KUALA LUMPUR - Pandemik COVID-19 nyata memberi impak besar kepada seluruh lapisan masyarakat, khususnya mereka yang digolongkan sebagai B40 dan kurang berkemampuan.
Menyedari hakikat ini, Persatuan Rantai Runcit Malaysia (MRCA) dan Persatuan Jualan Langsung Malaysia (DSAM) sepakat melancarkan inisiatif bantuan bekalan makanan kepada 2,000 keluarga.
Presiden MRCA, Shirley Tay berkata, kedua-dua pihak menetapkan sasaran untuk meraih dana tambahan sebanyak RM500,000 bagi menyediakan 10,000 kotak makanan lagi buat keperluan keluarga memerlukan di sekitar Lembah Klang.
Menurut beliau, kerjasama itu adalah bagi membantu meringankan beban golongan terkesan, yang majoritinya berdepan pengurangan pendapatan, susulan kemelut ekonomi akibat COVID-19.
“Pengagihan kotak makanan ini sebenarnya telah bermula sejak 3 Julai 2021 di sekitar kawasan Lembah Klang, membabitkan sembilan lokasi, khususnya di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR).
“Setakat ini, ia diedarkan di PPR Pantai Ria, PPR Sri Sabah, Kampung Tasek Permai di Ampang Jaya, Kampung Labu Lanjut di Sepang, Kampung Baru Sungai Chua di Kajang, Salak Selatan Baru, PPR Seri Nilam di Ampang, PPR Hiliran Ampang dan PPR Pandan Mewah,” katanya di sini.
Shirley memberitahu, setiap kotak makanan mengandungi satu kampit berat seberat 5kg, mi segera, bihun, sardin, kacang panggang, serbuk minuman berperisa coklat dan biskut.
“Sebenarnya ramai ahli MRCA mengalami kerugian teruk akibat penularan wabak, malah sejumlah besar antara kami tidak lagi memiliki aliran wang tunai yang mencukupi untuk terus bertahan.
“Namun dengan bantuan dan kerjasama DSAM, kami bersama-sama menggerakkan inisiatif ini kerana sedar, ada ramai di luar sana yang lebih susah serta menderita,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden DSAM Datuk Tan Chong Guan berharap, kempen mengumpul dana kecemasan untuk projek bantuan bersama MRCA dapat menghasilkan kejayaan dengan segera.
“Kami sedar ketika ini banyak keluarga sedang mengalami kesusahan untuk mendapatkan makanan yang mencukupi dalam kehidupan harian.
“Dengan adanya inisiatif ini, MRCA dan DSAM berharap dapat meringankan beban mereka sedikit sebanyak, agar mampu meneruskan kehidupan yang serba mencabar,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan mengisi borang https://bit.ly/3r595cZ atau ke akaun 8600617216 (CIMB) di bawah nama Persatuan Rantai Runcit Malaysia.
Mereka juga boleh berhubung dengan MRCA menerusi aplikasi WhatsApp di talian 012 438 0435.
Untuk sumbangan ke DSAM pula, ia boleh dibuat dengan mengisi borang https://bit.ly/2TAVpdw atau terus ke akaun bernombor 3078 894 406 (Public Bank Berhad), di bawah nama Persatuan Jualan Langsung Malaysia atau WhatsApp ke talian 019- 378 7937. - Getaran 17 Julai 2021.