Platform jualan cenderahati secara on demand ulung Malaysia, BloomThis, platform jualan mengumumkan pembukaan kedai fizikal terbaharu yang terletak di ibu pejabat syarikat di Petaling Jaya.
Meraikan ulang tahun kelapan operasi perniagaan, BloomThis terus berkembang maju dengan menceburi jualan runcit secara fizikal, menerusi pengalaman membeli yang mudah dan menyeluruh kepada pelanggan.
Sebagai sebuah perniagaan yang bermula dari rumah, pencapaian yang diraihBloom This dalam tempoh lapan tahun ini adalah sesuatu yang membanggakan.
Pelancaran kedai jualan runcit fizikal ini selaras dengan visi BloomThis dalam mendefinisikan semula seni memberi hadiah dan gubahan bunga menerusi pengalaman yang diperibadikan untuk pelanggannya yang dikenali sebagai Bloomies.
Ketika ditemui, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif BloomThis Giden Lim, memberitahu, pihaknya mahu membina hubungan yang lebih erat dengan pelanggan yang sentiasa memberi sokongan kepada BloomThis.
”Kami menyedari kepentingan untuk berurus niaga dengan pelanggan secara bersemuka selepas berjaya mengukuhkan kedudukan dalam landskap e-dagang.
“Kedai fizikal ini menjadi penanda kepada misi kami untuk mewujudkan hubungan yang lebih erat dengan masyarakat dan memperhebat interaksi mereka dengan BloomThis,” ujar Giden.
Sebelum ini, BloomThis memperkenalkan kedai fizikal pertama mereka di KPJ Damansara Specialist Hospital 2 pada Mac lalu.
Kedai fizikal yang direalisasikan dengan kerjasama KPJ Healthcare ini mendapat sambutan memberangsangkan dan maklum balas inilah yang memicu pembukaan kedai fizikal kedua ini.
Jelas Giden, langkah yang diambil ini menandakan komitmen BloomThis untuk mempelbagaikan saluran pengedarannya dan memberikan pengalaman yang luar biasa kepada pelanggan dan memenuhi aspek permintaan yang sentiasa berevolusi terutamanya selepas COVID-19.
Pelan perniagaan strategik ini akan membolehkan BloomThis mengembangkan pelaburannya melangkaui portfolio e-dagang sedia ada.
Selain itu, BloomThis yang juga diiktiraf sebagai salah satu syarikat Endeavor Malaysia, menyimpan matlamat untuk memanfaatkan kedai fizikal terbaharunya bagi melonjakkan jualan sebanyak dua kali ganda dan meluaskan jumlah pelanggannya, sekali gus meluaskan pasaran BloomThis ke tahap seterusnya.
Objektif ini bersifat serampang dua mata iaitu untuk meningkatkan jualan dan memupuk perkembangan syarikat pada masa hadapan.
“Selain daripada mencipta pengalaman membeli-belah menarik untuk pelanggan, lokasi kedai fizikal baharu kami akan turut menampilkan tawaran uniknya sendiri. Ia direka bentuk dengan teliti untuk menyerlahkan keanggunan dan gaya, dan akan berfungsi sebagai satu manifestasi fizikal kepada komitmen BloomThis untuk menyediakan pengalaman pelanggan yang luar biasa," tambah Giden.
Selain daripada mempamerkan rekaan BloomThis yang unik, ruang runcit kedai fizikal ini juga akan berfungsi sebagai platform untuk kerjasama dan penglibatan komuniti. BloomThis merancang untuk menganjurkan pelbagai bengkel dan acara, serta menjemput pelanggan untuk mengekspresikan kreativiti mereka dan belajar daripada pakar-pakar gubahan bunga.
Sementara itu, pada majlis pelancaran yang diadakan pada Jumaat, selain dihidangkan dengan pelbagai hidangan enak daripada pihak penaja, pihak media turut berpeluang mempelajari cara-cara menggubah bunga daripada mereka yang pakar. - Getaran, 24 Jun 2023