KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju untuk mengekalkan pemberian subsidi kepada penternak ayam dan pengeluar telur ayam sehingga Disember tahun ini pada kadar 80 sen sekilogram (kg) bagi ayam dan 8 sen sebiji bagi telur.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pelaksanaan langkah itu akan melibatkan tambahan implikasi kewangan sebanyak RM573.96 juta kepada kerajaan.
Menurut beliau, jumlah peruntukan subsidi terhadap dua bahan mentah itu yang telah diperuntukkan kerajaan setakat ini sejak Februari hingga September lalu, berjumlah RM1.233 bilion.
"Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Oktober lalu telah bersetuju supaya pemberian subsidi kepada penternak ayam dan pengeluar telur ayam diteruskan dari bulan Oktober hingga Disember 2022 pada kadar 80 sen sekilogram bagi ayam dan 8 sen sebiji bagi telur.
"Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira harga siling ayam standard di peringkat runcit dikekalkan pada kadar RM9.40 sekilogram dan harga siling telur ayam gred A, B dan C di peringkat runcit masing-masing pada kadar RM0.45, RM0.43 dan RM0.41 sebiji, di Semenanjung Malaysia," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Ronald berkata, tujuan pemberian subsidi tersebut adalah bagi meringankan beban penternak susulan peningkatan kos pengeluaran yang berterusan.
Jelasnya, peningkatan itu, khususnya kos makanan ayam telah meliputi 70 peratus dari kos pengeluaran disamping pelbagai kos seperti anak ayam (Day Old Chick - DOC), logistik, pekerja, utiliti dan ubat-ubatan.
"Pembayaran subsidi akan disalurkan terus ke akaun penternak melalui Agrobank seperti mekanisme sedia ada melibatkan penternak persendirian, penternak integrator/semi-integrator dan juga penternak kontrak.
"Setakat 4 Oktober lalu, sebanyak 13,440 permohonan tuntutan subsidi dengan nilai RM1.136 bilion telah diluluskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI). Semua penternak boleh terus mengemukakan permohonan supaya subsidi dapat disalurkan," katanya.
Sementara itu, Ronald menegaskan MAFI akan terus memastikan proses pembayaran subsidi berjalan dengan lancar.
Ujarnya, ia akan dilaksanakan sebaiknya agar penternak yang terlibat dapat menggunakan subsidi ini bagi memastikan kelangsungan pengeluaran di peringkat ladang.
"Kerajaan terus komited memastikan industri ayam dan telur kekal mampan dengan meneruskan pemberian subsidi supaya bekalan dalam pasaran sentiasa mencukupi dengan harga yang stabil dan berpatutan.
"Usaha untuk memastikan ketersediaan dan kelangsungan bekalan ayam dan telur di pasaran kekal terjamin dengan harga berpatutan bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia akan diteruskan kerajaan," katanya. - Getaran, 9 Oktober 2022