KUBANG PASU - Menjelang kedatangan Aidiladha tidak lama lagi, lembu bertaraf 'kayangan' merupakan antara yang dicari golongan berkemampuan untuk menjalankan ibadah korban pada tahun ini.
Dengan berat lebih dua kali ganda daripada lembu biasa, golongan berkenaan tidak kisah untuk berbelanja hingga belasan ribu ringgit bagi mendapatkan lembu terbaik dari baka Brahman, Charolais dan Limosin untuk menunaikan kewajipan itu.
Pengurus Fatimah MZ Agro Farm, Mohamad Alias Zainol Abidin, pihaknya mula membawa masuk semua lembu baka kayangan itu dari Australia sejak tiga tahun lalu berikutan terdapat permintaan daripada pembeli.
"Biasanya golongan bertaraf 'VIP' atau mereka yang berduit lebih berminat untuk mendapatkan lembu baka kayangan ini bagi dibuat ibadah korban. Lembu-lembu jenis ini memiliki jumlah daging yang lebih banyak untuk diedarkan kepada orang ramai.
"Namun untuk tahun ini, ada juga kami menerima tempahan daripada sebuah keluarga yang sama-sama berkongsi wang untuk menunaikan korban dengan lembu jenis ini," katanya ketika ditemui Getaran di ladangnya dekat Batu 13, Jalan Sintok di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, seekor lembu jenis Brahman yang dijual di ladangnya berharga kira-kira RM10,000 manakala lembu jenis Limosin dijual kira-kira RM12,000.
"Selain Brahman, Charolais dan Limosin, kami juga memiliki kira-kira 200 lembu baka tempatan untuk dipilih bagi mereka yang berhajat menunaikan ibadah korban.
"Cumanya untuk lembu-lembu bersaiz besar ini, kami terpaksa asingkan agar mereka tidak mencederakan lembu baka tempatan yang lebih kecil. Lembu-lembu tersebut diberi makan napier, batang jagung dan soya," jelasnya.
Sebagai penternak jelas Mohamad Alias, syarikatnya mengambil inisiatif untuk menyediakan kemudahan penyembelihan di ladang, pembungkusan serta pengagihan kepada golongan asnaf bagi memudahkan mereka yang berhajat menunaikan ibadah korban.
"Semua lembu-lembu tersebut termasuk lembu kayangan yang 'sado' itu boleh disembelih di tempat kami dan diuruskan oleh kakitangan terlatih. Pihak yang melaksanakan ibadah korban itu boleh datang melihat sendiri proses penyembelihan dan membawa pulang dagingnya untuk diagihkan sendiri," katanya. - Getaran, 1 Jun 2024