ALOR SETAR - Kerajaan akan berusaha menambah keupayaan untuk menaikkan bilangan vaksin harian di Selangor sebagai salah satu usaha mengekang penularan COVID-19 di negeri itu.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, berbanding cuma kira-kira 114,000 suntikan vaksin semalam, terdapat perbincangan dalam kalangan pihak terlibat untuk meningkatkan bilangan vaksin harian di Selangor kepada 400,000 dos sehari.
Katanya, perkara itu dirasakan mampu direalisasikan ketika Malaysia bakal menerima kira-kira 16 juta vaksin dalam masa terdekat.
"Pharmaniaga Berhad ketika ini sudah menyatakan komitmen untuk menyelesaikan sepenuhnya penghantaran kesemua lebih 12 juta dos Sinovac yang dipesan daripada syarikat itu, sebelum hujung bulan ini.
"Selain itu kita telah menerima satu juta dos Pfizer dari Amerika Syarikat (AS), satu juta dos AstraZeneca sumbangan Jepun serta 500,000 Sinovac lagi disumbangkan China, sekali gus bermakna negara sudah memiliki kira-kira 16 juta dos vaksin dalam bulan ini. Justeru, jumlah agihan terutama di kawasan tumpuan seperti Lembah Klang boleh ditingkatkan," katanya.
Beliau menyatakan demikian ditemui media pada kunjungan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti dekat sini hari ini.
Langkah itu sekiranya berjaya dilaksanakan, ia bermakna angka vaksinasi harian di Selangor hampir menyamai jumlah suntikan vaksin di seluruh negara semalam iaitu 434,828 dos.
Jumlah tersebut adalah yang tertinggi dicatatkan sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) diperkenalkan pada 23 Februari lalu.
Ahmad Amzad menambah, usaha untuk meningkatkan jumlah suntikan vaksin harian itu dilakukan berikutan jumlah kes yang tinggi dicatatkan di Selangor.
"Perbincangan mengenainya baru dilakukan pagi tadi. Untuk makluman, suntikan vaksin harian di Selangor semalam berjumlah lebih 114,000 dos.
"Semua orang tahu keadaannya di negeri itu dan kita perlu 'selesaikan' di sana secepat mungkin agar tidak berjangkit ke tempat lain," katanya.
Dalam pada itu beliau memberitahu, semua kerajaan negeri diminta untuk membuat persiapan sewajarnya bagi menerima lebih banyak dos vaksin dalam tempoh dua bulan mendatang.
"Jika perlukan PPV tambahan, kerajaan negeri diminta segera kemukakan cadangan kepada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk tindakan lanjut.
"Kita tak mahu berlaku kesesakan di PPV sedia ada. Selain itu saya juga berpesan kepada petugas supaya sentiasa utamakan saringan dengan mereka yang mempunyai gejala COVID-19, dan menangguhkan suntikan ke tarikh lain agar tidak membahayakan orang ramai," katanya. - Getaran 15 Julai 2021.