web statsweb stats

Berita Terkini

3 hari yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Pelajar Ditahan Caci Soalan Sejarah SPM, Pakar Beri Reaksi Berbeza

Semasa Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 27 Feb 2023 9:18AM

Salah seorang daripada pelajar yang tidak puas hati terhadap kertas Sejarah SPM. - Tangkap layar video media sosial

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua pelajar sekolah yang mencaci kertas soalan Sejarah untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selepas menerima laporan dibuat oleh guru mereka mengundang pelbagai reaksi.

Pakar Psikologi dan Kaunseling, Wellness Center Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Sa’ad berpandangan, tiada keperluan untuk pentadbir sekolah melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa kerana dua pelajar itu hanya melahirkan rasa tidak puas hati masing-masing.

Menurut beliau, dua remaja terbabit juga tidak terlibat dalam sebarang keganasan di media sosial atau melanggar peraturan negara.

Penahanan itu katanya, pasti akan memberi kesan negatif mereka, termasuk kehilangan minat untuk menjawab baki kertas soalan yang masih ada.

“Pelajar berkenaan melakukan perkara itu mungkin disebabkan mereka mengalami stres (tekanan perasaan), mungkin kerana menyasarkan soalan lain namun yang keluar adalah sebaliknya sehingga menyebabkan mereka berlaku luar daripada kebiasaan, termasuk mengeluarkan perkataan tidak wajar.

“Pihak sekolah boleh mengambil tindakan memanggil pelajar itu untuk memberi teguran dengan cara berhemah atau rujuk terlebih dahulu dengan kaunseling. Mereka perlu melalui peperiksaan dengan tenang untuk subjek seterusnya kerana SPM adalah penentu masa depan,” katanya ketika dihubungi Getaran.

Fauziah berkata, tindakan melaporkan perkara itu ke pihak berkuasa sedikit sebanyak turut menjejaskan imej sekolah.

Jelasnya, struktur psikologi menggariskan bahawa individu yang berumur 17 atau 18 tahun amat sensitif dan mudah memberontak sekiranya mahu melontarkan sesuatu perkara atau permasalahan.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan agar masyarakat lebih matang dan bersedia memaafkan perbuatan yang dilakukan agar mental pelajar tersebut tidak terganggu, apatah lagi tindakan seumpama itu dilihat bertentangan dengan semangat mendidik dan membentuk pelajar muda.

“Dalam keadaan sekarang iaitu emosi dan kesihatan mental mereka (yang) tidak stabil, kita sebagai orang dewasa yang matang, berilah peluang kerana mereka masih muda. Jika mahu ambil apa-apa tindakan, biar mereka tamatkan SPM terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Yayasan Generasi Malaysia (YGM), Mohamad Nizam Abdul Samar Zammi, pula berkata, guru seharusnya tidak emosi dan bertindak terburu-buru untuk melaporkan isu berkenaan kepada pihak polis tanpa siasatan terperinci.

Mohamad Nizam Abdul Samar Zammi
Mohamad Nizam Abdul Samar Zammi

“Tidak wajar dilaporkan kepada polis kerana pihak sekolah boleh selesaikan isu ini. Ambil pendekatan dengar dahulu kisah sebenar, selesaikan secara dalaman dahulu barulah sesuatu tindakan diambil seperti buat laporan kepada pihak berkuasa.

“Bagi saya tidak wajar (menahan) kerana perbuatan pelajar itu bukanlah ancaman berat sehingga menggugat keamanan negara, namun tidak dinafikan penahanan itu boleh menjadi pengajaran kepada pelbagai pihak, khususnya golongan rakan sebaya,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Eksekutif Pertubuhan Kebajikan Sinar Bakti turut menasihatkan golongan remaja agar memahami sepenuhnya tingkah laku dan adab sebagai seorang pelajar sekolah.

Mohammad Nizam berkata, ibu bapa juga diingatkan supaya memantau penggunaan media sosial anak-anak bagi mengelakkan mereka terpengaruh dengan perkara yang boleh merosakkan pemikiran dan jati diri.

“Bukan pelajar tidak boleh menggunakan Facebook atau TikTok, namun cuba gunakan ia sebagai platform untuk mencari bahan pengajian dan pembelajaran, bukannya sebagai alat penyebaran berita yang kemungkinan boleh mengakibatkan kesan buruk kepada diri, keluarga serta sekolah.

“Ibu bapa juga perlu main peranan memantau anak-anak di media sosial walaupun sibuk dengan urusan kerja. Kena ambil tahu urusan mereka kerana jika tidak diambil endah, mereka akan ceritakan perkara baik atau buruk di media sosial.

“Jangan ingat hantar anak ke sekolah tanggungjawab dah lepas. Itu salah kerana proses pemantauan perlu dilaksanakan dari rumah,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (KONGRES), Jasni Md Kechik bagaimanapun berpendapat, penahanan dua remaja terbabit tidak seharusnya menjadi isu kerana ia adalah kaedah terbaik diambil pentadbiran sekolah dalam membendung penularan video ‘tidak bermoral’ di media sosial.

Jasni Md Kechik
Jasni Md Kechik

Menurut beliau, video yang boleh menimbulkan persepsi negatif seperti ingin meluahkan rasa tidak puas hati ketika ini dilihat sudah menjadi trend pelajar di media sosial dan seharusnya stigma itu dihapuskan.

“Tindakan pelajar mencaci pembuat soalan SPM sebenarnya membuka kelemahan pelajar itu sendiri yang tidak mempunyai kemampuan menjawab kertas Sejarah.

“Keabsahan kertas soalan tersebut telah diuji sebelum ia diluluskan.

“Sekarang ini sudah menjadi budaya, kalau tak puas hati mesti nak luahkan dalam media sosial. Sekiranya kelakuan seperti ini tidak dibendung, dibimbangi akan menjadi contoh kepada pelajar sekolah lain,” katanya.

Jasni yang juga Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) berkata, pihaknya mempercayai pihak berkuasa hanya akan memberi nasihat dan tidak akan menghukum mereka seperti pesalah juvana yang lain.

“Adalah tindakan wajar cikgu melaporkan perkara itu kepada pihak polis kerana tidak elok melakukan perbuatan menghina atau mencerca di media sosial dan penahanan itu semestinya akan menjadi satu pengajaran kepada golongan muda agar berhati-hati ketika meluahkan perasaan,” katanya.

Dalam pada itu, pakar kriminologi Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nazirah Hassan berkata, PDRM mempunyai tanggungjawab melindungi remaja bawah umur dengan cara tidak menggunakan kekerasan atau praktis yang boleh mendatangkan ancaman dan ketakutan terhadap mereka.

Dr Nazirah Hassan
Dr Nazirah Hassan

“Dari aspek tingkah laku, dapat dilihat dalam video itu terdapat unsur-unsur keagresifan atau kekerasan yang ditonjolkan, termasuklah secara verbal dan penghinaan. Namun, adalah tanggungjawab pihak berkuasa untuk meneliti perkara ini berpandukan kepada akta sedia ada.

“Seharusnya tindakan atau sebarang proses yang dilakukan oleh pihak berkuasa tidak diuar-uarkan. Mungkin cukup sekadar memaklumkan bahawa tindakan telah dibuat dan tidak perlu perincian lanjut,” katanya.

Apa yang membimbangkan, menurut beliau, kemungkinan dua remaja tersebut yang telah tular di media sosial akan menjadi mangsa buli siber, sekali gus mengganggu kesejahteraan emosi mereka dalam jangka masa panjang.

“Serius atau tidak, apabila ada aduan dibuat, tindakan perlu diambil. Tambahan pula, bila isu berlaku di luar kawasan sekolah atau tempat berhampiran, adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa mengambil tindakan. Apabila aduan dibuat guru sendiri, itu menunjukkan bahawa pendidik tidak mampu mengawalnya dan menganggap perbuatan ini serius.

“Secara peribadi, ada tiga masalah yang perlu ditangani iaitu masalah akhlak remaja, masalah minat untuk belajar semakin pudar serta masalah etika penggunaan media sosial. Untuk mengatasinya, kerjasama antara ibu bapa, sekolah, pihak berkuasa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) komuniti perlu diwujudkan.

“Kempen dan pendidikan secara berterusan menerusi media sosial atau di sekolah sangat bermanfaat. Kementerian juga perlu menilai semula keperluan untuk menyelesaikan masalah pembangunan akhlak pelajar,” katanya.

Sementara itu, dari sudut perundangan, penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, terdapat beberapa pelanggaran peraturan yang disyaki berlaku, dan kedua-dua pelajar berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Undang-Undang Am.

Kamal Affandi Hashim
Kamal Affandi Hashim

“Ini bukan masalah ibu bapa tidak memantau atau mendidik anak tetapi masyarakat yang terus memekakkan telinga dan membutakan mata sedangkan mereka sendiri melihat perkara ini setiap hari di dalam kehidupan. Keengganan untuk sama terlibat membina bangsa inilah pokok masalah yang sebenar.

“Kebebasan bersuara bukan bermakna seseorang boleh bercakap dengan bebas tanpa menghiraukan sensitiviti kaum, agama atau institusi Raja. Maka itu, saya syorkan Kementerian Pendidikan terus mengingatkan para pelajar akan hal ini menerusi perhimpunan harian yang dilaksanakan di semua sekolah setiap minggu,” katanya.

Terdahulu, tular video memaparkan dua individu mengeluarkan kata-kata kesat selepas didakwa tidak berpuas hati dengan soalan dalam subjek Sejarah SPM.

Dua pelajar berusia 18 tahun itu turut didapati mengeluarkan kata-kata menghina sebuah negara dalam video tersebut.

Mereka bagaimanapun sudah ditahan selepas pihak berkuasa menerima laporan daripada seorang guru wanita beberapa hari lalu. - Getaran, 27 Februari 2023

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 tahun yang lalu

Caci Kertas Sejarah SPM: ‘Perlukah Pelajar Sedang Menduduki Peperiksaan Ditahan Polis?’

2

Semasa 1 tahun yang lalu

Caci Pembuat Kertas Soalan Sejarah SPM, 2 Remaja Ditahan

Sorotan

1

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

2

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

3

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

4

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

5

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia

6

Paris 2024: Latif Romly Diharap Sumbang Emas Ke-3 Negara

Disyorkan untuk anda

Semasa 15 jam yang lalu

Operasi Pencarian Sabari Di Sungai Padang Terap Diteruskan

Semasa 21 jam yang lalu

Jumlah Mangsa Di Kedah Bertambah, Perak Dilanda Banjir Semula

Semasa 16 jam yang lalu

Ceroboh Lahad Datu: Permohonan Semakan Hukuman Mati 7 Warga Filipina Esok