KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan agar sentiasa berwaspada dengan penasihat yang jahat (bitanah al-su') sebagaimana pesanan Rasulullah kepada golongan pemimpin.
Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, ini kerana individu yang berada di sekeliling pemimpin tersebut boleh menjatuhkan beliau demi kepentingan peribadi.
Menurut beliau, Anwar juga diharapkan agar sentiasa menghargai pengorbanan dan perjuangan generasi serta pemimpin terdahulu yang mengangkat nama Malaysia di persada dunia.
"Malaysia adalah negara umat Islam yang dihormati dunia. Maka, andalah (Anwar) penerus dan penentunya. Peliharalah Islam di tanah air ini dengan sepenuh jiwa raga.
"Saya ucapkan tahniah dan semoga mampu menggalas tugas dan amanah yang berat ini. Bertakwalah kamu kepada Allah.
"Pada pundakmu terhimpun segala beban amanah untuk membawa hala tuju Malaysia pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Zulkifli menggesa seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama berlapang dada dengan keputusan dibuat Yang di-Pertuan Agong.
Beliau yang juga mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, pelbagai pihak perlu menghentikan budaya memaki hamun dan tidak menjadikan masa ini untuk ‘membalas dendam’.
"Kepada yang belum berjaya, ia bukanlah penamat. Insya-Allah ada takdir lebih baik untuk mereka yang terus bersabar, ikhlas, dan istiqamah.
"Malaysia tidak akan berjaya tanpa pembangkang yang bakal melakukan kerja semak dan imbang dengan teliti untuk masa depan lebih baik buat negara.
"Kepada rakyat Malaysia, inilah yang telah kita lalui pada PRU-15. Tarik nafas dan terima apa jua keputusan dengan lapang dada. Menang tidak megah, kalah tidak rebah," katanya.
Bagi penyokong dan akar umbi parti yang sudah menjadi kerajaan, beliau meminta mereka meninggalkan sifat pembangkang dan harus matang menerima teguran daripada pelbagai pihak, terutama rakyat.
"Buat penyokong pembangkang, jadikan PRU-15 ini sebagai pemangkin untuk berusaha dengan lebih gigih. Anda juga menyumbang masa depan Malaysia yang lebih cemerlang.
"Bangkanglah dengan bijaksana, penuh insaf dan amanah demi negara," katanya.
Anwar, 75, mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 di hadapan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, petang semalam.
Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Ia selepas Seri Paduka mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu mengenai proses melantik Perdana Menteri susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (19 November) lalu.
Menurut rekod, Anwar pernah menyandang beberapa jawatan dalam Kabinet iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1982), Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1983), Menteri Pendidikan (1986 hingga 1991), Menteri Kewangan (1991 hingga 1998) dan Timbalan Perdana Menteri (1993 hingga 1998).
Anwar memulakan tugasnya secara rasmi di Perdana Putra, Putrajaya, hari ini. - Getaran, 25 November 2022