KUALA LUMPUR - Malaysia semakin maju, namun sikap taksub segelintir pihak terhadap warga asing, khususnya pelancong Barat masih menebal.
Perhatian yang diberi terhadap golongan berkenaan kadang kala agak berlebihan, malah ada kalanya sehingga meminggirkan rakyat sendiri.
Keadaan sama dialami seorang peguam, Datuk Shamsuddin Nawawi yang menempuh pengalaman ‘menjengkelkan’ di Twin Tower Sky Bridge, semalam.
Katanya, beliau berjaya membeli tiket untuk slot 4 petang pada harga RM34.
“Harga rakyat Malaysia Senior dan MyKid sama. RM34 sahaja. Oklah tu dan faham tiket dan giliran naik itu 'First Come First Serve'.
“Pukul 2.00 pm lebih kurang pergi semula dan duduklah di kerusi bulat di ruang menunggu. Lama juga tunggu hingga 3.45 petang baru boleh beratur utk scan tiket,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Keadaan bagaimanapun jelas beliau, berubah menjadi ‘panas’ apabila pegawai bertugas menghampiri sepasang pelancong kulit putih yang turut sama menunggu.
“Lebih kurang pukul 3.00 petang datanglah pegawai Melayu yang pakai tie warna Petronas itu ke kerusi bulat sebelah bertanya kepada couple Mat Saleh tiket naik pukul berapa.
“Mat Saleh itu jawab pukul 4.15 pm. Pegawai itu kenyit mata dan signal suruh couple mat saleh itu ke depan supaya boleh naik awal,” katanya, dengan nada tidak puas hati.
Jelas Shamsuddin, beliau tidak tahu apa rasional di sebalik keputusan pegawai terbabit mendahulukan pasangan pelancong tersebut, sedangkan slot mereka lebih lewat.
“Mulalah tertanya-tanya apa hal pula mat saleh boleh naik dulu. Saya ini yang dah tunggu lebih awal tidak pula dilayan begitu.
“Bila ditanya kenapa pula begitu, jawapannya mereka ada kuasa utk dahulukan sesiapa yg difikirkan perlu. Wah...mat saleh tu baru sampai, badan segar bugar bertatoo, pasangan perempuannya pun tak nampak cacat pun. Saya ini dengan rakyat yang pegang MyKad tak pula dilayan begitu,” tegasnya.
Beliau turut mengakui meninggikan suara kerana berang dianaktiri di negara sendiri.
“Bila hati sudah panas, suara pun tinggi sikit, pegawai pakai tie Petronas itu cuba bagi alasan. Give me a minute to explain...give me a minute to explain. Saya akan panggil encik juga lepas ini.
“Lepas ini? Lepas mat saleh dah dilayan penuh keistimewaan? Encik, saya bukan racist katanya. You admit you are racist! Kalau saya nampak mat saleh itu naik dulu dari saya, you will see my posting in Facebook! Itu amaran saya.
“Ini lah Melayu. Bila nampak mat saleh bukan main lagi. Mengelenyat nak layan. Melayu yg patuh ikut giliran ini boleh letak tepi,” katanya, berang.
Sementara itu, pengurusan Menara Berkembar PETRONAS menerusi satu kenyataan berkata, memohon maaf atas insiden yang telah berlaku.
“Kami memandang berat perkara ini dan sedang menjalankan siasatan dengan kadar segera.
“Kami akan memastikan hal ini tidak berulang lagi. Segala kesulitan amat kami kesali,” katanya. - Getaran, 4 November 2023