GEORGE TOWN - Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamed mendahului senarai 1,117 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena sambutan Ulang Tahun Ke-74 Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Zulkapli, 58, yang dilantik memegang jawatan itu sejak Februari lalu, adalah penerima darjah tertinggi negeri iaitu Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Selain Zulkapli, dua lagi individu iaitu bekas Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Tun Abd Majid Tun Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional (TNB), Datuk Ir. Baharin Din turut menerima DPPN yang membawa gelaran Datuk Seri.
Dalam pada itu, seramai 27 individu dianugerahkan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri antaranya Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Suhaily Mohd Zain; Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Turut menerima DGPN adalah bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman; bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd Sayuthi Bakar dan Pengerusi Penang Port Sdn Bhd, Datuk Syed Mohamad Syed Murtaza dan bekas exco kerajaan negeri, Chong Eng dan Phee Boon Poh.
Sementara itu, seramai 15 individu menerima anugerah Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) dan 93 penerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk.
Antara penerima DMPN adalah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil dan bekas Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Mohd Salleh Man.
Selain itu, seramai 74 individu menerima Darjah Johan Negeri; Bintang Cemerlang Negeri (14); Pingat Kelakuan Terpuji (168); Pingat Jasa Kebaktian (298); Pingat Jasa Masyarakat (399) dan Pingat Bakti Setia (26).
Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang dalam sidang media, berkata Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang akan berlangsung di Dewan Sri Pinang selama empat hari bermula esok, Isnin, Selasa dan Rabu depan.
Beliau berkata, ulang tahun Ahmad Fuzi sepatutnya disambut secara rasmi pada 8 Julai lalu, namun ditangguhkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15.
Katanya, acara sambutan esok akan dimulakan dengan Istiadat Kawalan Kehormatan Utama di Dataran Sri Pinang dengan sebanyak 17 das tembakan meriam akan dilepaskan semasa istiadat berlangsung. - BERNAMA