KOTA KINABALU - Tiada siapa yang sanggup melihat bayi kecil terputus bekalan susu sehingga terpaksa minum susu pekat.
Itu realiti yang terpaksa ditempuh 1,182 pekerja Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI) sejak tiga bulan lalu, apabila langsung tidak diberikan gaji masing-masing.
"Orang dewasa mungkin mampu bertahan dengan makan apa saja yang ada, tetapi tidak bagi bayi.''
Perkara itu dikongsikan Pembantu Projek SFI, Engrit Liaw hari ini ketika dihubungi mengenai tindakan kibaran bendera putih di Sipitang.
"Tindakan itu bukan dibuat suka-suka sebaliknya pekerja di sini memang terdesak memerlukan bantuan khususnya membabitkan keperluan bayi kecil.
"Orang dewasa mungkin mampu bertahan dengan makan apa saja yang ada, tetapi tidak bagi bayi," katanya yang memberitahu, tindakan berkenaan diambil bagi menuntut tunggakan gaji daripada syarikat.
Tambah Engrit, walaupun bakul makanan disalurkan, pekerja tetap memerlukan wang bagi membeli barangan keperluan sendiri.
"Bukan masalah memilih atau 'demand' tetapi setiap keluarga ada keperluan berbeza dan mereka hanya menuntut gaji sendiri.
"Biarpun operasi kilang dihentikan, kerja penyelenggaraan lain termasuk loji rawatan air tetap berjalan bagi memastikan bekalan air bersih terus disalurkan kepada penduduk luar," katanya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Inspektorat dan Perundangan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah Madzaral Sebalon berkata, pihaknya telah mengarahkan majikan SFI hadir ke pejabat JTK Khamis ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan tersebut.
"JTK menerima aduan daripada pekerja pada 1 Julai lalu yang mendakwa majikan tidak membayar gaji mereka sejak April lalu.
"Justeru, JTK akan memanggil majikan berkaitan bagi melakukan siasatan terperinci sebelum sebarang tindakan diambil," katanya.
Dilema pekerja SFI Sipitang ini turut mendapat perhatian Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mendesak campur tangan kerajaan dalam pengurusan syarikat.
Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, kerajaan seharusnya lebih peka terhadap sebarang perubahan dasar atau amalan yang dibuat, khususnya dalam keadaan luar biasa atau tidak dijangka seperti sekarang.
"MTUC mengutuk langkah pengurusan yang tidak membayar gaji pekerja selama tiga bulan tanpa sebarang inisiatif penyelesaian.
"Apa yang berlaku pada pekerja SFI adalah sebahagian pekerja luar bandar yang bekerja namun kebajikan mereka diabaikan pihak berkaitan," katanya. – Getaran, 6 Julai 2021