Kian kita kembali beransur ke fasa peralihan menuju endemik, rakyat Malaysia kini kembali menjalani pemeriksaan kesihatan untuk memastikan kesejahteraan diri yang optimum.
Ramai antara kita yang sangat mengambil berat tentang kesihatan jantung, paru-paru, buah pinggang dan organ lain yang lebih popular. Tidak ramai yang mementingkan kesihatan mata.
Setelah dua tahun kita bersosial dan membeli-belah secara dalam talian, kita harus menyedari penglihatan kita mungkin boleh terjejas kerana menatap skrin dalam jangka masa lama.
Sama seperti masalah jantung, penyakit paru-paru atau kesihatan mental, mata kita juga berisiko tinggi mengalami serangan penyakit serius seperti katarak, glaukoma, retinopati dan degenerasi.
Penyakit yang berkaitan penuaan dan banyak lagi jenis gangguan penglihatan yang lain, mungkin boleh mengganggu atau merosakkan kesihatan mata anda.
Inilah sebabnya mengapa pemeriksaan mata harus dilakukan secara berkala bagi memastikan penglihatan kita kekal sihat dan sempurna.
Menurut penyelidikan yang dijalankan oleh Tinjauan Mata Kebangsaan, 15,000 individu telah kehilangan penglihatan (buta) pada tahun 2018.
58.6% daripadanya telah didiagnosis dengan katarak yang boleh dicegah jika ia dikesan lebih awal. (Chew, 2018)
Oleh itu, mereka yang berusia 18 tahun ke atas dinasihatkan supaya menjalani perundingan dengan pakar optometri dua tahun sekali bagi pemeriksaan mata yang menyeluruh. (Farid, 2021)
Pakar optometri, Yoyo Foong berkata, “Kebanyakan penyakit berkaitan mata merupakan pembunuh senyap dan tidak boleh dirawat jika kita tidak bertindak segera.
“Secara amnya, orang dewasa yang tidak mempunyai masalah berkaitan penglihatan, harus berjumpa pakar mata sekurang-kurangnya dua tahun sekali untuk menjaga kesihatan mata.
“Namun, memandangkan masa paparan skrin telah meningkat secara drastik waktu pandemik, kita perlu melakukan pemeriksaan profesional sekurang-kurangnya setahun sekali,” jelas Foong.
Jika anda memakai cermin mata atau kanta sentuh preskripsi, anda perlu menjadualkan pemeriksaan mata sekurang-kurangnya sekali setiap dua tahun.
Walau bagaimanapun, bagi mereka yang tidak menggunakan sebarang alat bantuan penglihatan, anda perlu menjadualkan pemeriksaan mata berkala yang dicadangkan bersama pakar optometri.
Pemeriksaan mata akan menilai pelbagai aspek penglihatan. Ia membantu untuk mengesan masalah mata pada peringkat awal dan tempoh rawatan yang paling berkesan.
Berapa kerap perlu anda membuat pemeriksaan mata?
Beberapa faktor boleh menentukan kekerapan pemeriksaan mata, termasuklah umur, keadaan kesihatan semasa dan faktor genetik.
Anda boleh mengikuti garis panduan umum berdasarkan kumpulan umur anda seperti di bawah untuk menentukan kekerapan pemeriksaan dan lawatan ke pakar optometri anda:
#1 Pemeriksaan mata untuk kanak-kanak
Bagi bayi, perkembangan visual sangat pesat dalam tempoh enam bulan pertama dan ia akan berterusan sehingga dekad pertama kehidupannya.
Dari seawal usia tiga bulan, bayi kecil anda boleh menjalani pemeriksaan mata menyeluruh bagi memastikan penglihatan mereka berkembang dengan baik.
Ia juga bagi mengenal pasti sebarang masalah penglihatan yang mungkin akan timbul.
Menjelang usia tiga hingga lima tahun, kanak-kanak boleh diperiksa oleh pakar optometri yang boleh mengenal pasti sebarang penyakit penglihatan dengan lebih lanjut (Yen, 2020).
Selain itu, pemeriksaan mata untuk kanak-kanak bukan sahaja bagi mengesan atau mencegah penyakit mata tetapi turut dijalankan bagi memupuk koordinasi penglihatan mereka.
Sama seperti berjalan atau bercakap, perkembangan penglihatan ialah kemahiran yang dipelajari daripada pelaksanaan tugas harian seperti membaca, bermain atau membaling bola.
Perlu diingati, jika penglihatan kanak-kanak kurang berkembang, ia turut boleh menghalang kebolehan pembelajaran mereka.
#2 Penjagaan mata pada usia dewasa
Sebenarnya, ramai pesakit yang tidak dapat mengesan sebarang tanda atau gejala pada peringkat awal tentang penyakit yang berkaitan mata.
Ramai juga yang tidak menyedari bahawa usia merupakan faktor utama yang mempengaruhi keadaan mata dan penglihatan.
Paling menakutkan, penyakit berkaitan mata juga boleh mula berkembang pada peringkat usia muda jika ia tidak dikesan atau dirawat.
Oleh itu, amatlah penting untuk kita mengutamakan kesihatan mata dan mengambil perhatian tentang sebarang ketidakselesaan mata atau perubahan dalam penglihatan, seperti:
- Menghadapi masalah membezakan warna
- Memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tahap cahaya
- Hilang keupayaan untuk melihat dari dekat
Sekiranya anda mengalami gejala seperti di atas, buat temujanji bersama pakar mata atau optometri untuk pemeriksaan mata dengan kadar segera bagi menerima rawatan yang sesuai.
#3 Masalah mata dalam kalangan warga emas
AMD, retinopati diabetes, katarak dan glaukoma merupakan empat penyakit mata utama yang akan mula berkembang apabila anda memasuki usia sekitar 50 hingga 65 tahun.
Warga emas dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan mata berkala dengan pakar optometri pada setiap tahun untuk pemeliharaan mata dan memastikan ia dalam keadaan yang baik.
Individu yang mempunyai sejarah keluarga berpotensi dan berisiko lebih tinggi untuk mendapat penyakit berkaitan mata pada usia tua.
#4 Jaga mata anda, amalkan gaya hidup sihat
Kesihatan mata sangat penting untuk kesihatan menyeluruh badan dan ia tidak boleh diabaikan.
Tanggungjawab utama terletak pada diri anda bagi memastikan mata anda berada dalam keadaan sihat. Ambil perhatian, penjagaan mata tidaklah rumit.
Berikut beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk melindungi penglihatan anda:
- Amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang
- Kerap bersenam
- Pakai cermin mata kalis sinaran UVA/UVB
- Elakkan merokok
- Hanya beli kanta sentuh dari kedai optik yang dipercayai
- Rehatkan mata anda (Teknik 20-20-20: Untuk setiap 20 minit di hadapan skrin, lihat sesuatu 20 kaki jauhnya selama 20 saat)
Kesihatan mata adalah sama pentingnya dengan kesihatan organ lain di dalam badan kita.
Dengan memeriksa mata, pakar optometri bukan sahaja dapat mengesan penyakit mata, malah boleh mengesan potensi risiko penyakit lain seperti kanser, diabetes dan tekanan darah tinggi.
#5 Pemeriksaan mata komprehensif
Jika anda tidak mahu membuat pemeriksaan mata di hospital atau klinik, anda boleh mendapatkan pemeriksaan mata di MOG Boutique.
Butik optik eksklusif ini menawarkan perkhidmatan 6-in-1 Vision Experience yang merangkumi Penilaian Kesihatan Mata bertaraf hospital.
Ia mampu mendedahkan potensi penyakit mata melalui penilaian retina yang boleh mengesan permulaan perkembangan glaukoma, retinopati diabetes dan AMD serta pemetaan kornea.
Penilaian kornea untuk imej terperinci bola mata anda juga boleh dilakukan. Ia bakal memperlihatkan keadaan kesihatan semasa mata anda dan boleh mengesan risiko katarak.
Layari MOG untuk maklumat lanjut. - 8 Mei 2022
Gambar: MOG