KUANTAN -- Orang awam diingatkan untuk tidak memasang atau mempamerkan lambang atau emblem darjah kebesaran Pahang tanpa kebenaran, selepas mengesan aktviti penjualan bintang dan lencana darjah kebesaran itu di platform e-dagang.
Ketua Polis Pahang Datuk Yahaya Othman berkata pihaknya menerima laporan berhubung penjualan darjah kebesaran itu pada Selasa lepas (11 Julai) yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan.
"Adalah salah untuk individu menjual, mempamer untuk jualan atau memiliki apa-apa lambang, gelaran atau anugerah tanpa kebenaran bertulis daripada Sultan Pahang selain turut menjadi kesalahan jika mempamer atau melekat bahan yang mengandungi lambang, gelaran, anugerah atau replika mengenainya di kenderaan tanpa kebenaran.
"Mereka yang telah melekat atau memasang lambang atau darjah kebesaran Pahang di kereta tanpa kebenaran dan perkenan Sultan Pahang perlu menanggalkannya dan polis akan melakukan operasi khas bagi mengesan mereka yang terlibat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.
Yahaya berkata siasatan penyalahgunaan lambang darjah kebesaran Pahang dijalankan mengikut Seksyen 3(1)(c) bagi kesalahan menjual atau memiliki dan Seksyen 3(1)(d) bagi kesalahan memasang atau mempamer, Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM250,000 dan tidak lebih RM500,000 atau penjara sehingga lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada perkembangan lain, Yahaya berkata polis Pahang menahan 419 individu berusia lingkungan 18 hingga 60 tahun dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM64,000 dalam Op Tapis Khas yang diadakan di seluruh negeri selama tiga hari bermula Isnin lepas (10 Julai).
Daripada jumlah itu, 43 disyaki terlibat dalam pengedaran dadah dan sembilan lagi adalah individu dikehendaki polis. -- BERNAMA