MELAKA - Kira-kira 60,000 pemegang akaun di 21 kawasan di Merlimau termasuk Jalan Sungai Rambai, mengalami gangguan masalah air berbau, dipercayai berpunca daripada limpahan sisa sawit ke sungai utama yang menjadi sumber bekalan air mentah.
Timbalan Pengerusi Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) Datuk Zaidi Atan berkata, tindakan segera sudah diambil pihaknya dalam mengatasi masalah berkenaan, yang mencetuskan rasa tidak senang dan kerisauan dalam kalangan penduduk.
Beliau berkata, antara kawasan terjejas adalah di seluruh Taman Muhibah, Serkam Pantai, Anjung Batu, Taman Bukit Tembakau Indah, Jalan Batu Gajah, Jalan Penghulu Simen, Tedong Pantai, Jalan Parit Putat dan Jalan Parit Sidang Seman serta Jalan Sebatu.
“Lewat petang semalam, saya dimaklumkan bekalan air di beberapa kawasan kembali normal dan tiada lagi bau busuk seperti sebelumnya, justeru kita jangkakan masalah ini dapat diatasi dalam tempoh dua hari.
“Cuaca hujan lebat di kawasan Sungai Lanchang dipercayai menyebabkan air sisa kelapa sawit berdekatan melimpah ke sungai utama, yang airnya dipam ke Rumah Pam Lanchang untuk disalurkan ke Loji Air Merlimau,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, SAMB juga sudah menggunakan sumber air mentah secara maksimum daripada Sungai Gersik, Muar, Johor untuk Loji Air Merlimau sepanjang proses pemulihan gangguan ini.
“SAMB juga sudah mengambil tindakan menggantikan air berbau melalui tindakan flushing pada sistem rangkaian pengguna yang terjejas, malah ujian kualiti parameter fizikal ke atas sampel air dijalankan di lokasi terbabit juga mendapati, parameter air terawat dibekalkan masih mematuhi piawaian Kualiti Air Minum Kebangsaan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Jika boleh kita tidak mahu membuang kesemua air di Loji Air Merlimau kerana proses pembuangan dan pembersihan itu mengambil masa sehingga tujuh hari, dan ia turut membabitkan catuan air untuk memenuhkan kembali loji,” katanya.
Sementara itu, penduduk di Kampung Paya Lengkong, Merlimau, Ramdzan Ali, 51, berkata, ini adalah kali kedua gangguan air berbau berlaku, selepas kali pertama awal bulan lalu, apabila air paip di rumah mengeluarkan bau busuk seperti buah yang sudah rosak.
“Kejadian kelmarin paling teruk berbanding awal bulan lalu apabila bancuhan air Nescafe bertukar rasa masam, malah pakaian yang sudah dicuci turut berbau sehingga menyebabkan keadaan menjadi tidak selesa.
“Air itu berwarna jernih seperti biasa namun mempunyai bau yang amat busuk. Saya ada terfikir hendak membeli air mineral untuk kegunaan, namun apabila difikirkan kos dan keadaan sekarang, terpaksa jugalah minum air berbau,” katanya. - Getaran, 29 Jun 2021