BERA - Sejumlah 24,237 pekebun kecil negeri ini bakal menerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) bermula November depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan melibatkan peruntukan berjumlah RM14.54 juta itu akan disalurkan secara dua peringkat hingga Disember, melibatkan pemberian berjumlah RM300 setiap satu.
Menurut beliau, bantuan berkenaan bakal ditambah kepada RM800, berbanding jumlah semasa RM600, jika kerajaan pimpinannya sekali lagi dipilih mengepalai pentadbiran negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Penambahan itu akan melibatkan peruntukan sebanyak RM256 juta selama empat bulan kepada pekebun kecil RISDA dan FELDA seramai 320,000 orang.
“Kerajaan juga akan menyediakan peruntukan lebih besar kepada masyarakat pekebun kecil iaitu peningkatan sebanyak 18.1 peratus berjumlah RM600 juta, berbanding RM508 juta yang disalurkan pada tahun ini,” katanya semasa berucap di majlis Pekebun Kecil Makmur Keluarga Malaysia di padang awam, Kampung Batu Papan di sini.
Perdana Menteri berkata, peruntukan tersebut membuktikan bahawa kerajaan amat prihatin dengan pembangunan sektor komoditi getah yang diusahakan pekebun kecil.
Kerajaan pada pembentangan Bajet 2023 awal bulan lalu katanya, telah menyediakan peruntukan sebanyak RM2.6 bilion kepada sektor komoditi seperti RISDA, sebagai antara agensi utama yang mengawal selia aktiviti komoditi.
Serentak dengan itu, jelas Ismail Sabri, pelbagai inisiatif turut dirancang untuk dilaksanakan bagi memajukan sektor komoditi negara.
“Pertama, (kerajaan menyediakan) RM315 juta bagi Program Pembangunan Kawasan Bertanam Getah Pekebun Kecil untuk menggantikan pokok getah tua (yang akan memanfaatkan) 387,000 pekebun kecil.
“Kedua, Program Pembangunan Semula Hasil Baharu (dilaksanakan) bagi menggalakkan pekebun kecil meneroka pendapatan baharu selain getah, seperti tanaman makanan jangka pendek dengan peruntukan RM40 juta,” katanya.
Turut menjadi perancangan kerajaan jelas Perdana Menteri lagi, ialah memperkenal program dikenali sebagai TARGET untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah.
“Program ini akan dilaksanakan serentak dengan Insentif Pengeluaran Lateks untuk menambah baik rantaian bekalan bahan mentah getah melalui koperasi.
“Skim Perlindungan Pertanian akan turut diperkenal untuk melindungi pengusaha pertanian daripada sebarang risiko luar kawalan seperti cuaca, penyakit dan makhluk perosak, bermula dengan pesawah padi,” katanya.
Perdana Menteri menarik perhatian, kebajikan komuniti Orang Asli di sini tidak akan dipinggirkan, malah kerajaan sudah merangka pelaksanaan Projek Tanam Semul Ladang Orang Asli, merangkumi kerja- kerja penanaman semula getah dan kelapa sawit.
“Sektor komoditi adalah antara sektor penting yang menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan kerajaan sentiasa komited memastikan segala inisiatif atau bantuan dapat disalurkan demi kemakmuran serta kesejahteraan komuniti pekebun kecil.
“Besarlah harapan saya agar semua pekebun kecil terutama di Pahang terus mengambil peluang yang disediakan kerajaan melalui program dan bantuan pembangunan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan RISDA,” katanya.
Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, getah adalah satu-satunya komoditi yang masih diberi bantuan penuh oleh kerajaan seperti Insentif Pengeluaran Getah (IPG), sekiranya harga pasaran getah berada di bawah paras RM2.50 sekilogram.
Selain itu jelasnya, Program Tanam Semula Getah dengan sasaran keluasan 20,000 hektar, kini telah mencapai keluasan melebihi 10,000 hektar, menerusi penyertaan 7,180 pekebun kecil.
“RISDA juga menerima permohonan tanam semula getah seluas 18,524 hektar daripada 12,381 pekebun kecil di seluruh negara.
“Pekebun kecil di Pahang turut menyumbang kepada peningkatan kawasan penanaman semula seluas 1,354.69 hektar melibatkan 901 pekebun kecil dengan peruntukan berjumlah RM43.6 juta bagi semua program pembangunan komoditi getah,” katanya.
Tambah beliau, sebanyak RM1.15 juta telah disalurkan untuk Parlimen Bera, bagi kegiatan tanam semula seluas 150 hektar, meliputi bantuan jalan pertanian sejauh 15.43km dan empat unit infrastruktur pemasaran hasil serta prasarana pertanian.
“Bagi meningkatkan pendapatan menerusi produktiviti hasil getah, kerajaan telah memperkenal Skim Insentif Produktiviti Getah (SIPG) melibatkan peruntukan sebanyak RM31.1 juta bagi mencapai pengeluaran hasil 1,800kg/ hektar/tahun.
“Alhamdulillah, inisiatif tersebut telah dimanfaatkan oleh 29,205 pekebun kecil di seluruh negara, termasuk 4,344 di Pahang dan 602 pekebun di Bera,” katanya. - Getaran, 30 Oktober 2022