web statsweb stats

Berita Terkini

1 minggu yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


PKP 3.0, Dengarlah Rintihan Pengusaha Restoran

Semasa Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 25 Jun 2021 8:50AM

Pelaksanaan PKP kali ketiga ini memberikan kesan yang besar kepada pemilik perniagaan dengan ada antara mereka yang tidak mampu bertahan lagi.

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

PUCHONG - Pandemik COVID-19 yang menjarah dunia ketika ini bukan sekadar mengancam kesihatan sejagat, namun turut memberi impak maksimal terhadap segenap aspek kehidupan.

Turun naik ekonomi dunia pada dasarnya adalah lumrah, namun krisis yang dibawa virus berasal dari Wuhan, China ini bukan calang-calang, apabila sejumlah besar negara utama dunia hampir lumpuh dek kemelut kewangan berskala serius.

Malaysia dalam hal ini tidak terkecuali, dan ketika negara berdepan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali ketiga, beban ditanggung rakyat jelata semakin menyesakkan dada.

Hampir saban waktu dada media dihiasi kisah menyayat hati yang melatari kehidupan komuniti setempat, khususnya dari golongan B40.

Cubaan membunuh diri bukan lagi kisah terpencil, malah semakin kerap dilaporkan mutakhir ini, semuanya kerana diri dihambat tekanan perasaan lantaran kesempitan hidup yang semakin parah.

Menyentuh aspek ekonomi, tidak lengkap jika tidak bercakap mengenai nasib menimpa golongan peniaga, khususnya pengusaha restoran.

Larangan untuk dine-in setiap kali PKP dilaksanakan nyata memberi impak yang bukan sedikit, apabila pendapatan mereka boleh dikatakan terjejas hampir 80 peratus.

Walau masih dibenarkan beroperasi dengan menyediakan perkhidmatan penghantaran dan pembungkusan, hakikatnya ia masih tidak memadai untuk menampung keseluruhan kos.

Sewa kedai masih perlu dibayar, begitu juga gaji petugas perlu dilunaskan tepat waktu meski pemilik terpaksa bergolok bergadai, semata-mata memastikan kebajikan pekerja tidak dipinggirkan.

Saravanan Subramaniam
Saravanan Subramaniam

Saravanan Subramaniam, pemilik restoran India Gate dalam pertemuan bersama Getaran mengadu, dirinya kini dilanda tekanan hebat apabila tidak putus dilanda krisis sejak Malaysia dijajah pandemik COVID-19.

Pelaksanaan PKP kali ketiga ini katanya, hampir memusnahkan kekuatan yang cuba dibina semula selepas ia hampir lumpuh tatkala pendapatannya menyusut dengan mendadak sewaktu negara berdepan PKP 1.0, Mac tahun lalu.

“Ketika kerajaan melaksanakan PKP 2.0, India Gate perlahan-lahan kembali mencari rentak dan apabila kami sudah mula berjaya menapak semula, gelombang yang lebih hebat melanda negara.

“Tahun ini sahaja, India Gate terpaksa menghentikan operasi sebanyak empat kali dan hanya bersandarkan kepada perkhidmatan penghantaran dan pembungkusan. Apakah ia cukup untuk membantu menampung keseluruhan operasi,” katanya, sedih.

Bekas peniaga pasar borong itu memberitahu, beliau sesungguhnya tidak sanggup melihat India Gate yang dibangunkan dengan penuh susah payah akhirnya tunduk menyembah bumi.

“Ya, kami pengusaha restoran sedar, langkah pro aktif perlu diambil bagi mengekang penularan wabak, tetapi selepas lebih setahun, mengapa kerajaan masih gagal mencari satu penyelesaian yang holistik? Apakah kita mahu melihat satu demi satu restoran di negara ini gulung tikar akhirnya,” katanya, penuh emosi.

India Gate sering menjadi pilihan rakyat pelbagai kaum kerana keenakan juadah yang ditawarkan.
India Gate sering menjadi pilihan rakyat pelbagai kaum kerana keenakan juadah yang ditawarkan.

Dengan senario yang semakin menghimpit, kesedihan Saravanan ternyata berasas, apatah lagi ketika ini golongan peniaga sepertinya sama sekali tidak menerima sebarang kemudahan atau bantuan.

“Dulu waktu PKP 1.0, ada morotarium automatik diberikan, malah ada peluang untuk orang ramai mengeluarkan i-Sinar masing-masing.

“Tapi sekarang, kerajaan dan pihak berkaitan masih senyap-sunyi, walaupun saban waktu rakyat merayu, memohon agar morotarium itu dilanjutkan,” katanya.

Pihak bank jelas Saravanan, tidak akan berkompromi dengan apa juga alasan diberikan peminjam, walaupun mereka benar-benar dalam kesempitan.

“Ingat bank hendak percaya kalau kami katakan pendapatan terjejas dengan begitu teruk? Pada mereka semua pinjaman harus dibayar tepat pada waktu.

“Hendak memohon bantuan kerajaan, oh tak sanggup rasanya saya hendak berhadapan dengan seribu macam kerenah birokrasi yang amat merumitkan,” jelasnya, kesal.

India Gate, yang menyajikan makanan berkonsepkan utara dan selatan India tambahnya, turut memiliki pekerja berasal dari negara itu, menyebabkan beliau terpaksa berbelanja besar untuk menguruskan hal mereka.

“Saya bukan sahaja perlu menguruskan soal permit, malah perlu menyediakan tempat penginapan dan makan minum, sekurang-kurangnya tiga kali sehari.

“Apabila restoran ditutup, majoriti pekerja mahu pulang ke negara asal atau mencari pekerjaan lain. Jika ini berlaku, sekali lagi saya perlu mengeluarkan sejumlah besar wang untuk menggaji petugas baharu,” keluhnya.

Saravanan menarik perhatian, beliau menyokong penuh usaha kerajaan membendung penularan COVID-19, namun ia perlu dilakukan secara sistematik bagi memastikan nasib golongan terjejas menerima pembelaan sewajarnya.

“Apa yang saya lihat ketika ini, tidak ada satu penyelesaian yang benar-benar efektif dalam membantu golongan memerlukan, setidak-tidaknya menawarkan inisiatif tertentu bagi membantu peniaga seperti kami.

“Bukan kami manja dan mahu dibela setiap masa, Cuma berilah keadilan demi memastikan kelangsungan perniagaan yang dibina ini. Ada antara restoran ini sudah wujud berpuluh tahun lamanya, alangkah sayangnya jika ia terpaksa ditutup kerana tidak lagi mampu bertahan,” katanya. – Getaran, 25 Jun 2021

Berita Berkaitan

1

Selera 3 minggu yang lalu

Mana Mau Makan Pan Mi Halal?

2

Semasa 2 bulan yang lalu

Penyelia Restoran Didakwa Pecah Amanah Wang Syarikat Lebih RM80,000

3

Semasa 3 bulan yang lalu

Uncle Roger Umum Buka Restoran Pertama Di Malaysia

4

Semasa 3 bulan yang lalu

Pengusaha Restoran Bertahan Tidak Naikkan Harga Demi Pelanggan

Sorotan

1

Operasi Pencarian Sabari Meliputi Keluasan 13 Km Sungai Padang Terap

2

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

3

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

4

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

5

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

6

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia

Disyorkan untuk anda

Semasa 17 jam yang lalu

Pembunuhan Sosilawati: Hukuman Mati Bekas Peguam, Pekerja Ladang Dikekalkan

Semasa 17 jam yang lalu

Reman 3 Individu Berkait GISBH Termasuk Pegawai Kewangan Dilanjutkan

Politik 18 jam yang lalu

‘Sukri, Tolong Jangan Buat Kenyataan Dengan Semberono’ - Saifuddin

oleh Sophia Ahmad