KUALA LUMPUR - Tindakan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melakukan sumpah mubahalah bagi menafikan tidak terlibat dalam kes SRC International Sdn Bhd (SRC) hanya untuk meraih simpati rakyat.
Penyelaras Penerangan Perikatan Nasional (PN), Badrul Hisham Shaharin berkata, pihaknya yakin hanya penyokong dan mereka yang taksub kepada Najib sahaja mempercayai pemimpin itu tidak bersalah.
"Najib Razak dah nak masuk penjara seperti biasa dia "jual nama Allah" dengan bersumpah lagi semalam di Masjid Kampung Baru (Kuala Lumpur).
"Penyokong yang dapat dedak dia dan bodoh sahaja akan percaya," katanya dalam kenyataan kepada Getaran, hari ini.
Semalam, Najib melakukan sumpah mubahalah di hadapan jemaah Masjid Kampung Baru dekat sini menjelang prosiding rayuan akhir kes bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Persekutuan, esok.
Najib membacakan teks sumpah berkenaan selepas selesai solat hajat dan doa munajat bersama jemaah masjid berkenaan.
Dalam sumpah itu, Najib antara lain mengulangi penafian beliau terbabit dalam SRC atau 'mengarahkan mana-mana anggota atau pengarah atau mana-mana pegawai SRC untuk menyelewengkan apa-apa dana syarikat SRC ke dalam akaun bank aku untuk apa-apa tujuan pun'.
Beliau juga mendakwa tidak pernah menerbitkan atau bersetuju mewujudkan syarikat SRC untuk tujuan merangkum apa-apa dana bagi tujuan peribadi atau keluarga.
Dalam pada itu, Badrul Hisham berkata, Najib terbukti berbohong selepas afidavit bersumpah difailkan Ahli Parlimen Pekan itu dalam saman sivilnya terhadap mantan Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik mengesahkan pengetahuannya mengenai RM42 juta yang masuk ke akaun bank peribadinya sebagai berasal dari SRC.
Pada masa sama, peguam utamanya, Hisyam Teh Poh Teik tidak mampu membalas hujah mantan Pengerusi Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah selepas mendedahkan Najib meminta seorang pegawai kanan Perbendaharaan “mempercepat” proses permohonan SRC RM2 bilion daripada agensi terbabit.
"Wan Abdul Aziz juga hadir dalam kandang saksi di mahkamah menyatakan Najib minta percepat pemberian pinjaman sedangkan panel KWAP cuma meluluskan RM1 billion sahaja. "Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azimah Omar ketika menolak saman fitnah difailkan mantan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap Lim Kit Siang menyatakan Mohamed Apandi tidak bertemu atau bercakap dengan penderma keluarga Diraja Arab Saudi yang didakwa ada kaitan dengan Najib.
"Dalam penghakiman bertulis setebal 308 muka surat pula, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata kisah derma Arab itu tidak lain hanyalah rekaan dongeng langsung tidak mempunyai kredibiliti," katanya.
Badrul Hisham berkata, ini menunjukkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Mohamed Apandi menipu apabila memaklumkan telah melakukan pertemuan dengan penderma dari Arab Saudi.
"Namun apabila dalam mahkamah gagal buktikan sebab mereka membohong. Pelanduk lupa jerat, punya banyak menipu sampai lupa afidavit sendiri," katanya.
Sementara itu, mengulas berkenaan fitnah UMNO terhadap Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, Badrul Hisham menegaskan ia hanyalah bersandarkan kenyataan serta bukti yang rapuh berkenaan dengan pinjaman 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada Maybank.
Jelasnya, tuduhan terhadap Nazlan mempunyai konflik kepentingan dan berat sebelah disebabkan SRC tidak pernah menjadi pelanggan serta melakukan pinjaman kepada Maybank.
"Pekerjaan Hakim Nazlan di Maybank sebelum ini, merupakan satu hebahan umum. Media juga telah pernah melaporkan senarai pekerjaan Nazlan sebelum ini kepada masyarakat awam.
"Hujah pasukan Najib, konon konspirasi sorokkan rekod kerjaya Nazlan ialah hujah bodoh. Mereka tidak mencapai keperluan ambang atau munasabah (threshold requirement) untuk memasukkan sebarang bahan bukti baru.
"Tiada bahan yang boleh dianggap sebagai bukti baharu. Oleh demikian, permohonan ini perlu ditolak oleh Mahkamah Persekutuan," katanya. - Getaran 22 Ogos 2022