KUALA LUMPUR – Kebenaran pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berulang kali sebelum umur persaraan, berkemungkinan menyebabkan Malaysia berdepan krisis sosial pada masa hadapan kerana individu dikhuatiri kehabisan simpanan, sekali gus mengalami bebanan ekonomi di usia tua.
Malah, sekiranya kerajaan tunduk kepada desakan kumpulan tertentu supaya kebenaran itu diberikan bagi kali kelima sejak tiga tahun lalu, ia boleh mencetuskan keadaan tidak kondusif dalam kalangan masyarakat yang turut berisiko mengakibatkan ‘kehidupan huru-hara’.
Pakar ekonomi dari Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, kemungkinan itu ekoran majoriti pencarum mempunyai simpanan terlalu kecil.
“Pihak mendesak kerajaan supaya dibenarkan pengeluaran KWSP ini, rata-ratanya berpendapatan RM5,000 ke bawah dan jumlah (caruman) paling tinggi pun, dalam anggaran RM40,000 sehingga RM50,000, jadi ini bukan jalan terbaik bagi meneruskan kehidupan kerana apabila dah dikeluarkan, pasti mengambil masa panjang untuk kumpulkan semula.
“Sebagai contoh, kalau pencarum sudah berumur 40 tahun ketika ini dan ada masa dalam 20 tahun sahaja lagi untuk mencapai umur bersara iaitu 60 tahun. Dalam masa singkat seperti itu, saya tak fikir mereka mampu kumpulkan RM100,000 sehingga RM150,00 melainkan gaji mereka tinggi.
“Bayangkan, apabila sudah empat kali dikeluarkan (sebelum ini) yang mencecah RM40,000, tinggal berapa sahaja dalam akaun. Kena ingat KWSP adalah kegunaan untuk hari tua, khususnya bagi pekerja swasta kerana tidak memiliki pencen seperti penjawat awam. Undang-undang juga secara jelas membuktikan bahawa dana KWSP hanya boleh dikeluarkan selepas peringkat umur bersara,” katanya ketika dihubungi Getaran.
Isu pengeluaran KWSP sekali lagi, kembali diperkatakan apabila Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (PRORAKYAT) pada Jumaat lalu, mengemukakan memorandum, bagi meminta kerajaan membenarkan tuntutan pengeluaran wang itu antara RM10,000 hingga RM30,000 secara ‘one-off’ (sekali bayar).
Memorandum berkenaan diserahkan Presidennya, Khairul Anuar Othman kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin kelmarin.
Khairul Anuar berkata, pengeluaran itu perlu dilaksanakan segera sebagai penyelesaian jangka pendek bagi mereka yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
Jelasnya, ada dalam kalangan pencarum mempunyai tunggakan pinjaman bank dan segelintirnya memerlukan sumber kewangan, bagi memulakan perniagaan selepas kehilangan pekerjaan.
Abu Sofian berkata, bagi mengelakkan simpanam KWSP pencarum semakin ‘menipis’, kerajaan ketika ini perlu melaksanakan pendekatan berbeza bersifat holistik, termasuk intervensi secara tetap terhadap rantaian bekalan makanan asasi rakyat.
Ujarnya, kerajaan perlu melaksanakan kajian terperinci dalam mencari jalan penyelesaian terbaik bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya golongan B40.
Justeru, beliau mencadangkan kepada kerajaan supaya memantau harga makanan mentah dan memastikan bekalan (keperluan harian) sentiasa mencukupi menerusi langkah tertentu, termasuk mengawal beberapa barangan atau diberi subsidi.
“Ada juga di antara pekerja swasta bergaji rendah dan tidak mendapat kenaikan tahunan serta kemudahan diberikan tidak banyak. Kerajaan jangan hanya melihat dari satu sudut, namun perlu dilaksanakan secara holistik,” katanya.
Mengulas lanjut, Abu Sofian berkata, sudah tiba masanya Akta Kerja 1955 dipinda agar mengandungi perjanjian dasar bagi mewajibkan kenaikan gaji pekerja, seperti ketetapan gaji minimum RM1,500 dilaksanakan kerajaan pada Mei tahun lalu.
“Dasar tersebut perlu dilaksanakan berlandaskan prestasi kerja, kadar inflasi dan keadaan semasa ekonomi negara dalam isi kandungan perjanjian antara syarikat serta pekerja.
“Paling minima, ikut kenaikan inflasi, kalau naik tiga peratus, kenaikan gaji juga perlu diselaraskan, namun permasalahan di Malaysia, majikan swasta memang cukup susah membuat kesepakatan yang menjadi satu penganiayaan terhadap pekerja.
“Syarikat untung banyak, tapi tidak mahu pun berkongsi dengan pekerja, sedangkan tanpa tenaga kerja ini, majikan tidak boleh mencapai keuntungan. Jadi, kalau boleh buat satu akta untuk gaji itu disemak setiap tiga atau lima tahun sekali, termasuk bagi mewajibkan kenaikan pendapatan,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma’amor Osman berkata, seharusnya orang ramai tidak mengambil jalan singkat untuk menyelesaikan masalah kewangan dengan mendesak pengeluaran KWSP, berikutan penggunaan wang itu akan menyebabkan simpanan persaraan untuk kegunaan hari tua berkurangan.
Tegasnya, kebergantungan sebahagian masyarakat kepada KWSP adalah disebabkan mereka kurang menitik beratkan perancangan kewangan lain sebelum ini, sehingga akhirnya tidak mempunyai simpanan tetap tambahan.
Ma’amor berkata, selagi orang ramai boleh bertahan tanpa mengeluarkan KWSP, ia adalah pilihan lebih baik kerana tujuan asal Akta KWSP adalah dana itu simpanan mandatori untuk keperluan pada masa depan.
“Mengikut kajian baru-baru ini, simpanan rakyat ketika ini adalah sangat minimum, kalau dibenarkan pengeluaran terbabit, ia akan mengakibatkan kesusahan mereka selepas bersara,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, sekiranya kerajaan mahu meluluskan sekali lagi pengeluaran KWSP, ia perlu dibenarkan kepada pencarum yang benar-benar berdepan keperluan mendesak dan memerlukan kewangan untuk kelangsungan kehidupan.
“Sekiranya kerajaan mahu membenarkannya, kena minta pencarum yang memohon supaya tunjuk bukti dan alasan kukuh kenapa mereka perlu keluarkan duit itu. Adakah keadaan memang terlalu mendesak atau hanya untuk berbelanja. Jumlah pengeluaran juga perlu dihadkan mengikut keperluan pemohon.
“Jangan memberi kebebasan kepada semua orang untuk keluar duit KWSP seperti sebelum ini. Bagi saya, orang ada caruman KWSP ini lebih untung kerana mempunyai pendapatan, berbanding sesetengah individu seperti tidak bekerja dan tidak makan gaji,” katanya. - Getaran, 17 Januari 2023