KUBANG PASU - Rakyat Kedah terutamanya mereka yang sudah biasa terlibat dalam bidang pertanian termasuk padi, perlu mengambil peluang untuk mengusahakan penanaman harumanis yang mampu mendatangkan pendapatan lumayan.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Harumanis Kedah, Othman Ismail berkata, ketika ini pasaran mangga premium itu berkembang cukup pesat hinggakan pengusaha sedia ada tidak mampu menampung permintaan pembeli.
Dengan keadaan cuaca yang tidak jauh berbeza berbanding Perlis serta tahap kesuburan tanah yang sama katanya, amatlah rugi jika rakyat di Kedah tidak mengambil peluang tersebut.
"Rugi orang Kedah kalau tak tanam Harumanis. Kita bukan nak ganggu kawasan tanaman padi sebaliknya harumanis boleh ditanam di banyak tanah terbiar termasuk di kampung-kampung dalam negeri ini.
"Suhu di Kedah dan Perlis biasanya hanya berbeza satu darjah celcius saja manakala tahap kesesuaian tanah juga sama. Kajian dijalankan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) juga menyatakan kualiti serta tahap wangi harumanis yang ditanam di Kedah dan Perlis, adalah sama.
"Maka di Kedah ini memang tak ada masalah untuk kita tanam harumanis. Sebab itu, kami melalui persatuan ini sentiasa berkempen untuk orang ramai menanam harumanis dengan dibantu beberapa pihak antaranya Jabatan Pertanian Negeri, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Mardi," katanya.
Ketika ini semua harumanis yang dihasilkan di negeri ini dikenali dengan nama komersial Harumanis D'Aman
Tambahnya, setakat ini di Kedah terdapat 128 petani aktif yang mengusahakan tanaman itu di kawasan seluas kira-kira 120 hektar.
"Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang antaranya pesara kerajaan, petani serta anak-anak muda yang dulunya menganggur. Kebanyakan kebun harumanis berada dalam daerah Kubang Pasu dan keadaan itu mungkin disebabkan pengaruh lokasinya yang dekat dengan Perlis.
"Pasaran harumanis ini mendapat permintaan tinggi dari seluruh tanah air lebih-lebih lagi tempahan secara dalam talian.
“Memang kita tak cukup buah untuk dijual dan pemborong di Perlis juga berebut-rebut mencari harumanis untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan," katanya.
Sementara itu seorang pengusaha Harumanis di Kampung Pida 7 dekat sini, Ahmad Mat Hassan memaklumkan, beliau mula menceburi bidang penanaman harumanis sejak 2015 setelah sekian lama meraih pendapatan dengan hasil bersawah.
"Alhamdulillah, pendapatannya cukup lumayan dan ini sudah kali keempat saya meraih hasil harumanis. Disebabkan penjagaannya yang rumit, maka harganya agak mahal.
"Begitu pun permintaan terhadap harumanis kini tetap banyak sampai buah tak cukup. Harumanis dari kebun saya sudah dihantar ke merata tempat dalam negara dan kalau ada buah yang rosak, saya akan minta pelanggan mengambil gambar lalu menggantikannya dengan buah baharu," katanya.
Seorang lagi pengusaha harumanis, Datuk Mohd Yusof Ismail berkata, pulangan dalam mengusahakan harumanis cukup berbaloi berbanding kebanyakan tanaman lain.
"Dalam industri padi contohnya, kalau satu musim pendapatan untuk satu ekar mungkin tak sampai RM1,000. Tetapi kalau kita usahakan harumanis, keluasan dua ekar boleh menjana pulangan antara RM10,000 hingga RM20,000.
"Itu sudah tentu membantu petani meningkatkan pendapatan mereka. Disebabkan itu, saya galakkan semua pemilik tanah di Kedah terutamanya dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), untuk menanam harumanis termasuk di tepi-tepi rumah kerana kalau ada 20 atau 30 pokok pun, sudah boleh membantu menjana ekonomi keluarga," katanya. - Getaran, 7 Mei 2024.