ALOR SETAR - Hidup seorang pelajar perempuan jurusan agama kini terganggu ekoran tindakan seorang individu tidak dikenali, yang menggodam akaun Instagramnya bagi tujuan menipu dalam urusan jual beli Iphone dengan kadar tidak masuk akal sejak dua bulan lalu.
Pelajar tersebut, Puteri Nur Aqilah Jasman, 17, berkata, tindakan tidak bertanggungjawab individu berkenaan menyebabkan akaun Instagram yang memaparkan gambarnya tular di media sosial, hingga menyebabkan dia dituduh sebagai penipu.
Apa yang lebih memalukan jelas remaja itu, penggodam terbabit turut menggunakan akaun tersebut untuk bercakap mengenai soal seksual sedangkan dia bukan sahaja bertudung labuh, tetapi turut mengenakan purdah.
"Saya mula menyedari akaun instagram itu digodam pada 14 April lalu. Laporan polis telah saya buat di Balai Polis Pokok Sena sebelum turut membuat aduan secara dalam talian kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Namun kini setelah dua bulan berlalu, penggodam itu masih terus membuat iklan palsu mengenai urusan jual beli Iphone di laman instagram saya. Keadaan menjadi lebih teruk kerana penggodam itu turut membuat tawar-menawar berkaitan seks terhadap rakan-rakan yang menghantar mesej kepadanya," katanya.
Pemerhatian Getaran di laman Instagram tersebut mendapati penggodam itu masih lagi memuat naik iklan palsu termasuk pada hari ini.
Antara iklan dimuat naik ialah berkenaan penjualan iPhone 11 Pro Max yang didakwa barangan lelongan kastam dengan harga cuma RM180.
Puteri Nur Aqilah menambah, dia sebelum ini terpaksa menjelaskan kepada semua bahawa akaunnya telah digodam penipu, demi mengelakkan sebarang salah sangka.
"Malangnya penggodam tersebut telah berjaya menipu beberapa individu lain yang tidak saya kenali. Keadaaan itu menyebabkan individu berkenaan menularkan wajah saya dan mendakwa saya sebagai penipu.
"Bagi menyelesaikan isu ini, saya malah pernah berkunjung ke Pejabat SKMM Alor Setar, namun diberitahu aduan tetap perlu dibuat secara dalam talian," katanya.
Tambah Puteri Nur Aqilah, tiada apa yang diharapkan melainkan pihak berkuasa dapat bertindak secepat mungkin dan memadam akaun tersebut.
"Saya tak mahu perkara ini berlarutan. Seboleh-bolehnya, saya tak mahu lebih ramai lagi orang tidak dikenali menjadi mangsa penggodam itu," katanya. – Getaran, 21 Jun 2021.