Ain dan bapanya mengesahkan afidavit terbabit difailkan di Mahkamah Sesyen Klang, baru-baru ini. - Getaran, 7 Jun 2022.