KUALA LUMPUR - Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) menggesa Kementerian Sumber Manusia (KSM) memberi jaminan akan menyiasat isu penyelewengan dana insentif Program Subsidi Upah (PSU) sehingga ke lubang cacing.
Jurucakap sekretariat NUFAM menegaskan, isu tersebut harus diambil serius dan dikenakan tindakan tegas, termasuk menyenaraihitamkan sekiranya pihak terbabit didapati bersalah.
“NUFAM kecewa kerana ada sesetengah pihak berani merompak hasil titik peluh pekerja yang disalurkan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Mereka yang tidak bertanggungjawab ini merompak hasil titik peluh simpanan pekerja apabila kerajaan mengeluarkan dana bantuan PSU ini melalui PERKESO,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Sekretariat NUFAM menegaskan, pihaknya mengadakan pertemuan dengan PERKESO baru-baru ini, malah membangkitkan beberapa kelemahan skim bantuan tersebut.
“Antara dibangkitkan adalah mengenai dana bantuan itu sepatutnya disalurkan terus kepada pekerja dan bukan majikan,” katanya.
Lebih menyedihkan, dakwa NUFAM, ada majikan yang menerima jutaan ringgit, tetapi pada masa sama membuang pekerja mereka.
Jelasnya, keadaan itu menunjukkan pemantauan tidak dilakukan secara terperinci ke atas syarikat penerima dana tersebut.
“Kami harap isu seperti ini diambil berat Menteri Sumber Manusia kerana beliau harus mengambil tanggungjawab dengan memberi jaminan ia akan disiasat sehingga ke lubang cacing.
“Kejadian tersebut juga mencemar nama baik PERKESO yang selama ini memberi bantuan kepada pekerja di Malaysia,” katanya. - Getaran, 7 Ogos 2022